>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Monday, September 29, 2008

Saifulislam.Com di BLOG RTM1

Alhamdulillah, rancangan BLOG di RTM1 telah menjemput saya untuk bersumbangsaran pada siaran 28 Ramadhan 1429H / 28 September 2008. Ia merupakan satu peluang baru untuk saya meneroka medan memberi dengan capaian yang lebih luas.

Siaran bersama saya dipengerusikan oleh Dato’ Chamil Wariya, seorang tokoh wartawan yang sangat prolifik dan berpengalaman luas.

“Hah, Hasrizal, Abu Saif, Saifulislam… apa wajah sebenarnya!”, sergah beliau semasa saya dan Ummu Saif bersantai di perkarangan Foyer Wisma TV, Angkasapuri bersama Encik Hasshim Abu Hanifah yang juga penerbit kepada rancangan ini.

Perbualan sekitar 10 minit itu sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada saya tentang isu-isu yang bakal diperkatakan secara live di televisyen sebentar kemudian. Saya mengagumi usaha persiapan Dato’ Chamil Wariya yang teliti menganalisa blog saifulislam.com ini, hingga kepada perkara-perkara kecil yang mungkin jarang dipedulikan oleh pengunjung lain. Persis seorang wartawan profesional yang menghargai setiap perkara kecil sebagai titik harga kepada maklumat dan penyampaian.

BLOG adalah rancangan yang berbeza daripada segmen Islam Hadhari di dalam Selamat Pagi Malaysia yang sering menjemput saya kerana program ini kasual, sama ada pakaiannya, mahu pun bahasa dan gaya soal jawabnya. Mood kasual menjadikan segmen lebih hidup, malah sesuai dengan blog saifulislam.com sendiri yang mengekalkan mood yang sama.


Bersama Encik Hasshim(Moderator dan Penerbit), Dato’ Chamil Wariya dan Encik Zaki (Pengarah) selepas siaran BLOG di RTM1

Secara peribadi, mungkin point terpenting yang saya syukuri kerana berpeluang menyatakannya adalah soal sekatan dan kawalan yang menjadi soalan tetap setiap minggu!

“Kita boleh berbeza pandangan di dalam masalah politik, akademik dan lain-lain tetapi kita tidak boleh berbeza pendapat di dalam soal AKHLAQ. Saya menerima keperluan penguatkuasaan, namun ia harus didahului dengan pendidikan dan peluang menyatakan pandangan juga maklum balas. Kawalan dan etika ke atas diri saya semasa berblog ialah etika yang sama di dalam kehidupan di luar blog iaitulah, beribadah kepada Allah seperti melihat-Nya, atau sekurang-kurangnya merasakan bahawa Allah melihat kita…”

Banyak soalan yang disediakan dan sebahagian besarnya berjaya dimuatkan dalam tempoh 20 minit itu, namun kejutan terbesarnya ialah apabila saya ‘dianugerahkan’ gelaran DATO’ di hujung rancangan! Penuh inbox telefon saya dengan mesej ‘tahniah’ di malam-malam akhi Ramadhan ini :-P

Syukur kepada Allah atas peluang memberi… tidak lupa kepada Ummu Saif yang setia meneman di sisi. Di sebalik saifulislam.com, ada ummusaif.com yang tersendiri…

Selamat menyambut Aidilfitri, semoga Allah menerima segala amalan kebajikan di sepanjang Ramadhan, ameen ya Rabb al-’Aalameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments: