>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Showing posts with label Ustaz Hasrizal. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Hasrizal. Show all posts

Wednesday, August 12, 2009

AHMAD MUIZZUDDIN



Sempena forum Israk Mikraj di Masjid Bukit Indah, Ampang 24 Julai 2009 yang lalu, ana berpeluang menziarahi Ustaz Hasrizal yang baru sahaja menerima kelahiran baru dalam keluarganya iaitu Ahmad Muizzuddin.




Ana juga berpeluang untuk bermesra dengan anak-anak beliau iaitu Saifulislam, Naurah dan Imad. Jika selama ini ana hanya mampu membaca cerita-cerita mereka di blog, pada hari itu, ana berdepan secara langsung dengan insan-insan yang memberi inspirasi kepada Ustaz Hasrizal sama ada dalam hidupnya mahupun penulisannya.

Ana sempat juga berlagak seperti ayah, cuba mendukung Ahmad Muizzuddin. Ketara kekok nya tangan ini menimang anugerah Allah ini. Al-maklumlah, bujang lagi...ops. Insya Allah tak lama lagi. Doakan la ye. hehehe



Melihat suasana kekeluargaan yang begitu mencabar sesekala mengusik hati ini. Adakah mampu aku memikul tanggungjawab seorang anak kepada kedua orang tuaku kelak? Adakah mampu aku memikul tanggungjawab seorang suami? Adakah mampu aku memikul tanggungjawab seorang ayah? Adakah mampu aku memikul tanggungjawab seorang menantu? Adakah mampu aku memikul tanggungjawab seorang abang? dan banyak lagi...

Berbalik kepada firman Allah dalam Surah Al-Mulk; ayat 2 yang bermaksud; Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Dunia ini medan ujian dari Allah S.W.T.

Allah sememangnya akan menguji hamba-hambanya untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya. Justeru, mahu atau tidak mahu, kita sebagai manusia ciptaannya hendaklah menghadapi mehnah dan tribulasi yang ada di dunia ini. Kembalilah kepada tujuan hidup yang sebenar iaitu Mardhatillah. Wallahualam.

Wednesday, May 13, 2009

KLIBF 2009


Pesta buku kali ini sangat mengujakan. Budget yang diperuntukkan untuk membeli buku semakin bertambah. bermula tanggal 17 April - 26 April 2009, ana telah pun mengunjungi PWTC sejak hari pertama lagi. Apa yang ana tak dapat lupakan ialah, ana berpeluang berjumpa secara langsung dengan Ustaz Hasrizal, salah seorang qudwah ana dalam isu penulisan terutamanya penulisan blog. Beliau melancarkan dua buah buku kali ini iaitu Bercinta Sampai ke Syurga (ATN 2) dan Rindu Bau Pohon Tin (Siri Kembara dataran Syam).





Ana juga berpeluang bertemu penulis yang tersohor iaitu saudara Faisal Tehrani yang baru melancarkan buku barunya iaitu Ketupat Cinta. Semoga buku-buku yang dibeli dapat dihabiskan pembacaannya dalam kadar yang memuaskan, dan semoga buku-buku tersebut dapat dimanfaatkan dalam setiap sudut, Insya Allah.


Saturday, February 28, 2009

CERITA SAMBAL BELACAN

“Hai, habis sambal belacan? Baru sahaja emak buatkan semalam!” kedengaran suara emak di dapur semasa membuka peti ais.

Kami hanya tersenyum.

Saya dan adik beradik memang ‘hantu’ sambal belacan. Kasihan emak, setiap kali menumbuk sambal belacan, mahu sepuluh biji cili merah yang diguna. Itu pun hanya bertahan sehari dua. Makan tengah hari kena bersambal, makan malam kena bersambal, malah semasa sarapan pagi juga mesti ada sambal belacan!

Oleh kerana abah datang dari latar belakang keluarga bendang, maka tabiat makan nasi untuk sarapan pagi sudah menjadi kebiasaan kami semasa kecil. Sedikit lauk pauk baki semalam, telur goreng, timun dan sambal belacan, sudah cukup untuk kami berselera makan.

Lucu memikirkan semasa saya di sekolah rendah, pergi ke sekolah dengan tangan yang berbau sambal belacan kesan sarapan.

Lama juga saya mengambil masa untuk menukar cara bersarapan pagi. Sehingga dewasa, saya tidak berminat untuk menjamah mee goreng, nasi lemak apatah lagi kuih muih. Hanya nasi putih dan sambal belacan sahaja yang sesuai.

Namun, sehingga hari ini, saya masih terus menggemari sambal-sambal ini. Malah melihat kepada keluarga abang-abang saya juga, nampaknya mereka juga masih komited dengan sambal belacan. Paling kurang pun, cili padi dipatah-patah untuk dimakan dengan kepedasan menggantikan ketiadaan sambal.

Mungkin hari ini, semakin ramai yang tidak betah membuat sambal belacan. Justeru saya turunkan resepi sambal belacan saya, versi yang diwarisi daripada emak.


Sambal belacan Abu Saif

BAHAN-BAHAN

5 biji cili merah (lebih berkilat cili, lebih liat dan sukar untuk ditumbuk)
5 biji cili padi hijau
Sepotong belacan sebaiknya yang sudah dibakar
Sedikit gula dan garam
Sebiji limau nipis diperah jusnya

CARA MEMBUATNYA

Cili dipatah-patah kecil dan buang bijinya jika mahu mengurangkan kepedasan. Tumbuk di dalam lesung hingga elok lumatnya. Masukkan potongan belacan, gula dan garam itu tadi dan sambung menumbuk. Kemudian masukkan perahan limau nipis dan gaul hingga mesra.

Biar pun mesin pengisar (blender) sudah ada, rasa sambal yang ditumbuk di dalam lesung batu berbanding yang dikisar amat tidak sama. Sedaya upaya, saya akan menumbuk sambal secara manual, disimpan di dalam bekas kecil di dalam peti ais dan dimakan dari semasa ke semasa.

Mungkin dengan ulam petai, mungkin juga dengan daun tenggek burung, atau jika semua bekalan ulam habis, saya akan mematah pucuk daun kari (karipole) untuk dijadikan ulam.

IBRAH SAMBAL BELACAN

“Isk, isk, pedasnya! Taubat aku tak mahu dah makan sambal belacan!” seorang teman dari Kelantan meneguk bergelas-gelas air kerana cuba menghilangkan kepedasan sambal belacan saya.

Sudah dipesan, jika mahu dihilangkan kepedasan itu, elok minum air suam berbanding air sejuk. Tetapi beliau enggan mengikut petua saya.

Lucu melihatnya.

Taubat tidak mahu lagi menjamah sambal belacan.

Namun disebabkan oleh kesedapannya, nanti jamah lagi.

Akhirnya timbul istilah TAUBAT SAMBAL BELACAN.

“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsu Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” [al-Qiyaamah 75: 2]

Nafsu Lawwamah itu adalah nafsu manusia yang sering menyesal.

Dirinya sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah terhadapnya, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya dari mengulangi kesalahan yang sama.

Sudah tahu salah, masih juga dibuat. Kemudian menyesal. Tidak mahu lagi mengulanginya.

Tetapi belum hilang panasnya dosa, diulang kembali salah yang sama.

Taubat Lawwamah itu adalah taubat sambal belacan. Sudah tahu pedas dan derita akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya.

Justeru bermujahadahlah sekalian kita yang bernafsu Lawwamah, agar beransur baik menuju Mulhamah dan seterusnya Mutmainnah.

Jangan kecewa dari bertaubat, kerana mungkin kamu mati dalam perjalanan menuju taubat yang seterusnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

TEORI EVOLUSI CINTA


Korang ni asyik bergayut telefon sampai jauh-jauh malam, tak fikir ke yang benda ni salah?” tanya Siti kepada rakan sebiliknya.

“Kami bincang bab persatuanlah. Jangan buruk sangka. Ini benda basic dalam agama. Takkan itu pun nko tak tahu?” balas Nur.

Keras bunyinya.

Terganggu dengan teguran Siti itu barangkali.

“Alaaa, kita orang study je. Bukan ada buat apa pun. Come on la wei!” Zul berasap telinga. Bengang ditegur Farhan.

“Kalau tak boleh macam ni, habis yang orang kat Mekah tu bercampur aduk keliling Kaabah, nko ingat masa tu orang tak ada nafsu ke? Kenapa di situ boleh, tapi kat sini banyak pula songel kau?” bentak Bob yang amat berbulu mendengar tazkirah Halim.

Manusia bijak membuat justifikasi. Pemikiran kreatif seorang manusia, bijak sekali mencari ruang-ruang di celah hukum untuk mengharuskan perlakuan mereka.

‘KEBIJAKAN’ BANI ISRAEL DAN TANGKAPAN IKAN SABTU

Seperti gelagat Bani Israel yang diharamkan bekerja menangkap ikan pada hari Sabtu. Tujuannya ialah supaya hari itu didedikasikan sepenuhnya kepada ibadah khusus mereka kepada Allah.

Namun kaum yang bijak ini, pantas bermain helah.

Kreativiti minda mereka digunakan untuk memasang perangkap dan jaring supaya ikan-ikan itu tersangkut dengan sendiri tanpa mereka sendiri melakukannya dengan tangan. Justeru bolehlah dihujahkan dengan bijak kepada Allah bahawa mereka tidak menangkap ikan, sebaliknya ikan itu yang tertangkap sendiri, dan halal benarlah perbuatan itu bagi mereka.

“Salah ikan, bukan salah kami!” barangkali begitulah helah mereka.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“”Dan tanyakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik lagi durhaka” [al-A'araaf 7: 163]

Mereka membelok hujah ke sana sini untuk menyedapkan hati sendiri. Apabila akal fikiran yang dikurniakan Allah digunakan untuk menipu Allah, turunlah darjat manusia kepada kerendahan yang hina. Akal dikurniakan Allah kepada manusia agar dengan akal itu manusia tunduk mentaati-Nya, bukan berputar belit mencipta alasan menipu Dia. Akal yang digunakan untuk menipu Tuhan, adalah sebuah kehinaan terhadap kejadian manusia.

Asfala saafileen,” kata al-Quran.

Justeru mereka beralih kejadian, dihukum Allah menjadi makhluk yang lebih sepadan dengan kerendahan itu:

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina!” [al-Baqarah 2: 65]

Inilah TEORI EVOLUSI CINTA. Bermula dengan sebaik-baik kejadian, mereka bermain cinta murahan beralaskan akal dan hujah-hujahnya. Dengan cinta sehina itu, manusia beransur-ansur turun sifat kemanusiaannya. Hilang malu yang menjadi benteng iman. Akhirnya menjadi kera.

Kera itulah barangkali yang terkinjal-kinjal dilamun cinta monyet terkena sumpahan Allah ke atas kaum yang mensesiakan akal kurniaan Tuhan untuk menipu Tuhan.

BATAS PERGAULAN

Lupakah kita kepada sebab musabab mengapa Allah Subhanahu wa Ta’aala mengajar agar dalam pergaulan ini biar ada batasan? Ayuh kita pulang sejenak kepada firman-Nya:

“Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari mereka maka mintalah kepada mereka dari sebalik hijab. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka” [al-Ahzaab 33: 53]

Kalimah mataa’an itu mencakupi urusan-urusan persatuan, pembelajaran, mesyuarat, hal ehwal pejabat dan segala muamalat seharian kita. Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kepada lelaki dan perempuan, tatkala berurusan dengan hal ehwal seperti ini, laksanakanlah ia dengan perantaraan HIJAB.

Hijab itu tafsirannya luas.

Sama ada hijab itu merujuk kepada pengertian asalnya yang bererti tabir penutup, atau kepada konsep yang lebih luas mengenainya, hijab itu membawa pengertian batas-batas yang menghadkan pergaulan kita. Hijab yang membataskan tingkah laku, hijab yang membataskan pandangan dan pengamatan, hijab yang membataskan pendengaran, bahawa di antara lelaki dan perempuan itu, kehendak-kehendak Allah menjadi pagar antara keduanya.

Apakah tujuannya semua itu?

Inilah yang gagal difahami oleh kaum yang bijak pandai ini. Mereka berdolak dalih tentang alasan-alasan sosial serta maslahah awam, serta tidak segan silu mencari pula hujah-hujah yang berkonotasi agama untuk menolak keperluan batas-batas ini.

Nko tak baca ke apa yang dia hantar dalam sms ini? Dia hantar hadith, ko tahu tak? Bukannya lirik lagu Anuar Zain!” tegas seorang ‘ukhti’.

Beliau sedang ‘mencanak naik iman’ selepas menerima sms pada jam 5 pagi tentang fadhilat Qiyamullail dari jejaka seperjuangannya. Namun akhirnya segala itu hanyalah sebuah kedunguan. Berlakon bijak bermain-main dengan Tuhan.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan kita menjaga batas ini, adalah untuk mengawal sesuatu yang manusia lemah terhadapnya.

Iaitulah soal HATI!

“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka”

Ya, siapakah yang lebih kenal akan soal hati selain Dia?

Dia yang menggelarkan hati kita sebagai QALB, iaitu sesuatu yang berbolak balik terlentang terlangkup dengan begitu mudah di sepanjang perjalanan hidup ini. Sesungguhnya dengan segala unsur bijak yang ada di minda, kita terlupa bahawa Allah mahu menyelamatkan kesucian HATI, yang tidak mampu ditanggung logik. Akal kita dengan ilmu di puncak menara gading mana sekali pun, tidaklah kuat untuk mengawal hati. Akal itu menteri, rajanya adalah hati. Sering sahaja raja yang berkuasa itu berpaling tadah dari akal kepada NAFSU.

Mulut kalian tidak menyebut.

Tetapi Allah mendengar debar rasa di sebalik pergaulan itu.

Tubuh kamu tidak menampakkan calar.

Tetapi Allah melihat kesan-kesan luka panahan Iblis yang menembus daging dan tulang temulang jati dirimu.

Jika soal halal dan haram itu terlalu banyak liku-likunya, pertimbangkanlah soal kesucian hatimu.

Wahai anak-anak muda yang kemaruk cinta, sama ada cinta itu versi YOU and I atau versi ANA wa ANTI, bertaqwalah kalian kepada Allah. Jangan nanti disumpah Allah cinta itu menjadi cinta kera, kaum yang dihina Allah kerana terlalu bijak cuba melicik Dia.

Kamu BIJAK SINI, tetapi Allah itu BIJAK SANA. Maha Bijaksana!

source

Allah memerintahkan kamu bercinta secara MANUSIA berpaksikan TAQWA, namun sengaja segelintir kamu mengundang sumpahan cinta KERA berbungakan DOSA.

Tersungkurlah kamu penuh kehinaan di lembah teori evolusi cinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Monday, September 29, 2008

Saifulislam.Com di BLOG RTM1

Alhamdulillah, rancangan BLOG di RTM1 telah menjemput saya untuk bersumbangsaran pada siaran 28 Ramadhan 1429H / 28 September 2008. Ia merupakan satu peluang baru untuk saya meneroka medan memberi dengan capaian yang lebih luas.

Siaran bersama saya dipengerusikan oleh Dato’ Chamil Wariya, seorang tokoh wartawan yang sangat prolifik dan berpengalaman luas.

“Hah, Hasrizal, Abu Saif, Saifulislam… apa wajah sebenarnya!”, sergah beliau semasa saya dan Ummu Saif bersantai di perkarangan Foyer Wisma TV, Angkasapuri bersama Encik Hasshim Abu Hanifah yang juga penerbit kepada rancangan ini.

Perbualan sekitar 10 minit itu sedikit sebanyak memberikan gambaran kepada saya tentang isu-isu yang bakal diperkatakan secara live di televisyen sebentar kemudian. Saya mengagumi usaha persiapan Dato’ Chamil Wariya yang teliti menganalisa blog saifulislam.com ini, hingga kepada perkara-perkara kecil yang mungkin jarang dipedulikan oleh pengunjung lain. Persis seorang wartawan profesional yang menghargai setiap perkara kecil sebagai titik harga kepada maklumat dan penyampaian.

BLOG adalah rancangan yang berbeza daripada segmen Islam Hadhari di dalam Selamat Pagi Malaysia yang sering menjemput saya kerana program ini kasual, sama ada pakaiannya, mahu pun bahasa dan gaya soal jawabnya. Mood kasual menjadikan segmen lebih hidup, malah sesuai dengan blog saifulislam.com sendiri yang mengekalkan mood yang sama.


Bersama Encik Hasshim(Moderator dan Penerbit), Dato’ Chamil Wariya dan Encik Zaki (Pengarah) selepas siaran BLOG di RTM1

Secara peribadi, mungkin point terpenting yang saya syukuri kerana berpeluang menyatakannya adalah soal sekatan dan kawalan yang menjadi soalan tetap setiap minggu!

“Kita boleh berbeza pandangan di dalam masalah politik, akademik dan lain-lain tetapi kita tidak boleh berbeza pendapat di dalam soal AKHLAQ. Saya menerima keperluan penguatkuasaan, namun ia harus didahului dengan pendidikan dan peluang menyatakan pandangan juga maklum balas. Kawalan dan etika ke atas diri saya semasa berblog ialah etika yang sama di dalam kehidupan di luar blog iaitulah, beribadah kepada Allah seperti melihat-Nya, atau sekurang-kurangnya merasakan bahawa Allah melihat kita…”

Banyak soalan yang disediakan dan sebahagian besarnya berjaya dimuatkan dalam tempoh 20 minit itu, namun kejutan terbesarnya ialah apabila saya ‘dianugerahkan’ gelaran DATO’ di hujung rancangan! Penuh inbox telefon saya dengan mesej ‘tahniah’ di malam-malam akhi Ramadhan ini :-P

Syukur kepada Allah atas peluang memberi… tidak lupa kepada Ummu Saif yang setia meneman di sisi. Di sebalik saifulislam.com, ada ummusaif.com yang tersendiri…

Selamat menyambut Aidilfitri, semoga Allah menerima segala amalan kebajikan di sepanjang Ramadhan, ameen ya Rabb al-’Aalameen.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur