>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Sunday, August 31, 2008

HARAPAN RAMADHAN 1429H



Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula



Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti



Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua



Wednesday, August 27, 2008

KONVOKESYEN; SATU MATLAMAT @ ALAT?



Alhamdulillah, tanggal 24 Ogos 2008, akhirnya ana berjaya bergelar graduan secara rasminya. Dalam majlis konvokesyen Universiti Malaysia Sabah yang ke-10. Dalam sidang yang ketiga, ahad pagi, satu lagi sejarah tercatat bahawa seorang lagi graduan bioteknologi dihasilkan oleh UMS. Majlis yang hanya sekitar empat jam itu telah menukar status kami. Seorang graduan IPTA.

“Kau sudah kerja?”, antara soalan paling popular yang terpacul dari mulut pelajar-pelajar junior dan rakan-rakan seperjuangan. Secara rawak, majoriti graduan masih belum bekerja. Namun, golongan minoriti yang telah bekerja sudah pasti mendapat perhatian yang lebih dari rakan-rakan. Hal seumpama ini bukanlah fenomena yang pelik, namun seharusnya isu ini tidak dikesampingkan.

Peratus pengangguran di kalangan graduan 6 tahun kebelakangan ini semakin meningkat. Antara usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini adalah seperti mewujudkan skim siswazah menganggur dan menyediakan kursus-kursus latihan industri. Kewujudan agen mencari pekerjaan yang semakin bercambah juga merupakan antara bukti memperoleh pekerjaan bukanlah semudah dahulu. Persaingan graduan semakin sengit dalam memperoleh pekerjaan yang diingini.

Ana mengakui bahawa perkara ini sememangnya dipengaruhi oleh banyak faktor. Faktor internal yang berpunca dari diri graduan sendiri dan faktor eksternal yang datang dari luar seperti polisi kerajaan, pertumbuhan ekonomi dan parameter geografi. Persoalannya, bagaimanakah segulung ijazah yang diperoleh semasa konvokesyen itu mampu membantu dalam menembusi pasaran pekerjaan kini?

Seorang yang mampu menjejakkan kaki ke menara gading seharusnya dapat berfikir dan merumus tentang persoalan yang ana bincangkan ini. Apa yang penting dalam usaha menembusi pasaran pekerjaan adalah kemampuan mengaplikasikan kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari sewaktu belajar dahulu. Softskill dan hardskill yang berjaya dikuasai dengan baik mampu menyokong graduan untuk menembusi pasaran kerja dengan lebih efisien.

Justeru, dapatlah difahami bahawa perkara yang penting dalam usaha menembusi pasaran pekerjaan adalah PROSES PEMBELAJARAN itu sendiri. Jika pelajar tidak melalui proses pembelajaran itu dengan sempurna, maka akan lahirlah graduan yang pasif. Pada pendapat ana, sistem pembelajaran di Malaysia ini masih dangkal. Hal ini disebabkan sebahagian besar sistem pembelajaran masih berorientasikan peperiksaan. Situasi ini bisa saja menghasilkan graduan yang memperoleh keputusan kelas pertama tetapi tidak memiliki kemahiran yang mencukupi dalam usaha mendapatkan pekerjaan dan seterusnya bekerja.

Kita juga harus mengakui bahawa PROSES PEMBELAJARAN itu bukan diperoleh di dalam dewan kuliah semata-mata. Ia boleh diperoleh melalui pelbagai kaedah yang lebih fleksibel dan tidak memerlukan formaliti. Kesimpulannya, kita seharusnya melihat proses menuntut ilmu itu sebagai suatu proses yang menyeluruh dan tidak statik. Bukalah mindamu untuk mencapai tahap minda kelas pertama.


Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq, Ogos 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

BAYU MEMORI BERTIUP KEMBALI



Masa sangat mencemburui ana. Sedar tak sedar telah hampir sebulan platform maya ini tidak dikemaskini. Tanggal 20 Ogos 2008, diri ini kembali ke tanah tempat menimba ilmu pengajian tinggi. Sabah, “state below the wind’. Tepat jam 3.30 petang, ‘belon’ selamat mendarat di KKIA, Terminal 2. “Hmm..mana si hasnur ni, janji nak jemput” hati ini mengomel sendirian. Terbayang sahabat seperjuangan ana yang dikenali sejak di matrikulasi lagi. Masih setia dengan persahabatannya.

“Assalamualaikum, di mana sudah?”, ana menelefon hasnur. “Waalaikumussalam, kejap lagi, baru nak gerak”, hasnur menjawab dengan tempo nya yang pantas. Sahabat ana ini memang terkenal dengan tempo percakapannya yang agak laju. Entah apa yang nak dikejar pun tak tahu. Hehe. Suasana Terminal 2 tidak banyak berubah. Sentiasa sibuk dipenuhi dengan musafir-musafir yang pelbagai tujuannya. Ada yang melancong, ada yang belajar, ada yang bekerja dan ada yang tidak diketahui tujuannya. Fikiran ini melayang seketika. Memikirkan seribu satu persoalan yang bersarang di hati.

“Tit tit”, telefon tanganku berbunyi. Pesanan ringkas dari hasnur. “Ana dah sampai depan terminal”. Ana bergegas menolak troli. Mata ini melilau-lilau mencari arah tuju. Kelihatan motosikal Suzuki berwarna hijau sedia menanti di tepian. “Assalamualaikum, apa khabar sahabat?”, ana menyapa hasnur. Hasnur dengan gaya yang cukup spontan menggeleng-gelengkan kepala. “Banyak jugak barang?”, dia membalas. Ana seperti biasa hanya tersenyum sinis menuju ke motosikal. Setelah beg diletakkan di kedudukan yang paling strategik, Suzuki hijau menjalankan tugasnya membawa musafir ini ke destinasi seterusnya…

Bayu bertiup. Nafas ini dihela sepuas-puasnya. Campuran gas-gas disedut ke jantung, melalui peparu, bertukar di alveolus dan dipam ke seluruh badan termasuk otak. Bersama-sama bayu bertiup yang disedut seolah-olah tersimpan memori 4 tahun yang lepas. Di bumi inilah ana memperoleh ilmu. Di bumi inilah ana menimba seribu satu pengalaman hidup. Di bumi inilah ana bertemu sahabat-sahabat sefikrah. Di bumi inilah segala pahit manis ditempuh demi meneruskan tugas dan tangungjawab sebagai seorang khalifah. Dimanifestasikan sebagai seorang pelajar, seorang anak, seorang da’ie dan sebagainya. Di Sabah, negeri di bawah bayu.

Bumi yang subur. Tempat latihan seorang pendakwah. Bumi yang masih lagi dahagakan tenaga-tenaga da’ie yang kreatif dan cekal dalam menjalankan misinya. Moga bekalan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat membantu dalam meneruskan misi hidup. Sudah sunnatullah, berteori lebih mudah dari praktikal. Moga diri ini diberi kekuatan untuk mengaplikasikan segala teori yang telah dirungkai sebelum ini.

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq, Ogos 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com