>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Tuesday, December 2, 2008

AKU PEMANDU TEKSI, AKU SEORANG DA'IE

Hari itu, 30 November 2008 ana dan Zaidin bertolak pulang dari Kg Paya Redan, Pagoh. Ana menziarahi rumah sahabat ana, Zaidin. Al maklumlah, tak pernah sampai, akhirnya tercapai juga hasrat ingin bertandang ke Pagoh. Kami pulang dihantar oleh sahabat se’ HPA’ kami di Serdang Syeikh Sahril. Sahril kini telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Cawangan HPA dan kini bertugas di Muar. Saat-saat suka dan duka di HPA Serdang insya Allah akan tetap diabadikan dalam diari hidup ini.

Kami pulang menggunakan perkhidmatan bas Transnasional. Perjalanan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Jam 5.40 petang kami tiba di stesen Puduraya. Stesen yang tidak asing lagi bagi diri ini. Setelah Solat Jama’ Ta’khir Zohor dan Asar kami meneruskan perjalanan. Kami menuju ke stesen LRT RapidKL Plaza Rakyat. Subhanallah, ramainya umat manusia yang beratur! Mata melilau mencari mesin tiket. Allah, rosak pulak! Terpaksalah ana dan Zaidin beratur untuk membeli tiket ke Tasik Selatan.

Alhamdulillah, kami tiba di stesen tasik Selatan dalam jam 7.00 malam. “Ni kalau naik bas ni tak sempat solat maghrib”, ana mencatur. Lalu ana mencadangkan kepada Zaidin agar menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Dalam usaha pencarian teksi, tiba-tiba mata ini terpaut pada seorang penumpang berbangsa India yang berbaju putih. Ini baju student Masterskill ni. Ana membaca gerak bibir gadis India tersebut. “Tower 10”. Ana pantas membuka pintu teksi dan berunding dengan pemandu teksi tersebut. Akhirnya pemandu teksi tersebut bersetuju untuk menghantar kami dengan syarat bayaran lain-lain.

Oleh sebab masa yang begitu berharga, ana bersetuju dengan syarat yang dikenakan. Namun, di hati terdetik rasa tidak puas hati dengan syarat tersebut. Namun dipendam sahaja. Pakcik teksi tersebut mula menemuramah kami bertiga (ana. Zaidin dan pelajar India). Dari hal perjalanan hinggalah hal kerja. Pakcik teksi tersebut berusaha berkomunikasi dengan bahasa Inggeris yang agak cacamarba, tapi boleh difahami. Mungkin disebabkan pelajar India tersebut berbahasa Inggeris dengan pakcik tersebut tadi.

(Nota; pakcik tersebut berbahasa Inggeris campur Melayu, namun ana menterjemahkan keseluruhan kata-katanya kepada Bahasa Melayu agar mudah difahami pembaca.

Tiba-tiba Zaidin bertanyakan soalan. “Pakcik dah berapa lama bawa teksi?” Setahun lebih la, pakcik itu menjawab. Aik? Ana sedikit kehairanan. “Sebenarnya pakcik ni pesara tentera. So, daripada tak buat apa-apa ni, pakcik bawa la teksi”. Oo..begitu rupanya, hati ini berbicara. “Awak asal mana?” Pakcik tersebut bertanyakan Zaidin. Saya asal Muar, Pagoh. “Oo..Muar. Anak saya dulu sekolah kat Sekolah Sains Muar. Jadi, waktu itu, pakcik selalu la berulang alik di Bandar Muar tu. Dah masak juga la dengan jalannya. Sekarang anak pakcik belajar di UK, course engineering”. Wah, ana terpegun seketika. “Lagi sorang anak pakcik buat medic”. Ana terkesima lagi. Wah, boleh tahan juga anak-anak pakcik ni ye, hati ini berkira-kira.



Teksi tiba di selekoh di hadapan bangunan dan masjid PGA. Tiba-tiba pakcik tersebut bersuara. “Kita ini, walau sesibuk manapun jangan sesekali tinggal sembahyang. Nanti, insya Allah lepas hantar kamu ni, pakcik akan sembahyang kat masjid ini. Dalam Al-Quran telah disyariatkan tentang solat ni”. Pakcik tersebut menerangkan tentang kewajipan itu sedikit sebanyak kepada gadis India bersebelahan ana.


Tiba-tiba terpacul lagi satu soalan yang cukup menyentap sanubari ini. “Kamu agak-agak la ye, berapa lama kamu boleh hidup?” Pakcik tersebut bertanya kepada Zaidin. “Mungkin 60 tahun”, Zaidin menjawab. “Cuba kita lihat manusia sekarang, untuk tempoh hidup 60 tahun itu, mereka bekerja bermati-matian untuk mengumpul harta. Namun, untuk alam akhirat yang kekal abadi, mereka buat tidak endah sahaja. Patutkah begitu?”, pakcik tersebut terus mengeluarkan hujah-hujahnya.

“Kita sebagai orang Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan dakwah”, pakcik tersebut menyambung lagi, kami berdua mengiyakan. Kali ini, ana yang selama ini hanya berdiam diri di tempat duduk belakang terus bertanya kepada pakcik tersebut. “Nama pakcik siapa?” “Nama pakcik, Kasim”. “Pakcik asal dari mana?” “Pakcik asal negeri Sembilan, tapi dah lama menetap di Bandar Tun Hussein Onn tu”.

Teksi telah sampai ke destinasi. “Terima kasih pakcik”, kami membayar tambang. Walaupun terpaksa membayar tambang lebih, namun ana tidak menyesal walau sedikitpun. Rasa begitu beruntung dipertemukan dengan Pakcik Kasim, seorang pemandu teksi berjiwa da’ie.

No comments: