>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Wednesday, December 3, 2008

PENGERTIAN IMAN

Sekadar berkongsi pengisian Usrah. Dipetik dari Kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin. Karangan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Bab yang kelima. Moga-moga ada manfaat sebagai ilmu buat yang tidak mengetahui dan sebagai tazkirah buat yang sedia maklum;

Iman itu ialah tasdiq (membenarkan). I’tiqad dengan hati kepada apa yang diketahui yang ianya daripada Deen Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta ikrar dengan lidah dan amal.

Tasdiq itu mestilah juga menerima serta redha dengan semuanya, tidak ada ingkar dan perasaan ragu serta tidak menjuzuk-juzukkan kepercayaannya.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman (pada hakikatnya) sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka berselisih dikalangan mereka, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keraguan terhadap apa-apa keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.” (An-Nisa’: 65)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu.” (Al-Hujurat: 15)

Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak berpisah walaupun berbeza dari segi takrif kerana amal itu adalah hasil daripada iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal. Lantaran itu Allah SWT menyebut iman beriringan dengan amal.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah hanya mereka yang apabila disebut Allah terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan sembahyang, berbelanja daripada apa yang Kami beri rezeki kepada mereka. Mereka itulah orang beriman dengan sebenarnya.” (Al-Anfaal: 2 – 4)

Berdasarkan kepada yang tersebut di atas maka pendapat Muktazilah yang menjadikan amal sebagai syarat iman adalah ditolak. Oleh kerana itu orang yang mengerjakan maksiat masih di anggap beriman selagi hatinya masih percaya dan tidak ada tanda-tanda ingkar.

Sementara itu, pendapat Murji’ah yang mengatakan bahawa iman itu tasdiq dengan hati dan ikrar sahaja dengan tidak payah beramalpun dikira salah kerana Allah SWT menyebut bahawa iman itu beriringan dengan amal.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” (al-Kahfi: 107)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik).” (Al-An’aam: 82)

Pendapat Karaamiyyah yang mengatakan bahawa iman itu hanyalah ikrar dengan lidah sahaja dikira salah juga kerana firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Orang-orang Arab Badwi berkata: ‘Kami telah beriman’, katakanlah kepada mereka. ‘Kamu belum beriman tetapi katakanlah, Kami telah Islam’. Kerana Iman itu belum masuk ke dalam hati mereka.” (Al-Hujurat: 14)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Di antara manusia itu ada yang mengatakan, ‘Kami berimankepada Allah dan hari Kemudian’, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang beriman.” (Al-Baqarah: 8)

Juga, iman itu tidak sah jika apa yang di tasdiqkan itu tidak menepati syara’ seperti orang-orang yang beriman dengan taghut hatta walaupun dia beriman juga dengan Allah SWT.


Maksudnya:

Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang diberikan bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada yang disembahselain daripada Allah dan taghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir bahawamereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati oleh Allah. Barangsiapa yang dilaknati oleh Allah nescaya kamu sekali-sekali tidak akanmemperolehi penolong baginya.” (An-Nisa’: 51 –52)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, pada hal mereka telah diperintah mengingkari taghut. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang jauh.” (An-Nisa’: 60)

No comments: