>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Saturday, February 28, 2009

CERITA SAMBAL BELACAN

“Hai, habis sambal belacan? Baru sahaja emak buatkan semalam!” kedengaran suara emak di dapur semasa membuka peti ais.

Kami hanya tersenyum.

Saya dan adik beradik memang ‘hantu’ sambal belacan. Kasihan emak, setiap kali menumbuk sambal belacan, mahu sepuluh biji cili merah yang diguna. Itu pun hanya bertahan sehari dua. Makan tengah hari kena bersambal, makan malam kena bersambal, malah semasa sarapan pagi juga mesti ada sambal belacan!

Oleh kerana abah datang dari latar belakang keluarga bendang, maka tabiat makan nasi untuk sarapan pagi sudah menjadi kebiasaan kami semasa kecil. Sedikit lauk pauk baki semalam, telur goreng, timun dan sambal belacan, sudah cukup untuk kami berselera makan.

Lucu memikirkan semasa saya di sekolah rendah, pergi ke sekolah dengan tangan yang berbau sambal belacan kesan sarapan.

Lama juga saya mengambil masa untuk menukar cara bersarapan pagi. Sehingga dewasa, saya tidak berminat untuk menjamah mee goreng, nasi lemak apatah lagi kuih muih. Hanya nasi putih dan sambal belacan sahaja yang sesuai.

Namun, sehingga hari ini, saya masih terus menggemari sambal-sambal ini. Malah melihat kepada keluarga abang-abang saya juga, nampaknya mereka juga masih komited dengan sambal belacan. Paling kurang pun, cili padi dipatah-patah untuk dimakan dengan kepedasan menggantikan ketiadaan sambal.

Mungkin hari ini, semakin ramai yang tidak betah membuat sambal belacan. Justeru saya turunkan resepi sambal belacan saya, versi yang diwarisi daripada emak.


Sambal belacan Abu Saif

BAHAN-BAHAN

5 biji cili merah (lebih berkilat cili, lebih liat dan sukar untuk ditumbuk)
5 biji cili padi hijau
Sepotong belacan sebaiknya yang sudah dibakar
Sedikit gula dan garam
Sebiji limau nipis diperah jusnya

CARA MEMBUATNYA

Cili dipatah-patah kecil dan buang bijinya jika mahu mengurangkan kepedasan. Tumbuk di dalam lesung hingga elok lumatnya. Masukkan potongan belacan, gula dan garam itu tadi dan sambung menumbuk. Kemudian masukkan perahan limau nipis dan gaul hingga mesra.

Biar pun mesin pengisar (blender) sudah ada, rasa sambal yang ditumbuk di dalam lesung batu berbanding yang dikisar amat tidak sama. Sedaya upaya, saya akan menumbuk sambal secara manual, disimpan di dalam bekas kecil di dalam peti ais dan dimakan dari semasa ke semasa.

Mungkin dengan ulam petai, mungkin juga dengan daun tenggek burung, atau jika semua bekalan ulam habis, saya akan mematah pucuk daun kari (karipole) untuk dijadikan ulam.

IBRAH SAMBAL BELACAN

“Isk, isk, pedasnya! Taubat aku tak mahu dah makan sambal belacan!” seorang teman dari Kelantan meneguk bergelas-gelas air kerana cuba menghilangkan kepedasan sambal belacan saya.

Sudah dipesan, jika mahu dihilangkan kepedasan itu, elok minum air suam berbanding air sejuk. Tetapi beliau enggan mengikut petua saya.

Lucu melihatnya.

Taubat tidak mahu lagi menjamah sambal belacan.

Namun disebabkan oleh kesedapannya, nanti jamah lagi.

Akhirnya timbul istilah TAUBAT SAMBAL BELACAN.

“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsu Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” [al-Qiyaamah 75: 2]

Nafsu Lawwamah itu adalah nafsu manusia yang sering menyesal.

Dirinya sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah terhadapnya, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya dari mengulangi kesalahan yang sama.

Sudah tahu salah, masih juga dibuat. Kemudian menyesal. Tidak mahu lagi mengulanginya.

Tetapi belum hilang panasnya dosa, diulang kembali salah yang sama.

Taubat Lawwamah itu adalah taubat sambal belacan. Sudah tahu pedas dan derita akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya.

Justeru bermujahadahlah sekalian kita yang bernafsu Lawwamah, agar beransur baik menuju Mulhamah dan seterusnya Mutmainnah.

Jangan kecewa dari bertaubat, kerana mungkin kamu mati dalam perjalanan menuju taubat yang seterusnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

TEORI EVOLUSI CINTA


Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.

Keras bunyinya.

Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.

“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.

Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.

Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.

“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A'araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

Asfala saafileen,” kata al-Quran.

Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.

Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

source

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Thursday, February 19, 2009

MOTIVASI HARTA, DUIT & KISAH RAJA NASYID DITIPU

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Allah swt telah mengingatkan kita berkali-kali di dalam kitab suci Al-Quran, demikian juga Baginda Nabi s.a.w sama ada melalui hadis dan juga perbuatannya.

Tipu daya wang dan harta begitu mencengkam di dalam hati dan diri manusia. Tipudaya ini pasti akan mendapat tempat di dalam jiwa sesiapa jua yang menjadikan kehidupannya berorientasi dan berkiblat keseronokan kekayaan orang kaya.

Bercerita berkenaan kejayaan dan kekayaan orang kaya sememangnya seronok dan menarik serta boleh memotivasikan diri. Namun tanpa kawalan, panduan dan pemantauan motivasi yang sihat boleh bertukar menjadi suatu kerakusan, ketamakan dan motivasi negatif yang memakan diri dan sesiapa sahaja di persekitarannya.

Hasilnya,

Rakan menjadi musuh,

Suami isteri bercerai berai,

Anak dan ibu bapa terpisah,

Jiwa atau nyawa boleh melayang,

Maruah tergadai,

Sokongan bertukar cercaan,

Cercaan bertukar sokongan dan dokongan,

Haram menjadi halal,

Ulama tidak terlepas menjadi mangsa, mereka mungkin DIKUTUK sama ada kerana kebenaran kerana tidak mahu menghalalkan yang haram atau DIKUTUK kerana menggadaikan prinsip dan hukum kerana wang dan jawatan sehingga menghalal yang haram, menyokong yang dengan pelabagi alasan lemah kebiasaanya atas nama ‘maslahat'. Mudah juga menghalalkan yang haram, sebut sahaja nama ‘maslahat'. Ingatlah, setiap maslahat punyai pelbagai syarat dan ketetapan agar ia tidak sewenangnya dipermain.

Itulah ‘pukulan' duit beribu atau berjuta dan harta. Sukar bukan untuk menolak tawaran RM 1 juta, 5 Juta, RM 50 juta; jangan juta, sekadar RM 5000 sahaja sudah memadai untuk membeli jiwa, nyawa, maruah seseorang di zaman ini.

MOTIVASI KAYA TANPA KAWALAN BAHAYA

Kerana sebuah motivasi kaya dunia, manusia berubah menjadi suatu jenis ‘monster' di hatinya. Sanggup sahaja dragut kedamaian sesiapa sahaja asal sasaran di hati sebagai jutawan boleh menjadi realiti.

Amat wajar kita sama-sama memuhasabahkan diri masing-masing. Saya, anda, keluarga kita dan rakan-rakan.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengaku diri sudah kebal dari cabaran ini. Bukan diri kebal, Cuma ujian sepertinya mungkin belum tiba. Bila ia tiba akan diketahui letak duduknya keimanan dan keyakinan terhadap suatu alam yang amat amat pasti iaitu barzakh, melalui kematian pemutus segala nikmat sementara dunia.

Nikmat pujian, nikmat populariti, nikmat wang dan harta, nikmat sokongan, nikmat apa lagi..? selamat tinggal semuanya.

RAJA NASYID DUNIA SAMI YUSUF DI'TIPU'

Sejak awal tahun 2008, saya sudah mengkagumi nasyid Asma Allah yang dipersembah oleh Sami Yusuf. Dikatanya, itulah salah satu lagu nasyid bagi sebuah album barunya yang bakal terbit sekitar bulan Ogos 2008. Namun, tidak juga muncul. Sebagaimana saya meminati Jet Li dalam bab kungfu, saya juga meminati Sami Yusuf dalam nasyidnya.

Februari 2009, akhirnya muncul album ketiga beliau bertajuk ‘Without You'. Saya dapat mendengar hampir kesemua lagu di dalam album ini melalui pelbagai kemudahan di internet. Namun yang mengejutkan adalah ia satu ‘PENIPUAN'!?

Benar, ia sememangnya suara Sami Yusuf di dalam tersebut, begitu juga penerbitnya iaitu Awakening Records. Ia juga diiklan di web http://www.samiyusuf.com/ (amaran ini bukan web Sami yusuf yang sebenarnya)

Hakikat sebenarnya, web tersebut dikawal oleh penerbitnya yang makan kawan sehingga mendahului Sami Yusuf. Ringkasnya, album ‘Without You' dikeluarkan tanpa persetujuan Sami Yusuf. Keadaan ini semakin jelas apabila rupanya web sebenar Sami Yusuf adalah http://www.samiyusufofficial.com/, dimana beliau menyeru orang ramai terutama peminatnya untuk memboikot album ‘without you'. Disertakan juga video pengakuan lisan beliau yang mengatakan album ini adalah satu pencabulan tanpa persetujuan. Dengarkan ucapan Sami Yusuf di temubual beliau dengan Riz Khan di web rasmi Sami Yusuf.

Apa sebenarnya berlaku,?

Rupanya album Sami Yusuf bertajuk al-Muallim telah terjual sekitar 5 juta album. Konsertnya di Wembley menyebabkan jammed teruk di London. Keadaan ini agaknya menyebabkan pihak penerbit yang mulanya amat rapat dengan Sami Yusuf dirasuki virus yang telah kita sebutkan di atas. Virus ketamakan dan motivasi kaya tanpa kawalan, sehingga tidak lagi sabar dan menurut Sami Yusuf, penerbitnya menjadi tidak telus dalam urusan.

Akhirnya pihak Awakening menerbitkan album ketiga yang bertaraf demo dan mp3. Pihak Awakening mendakwa mereka mengeluarkannya secara sah kerana perjanjian dengan Sami Yusuf adalah 5 buah album.

Album sebenar akan keluar katanya dalam beberapa waktu terdekat.

SAYA PERNAH MENJADI MANGSA TERBIT TANPA IZIN

Saya sendiri walau bukan punyai status popular di dalam masyarakat, NAMUN pernah merasai keadaan ini. Iaitu apabila cd kurusus solat saya diterbit dan dijual tanpa keizinan dan persetujuan saya. Mungkin anda pernah menjumpainya di mana-mana.

Benar, sememangnya saya berpakat dengan pihak yang merakam untuk menerbitkannya, namun setelah saya meneliti cara ceramah dan kandungan kursus itu saya tidak merasakan ia sesuai untuk disebarkan kepada umum disebabkan kualiti rakaman dan juga kesesuaian kandungannya untuk seseorang diluar kursus. Namun, ia terjadi dan setiap kali ini terjadi, pertikaman lidah dan pertengkaran sukar dielakkan dan ia amat dikesali.

Kenyataan rasmi Sami Yusuf berkenaan penerbitan Album baru tanpa izinnya. BUKA SAMI YUSUF

sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

19 Feb 2009

Monday, February 16, 2009

HUKUM RAI VALENTINE DAN JUAL BUNGA



Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

SOALAN

Assalamualaikum ustaz,

Benarkah hukum menyambut hari Valentine adalah haram, bagaimana pula hukum menjual hadiah dan bunga kepada pasangan-pasangan bukan Islam?



JAWAPAN

Saya telah menyertakan jawab di ruangan artikel bahasa Inggeris, bagi membantu rakan-rakan yang kurang selesa memahami bahasa inggeris, disertakan jawapan ringkas saya berkenaan sambutan hari valentine.

Asal-usul Valentine

Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera.

Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Valentine)


Justeru, secara ringkasan saya boleh simpulkan seperti berikut :-


1) Perayaan dalam Islam telah disebutkan oleh Nabi iaitu dari sabdaan Nabi SAW :

(إن لكل قوم عيدا وإن هذا عيدنا)

Ertinya : Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892)

Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja.

Bagaimanapun, jika sesuatu majlis, keraian dan sambutan itu dianjurkan bukan atas asas atau nama agama serta tiada kaitan dengannya bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata. Ianya boleh dan harus diraikan dengan syarat sambutannya tidak diserapi apa jua unsur maksiat dan syirik. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan Negara, sambutan ulangtahun penubuhan sesebuah syarikat dan sebagainya. Cuma ia bukanlah disambut sebagai hari raya ketiga atau keempat, tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja.

Ini bermakna, tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya.


2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan.

Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma' (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722)


3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang.

Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis :

"Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari).

Islam sangat melarang keras untuk saling membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang terhadap umat manusia.

Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim)

Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan munkar


4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan sepertinya.


5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti :



وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

"Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam"
( An-Nisa : 140 )

Diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa dia pernah mendengar Rasulullah s,a.w. bersabda:

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah duduk pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak." (Riwayat Ahmad)

Maka majlis arak yang haram itu adalah sama hukumnya dengan majlis Valentine yang juga haram.



6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan"

Bagaimanapun hukum menjual bunga sahaja, ia tidak kurang dari kategori jualan yang syubhah, makruh atau haram khas di hari Valentine.

Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang memberi hadiah satu bekas arak kepada Nabi s.a.w., kemudian Nabi memberitahu bahwa arak telah diharamkan Allah. Orang laki-laki itu bertanya:

Lelaki: Bolehkah saya jual?

Nabi: Zat yang mengharamkan meminumnya, mengharamkannya juga menjualnya.

Lelaki: Bagaimana kalau saya hadiahkan raja kepada orang Yahudi?

Nabi: Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak, mengharamkan juga untuk dihadiahkan kepada orang Yahudi.

Lelaki: Habis, apa yang harus saya perbuat?

Nabi: Tuang saja di dalam parit air. (Al-Humaidi dalam musnadnya)

Justeru, kita dapat melihat bahawa benda yang haram, maka haram juga dijualnya mahupun dihadiahkan. Dalam hal menjual bunga, ia juga boleh menjadi syubhah di hari Valentine seperti ini, kerana diketahui ianya dibeli khas untuk mearikan Valentine yang haram. Seperti juga hokum menjual anggur kepada tukang buat arak yang telah diketahui. Ia tidak dibenarkan dalam Islam menurut pendapat yang terkuat.


7) Dilarang juga saling mengirim ucapan bersempena hari ini.



Sekian


Ust Zaharuddin
26 Muharram 1428 = 14 Feb 2007
(DISIARKAN SEMULA DI MUKA HADAPAN WEB PADA 12 FEB 2009 )

KRISIS DI PERAK



Selangor merupakan antara negeri yang mengisytiharkan cuti umum untuk perayaan Thaipusam. Pada tahun ini, Thaipusam jatuh pada tanggal 8 Februari 2009 bersamaan hari Ahad. Jadi tanggal 9 Februari 2009 bersamaan hari Isnin diisytiharkan sebagai cuti umum Thaipusam. Pada hari itu, ana berkesempatan menyertai rombongan pemuda PAS Selayang dan IT PAS Pusat untuk melawat sahabat-sahabat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.


Kami bertolak lebih kurang jam 8.45 pagi dari Rawang dan tiba di Ipoh sekitar jam 10.30 pagi. Tiba sahaja di Ipoh, wakil rombongan kami, cuba menghubungi SU Politik MB Perak, Ustaz Misbahul Munir. Menurut kenyataan beliau, mungkin kami hanya akan dapat bertemu dengannya beserta beberapa sahabat yang lain kerana DS Ir. Nizar agak sibuk dengan pertemuan-pertemuan dan mesyuarat tergempar.


Alhamdulillah, setelah mendapat beberapa petunjuk, kami selamat tiba di kediaman rasmi MB Perak. Tiba di pintu pagar, Unit AMAL siap siaga bertindak mengawal kediaman tersebut. Tiada apa-apa kekecohan, hanya langkah berjaga-jaga. Setibanya kami di lobi, kami duduk di sofa berhampiran pintu masuk. Khabarnya DS Ir. Nizar sedang menerima wartawan WASILAH. Wartawan THE SUN sedang menunggu giliran, dan sebentar lagi satu mesyuarat akan diadakan. Sahabat-sahabat perhubungan PAS cuba menerangkan situasi yang sedang hangat diperkatakan di negeri Perak darul Ridzuan.


Secara mudahnya, negeri Perak sedang menghadapi kemelut yang diistilahkan sebagai Constitutional Crisis ataupun dalam bahasa melayunya disebut Krisis perlembagaan. Satu surat khas untuk menerangkan kepada Sultan mengapa DS Ir. Nizar enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak telah diutus. Berikut adalah isi kandungan surat tersebut;



Surat Nizar pada Sultan, sebab tidak letak jawatan MB

Harakahdaily
Fri | Feb 06, 09 | 9:10:50 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak.

Surat tersebut adalah reaksi kepada titah baginda yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Manakala Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Mohamad Nizar dan semua anggota exconya mengosongkan pejabat mereka dengan segera.

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,

MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,

Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin

Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Sedang kami teliti mendengar sekitar jam 11.45 pagi kami dikejutkan dengan suatu berita. YB Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang Meninggal dunia. Beliau meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke farmasi menaiki basikal. Beliau dipercayai jatuh dari basikal kerana serangan jantung. Innalillahi wa Inna ilaihi raajiun. Hanya itulah kalimah yang mampu diucapkan. Dari Allah kita datang, kepadaNya kita pulang.


Selang beberapa ketika, kami dijemput oleh DS Ir Nizar untuk ke bilik pertemuannya untuk melakukan sedikit perbincangan. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Kalimah tasbih, tahmid dan takbir terpacul dari mulut ini. Sebenarnya, rombongan kami tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk bertemu dengan DS Ir Nizar. Namun, sikap rendah diri, tenang, tabah dan professional yang dimiliki oleh beliau memungkinkan kami untuk melakukan sedikit perbincangan di saat-saat yang genting ini.


Setelah melakukan diskusi ringkas, rombongan kami bersurai. Sebelum meninggalkan kediaman rasmi menteri besar, kami menuju ke bilik media untuk mendapatkan maklumat dan menawarkan bantuan sekadar yang termampu. Kami bergerak meninggalkan kediaman rasmi menteri besar sekitar jam 1.45 petang. Setelah makan tengahari, kami terus bertolak menuju ke kediaman Allahyarham YB Roslan Shaharom untuk menziarahi jenazah. Seperti yang dijangka, begitu ramai sekali manusia yang menziarahi beliau. Subhanallah, begitu tenang dan bersih muka jenazah menghadap pencipta-Nya. Semoga Allah merahmati allahyarham.


Sesungguhnya, lawatan ke Ipoh hari ini bukanlah sekadar lawatan biasa seumpama slot ’jalan-jalan cari makan’ yang biasa kita lakukan bersama kawan-kawan atau keluarga. Tetapi, lawatan ini adalah sebuah lawatan ukhuwwah ikatan akidah perjuangan yang telah terbina sekian lama. Moga Allah sentiasa merahmati perjuangan sahabat-sahabat di negeri Perak dan memberikan kekuatan pada mereka untuk menghadapi mehnah dan tribulasi yang cukup hebat di sana. Ameen Ya Rabbal ’Aalameen.

Thursday, February 12, 2009

GERAK USAHAWAN



Tanggal 8 februari 2009 yang lalu, ana sempat berkunjung ke tapak pameran Gerak Usahawan Nasional 2009 bertempat di PWTC. Program ini adalah anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Subhanallah, sememangnya insan berjiwa usahawan akan teruja apabila mengunjungi pameran ini. Begitu banyak nilai-nilai keusahawanan yang dapat dipelajari dan diamati sepanjang kunjungan berlangsung.


Ana mengamati produk-produk dan servis yang dipromosikan. Dari produk kopi sehinggalah servis IT, kesemuanya begitu mengujakan dan mempunyai kelebihan dan keunikan masing-masing. Terlintas di lubuk hati, alangkah bagusnya jika usahawan-usahawan di negara kita ini dapat memperkembang potensi perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa. Bukan sahaja demi kemajuan dan keuntungan material, malahan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar negara terutamanya produk-produk Israel dan Amerika Syarikat yang sedang giat diboikot.


Permata Hijrah


Mata ana giat memerhatikan pameran. Ana singgah sebentar di booth Permata Hijrah yang menjual produk kesihatan mata. “Dik, kami ada promosi rawatan mata percuma hari ni, Mai la duduk sini cuba”, seorang jurujual menyapa ana. Pucuk dicita ulam mendatang. Kecil tapak tangan, nyiru ana tadahkan. Sememangnya ana mengidap rabun jauh sejak sekolah rendah lagi. Setelah dititiskan dengan titisan produk Permata Hijrah, ana dipakaikan alat urutan OSIM untuk mata yang menyerupai goggle.


Terasa lega urat-urat disekeliling mata diurut oleh mesin itu. “Mesin ni berapa harga dia kak?”, ana melontar persoalan. “Kalau mesin ni, lebih kurang RM300 harganya”, dia tenang menjawab. Ana hanya mampu menelan air liur mendengar harganya.


Rakan Niaga


Pemerhatian diteruskan. Tiba-tiba ana terserempak dengan sahabat dari Bandar Tasik Puteri, Syeikh Zaidi. “Assalamualaikum Syeikh, apa khabar? Sorang je ke?”, ana menyapa. “Waalaikumussalam, ya sorang je, jom kita round sama-sama”, Syeikh Zaidi mempelawa. Syeikh Zaidi merupakan seorang businessman yang berjaya. Perniagaan utamanya ataupun core business beliau adalah di bidang IT.


Minat ana pada bidang IT begitu mendalam. Perbincangan perniagaan yang dicetuskan oleh Syeikh Zaidi begitu menarik minat dan perhatian ana. Al-maklumlah, sememangnya isu yang dibincangkan merupakan bidang yang diminati, sudah tentu fokus akan diberikan sepenuh hati pada subjek tersebut. Konsep-konsep perniagaan dan keusahawanan yang dilontarkan oleh Syeikh Zaidi begitu mencuit hati dan naluri usahawan dalam diri ini.

Fadzli Yusof


Sedang asyik kami melawati booth-booth perniagaaan di situ, kami terserempak dengan salah seorang personaliti yang tidak asing lagi di Malaysia, saudara Fadzli Yusof. Beliau merupakan seorang Professional Trainer & Speaker bagi Syarikat Global Genius Consultant dan RK Training. Kesempatan yang diperoleh dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Syeikh Zaidi untuk mengintai peluang perniagaan dan mengorek maklumat terkini untuk syarikatnya, aljaroom. Namun bukan itu sahaja agendanya.



Kami sempat mengabadikan saat-saat pertemuan kami dengan saudara Fadzli Yusof menggunakan kamera telefon Syeikh Zaidi. Al-maklumlah, bukannya selalu menemui peluang sebegini. Moga-moga roh semangat usahawan itu sedikit sebanyak mengalir ke dalam diri ini, Insya Allah.


Siti Khadijah


Berfikir tentang perniagaan dan keusahawanan, ana teringat pada sebuah buku yang ditulis oleh Ashadi Zain. Rahsia Bisnes Isteri Nabi: Khadijah. Apabila menyebut sahaja Khadijah, biasanya akan tergambar dibenak kita akan wataknya sebagai seorang isteri solehah kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Namun, jangan kita lupa bahawa beliau juga merupakan seorang usahawan ternama di Makkah. Pertemuan Khadijah dengan Nabi Muhammad juga berlaku dalam perniagaan.



Melihat kepada subtopik buku ini sudah cukup membuatkan seseorang usahawan kepingin untuk membaca dan menelusuri tips-tips perniagaan yang cukup bernilai dari serikandi kesayangan nabi ini. Berikut merupakan subtopik yang dibincangkan dalam buku ini;


1 Profil Ringkas Khadijah

2 Berniaga adalah Budaya Masyarakat Arab

3 Memanfaatkan Sistem Business Matching

4 Khadijah Menilai Peluang Perniagaan dan Diri Nabi Muhammad

5 Mudarabah Antara Nabi Muhammad dan Khadijah

6 Analisis Kos-Faedah

7 Mewujudkan Program Pengiktirafan

8 Memantau Perkembangan Perniagaan

9 Budaya Dipacu Prestasi

10 Bijak Menjalin Hubungan Baik dengan Semua Pihak

11 Pembezaan dalam Perniagaan Khadijah

12 Struktur Organisasi Perniagaan Khadijah yang Berkesan

13 Pengurusan Risiko

14 Kesinambungan Perniagaan dan Rancangan Pewarisan

15 Menjangka Masalah Perniagaan

16 Masalah Agensi

17 Keputusan Tepat Memilih Nabi Muhammad Sebagai Mudarib

18 Kesinambungan Hubungan Awal Antara Nabi Muhammad dan Khadijah