>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Saturday, February 28, 2009

CERITA SAMBAL BELACAN

“Hai, habis sambal belacan? Baru sahaja emak buatkan semalam!” kedengaran suara emak di dapur semasa membuka peti ais.

Kami hanya tersenyum.

Saya dan adik beradik memang ‘hantu’ sambal belacan. Kasihan emak, setiap kali menumbuk sambal belacan, mahu sepuluh biji cili merah yang diguna. Itu pun hanya bertahan sehari dua. Makan tengah hari kena bersambal, makan malam kena bersambal, malah semasa sarapan pagi juga mesti ada sambal belacan!

Oleh kerana abah datang dari latar belakang keluarga bendang, maka tabiat makan nasi untuk sarapan pagi sudah menjadi kebiasaan kami semasa kecil. Sedikit lauk pauk baki semalam, telur goreng, timun dan sambal belacan, sudah cukup untuk kami berselera makan.

Lucu memikirkan semasa saya di sekolah rendah, pergi ke sekolah dengan tangan yang berbau sambal belacan kesan sarapan.

Lama juga saya mengambil masa untuk menukar cara bersarapan pagi. Sehingga dewasa, saya tidak berminat untuk menjamah mee goreng, nasi lemak apatah lagi kuih muih. Hanya nasi putih dan sambal belacan sahaja yang sesuai.

Namun, sehingga hari ini, saya masih terus menggemari sambal-sambal ini. Malah melihat kepada keluarga abang-abang saya juga, nampaknya mereka juga masih komited dengan sambal belacan. Paling kurang pun, cili padi dipatah-patah untuk dimakan dengan kepedasan menggantikan ketiadaan sambal.

Mungkin hari ini, semakin ramai yang tidak betah membuat sambal belacan. Justeru saya turunkan resepi sambal belacan saya, versi yang diwarisi daripada emak.


Sambal belacan Abu Saif

BAHAN-BAHAN

5 biji cili merah (lebih berkilat cili, lebih liat dan sukar untuk ditumbuk)
5 biji cili padi hijau
Sepotong belacan sebaiknya yang sudah dibakar
Sedikit gula dan garam
Sebiji limau nipis diperah jusnya

CARA MEMBUATNYA

Cili dipatah-patah kecil dan buang bijinya jika mahu mengurangkan kepedasan. Tumbuk di dalam lesung hingga elok lumatnya. Masukkan potongan belacan, gula dan garam itu tadi dan sambung menumbuk. Kemudian masukkan perahan limau nipis dan gaul hingga mesra.

Biar pun mesin pengisar (blender) sudah ada, rasa sambal yang ditumbuk di dalam lesung batu berbanding yang dikisar amat tidak sama. Sedaya upaya, saya akan menumbuk sambal secara manual, disimpan di dalam bekas kecil di dalam peti ais dan dimakan dari semasa ke semasa.

Mungkin dengan ulam petai, mungkin juga dengan daun tenggek burung, atau jika semua bekalan ulam habis, saya akan mematah pucuk daun kari (karipole) untuk dijadikan ulam.

IBRAH SAMBAL BELACAN

“Isk, isk, pedasnya! Taubat aku tak mahu dah makan sambal belacan!” seorang teman dari Kelantan meneguk bergelas-gelas air kerana cuba menghilangkan kepedasan sambal belacan saya.

Sudah dipesan, jika mahu dihilangkan kepedasan itu, elok minum air suam berbanding air sejuk. Tetapi beliau enggan mengikut petua saya.

Lucu melihatnya.

Taubat tidak mahu lagi menjamah sambal belacan.

Namun disebabkan oleh kesedapannya, nanti jamah lagi.

Akhirnya timbul istilah TAUBAT SAMBAL BELACAN.

“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsu Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” [al-Qiyaamah 75: 2]

Nafsu Lawwamah itu adalah nafsu manusia yang sering menyesal.

Dirinya sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah terhadapnya, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya dari mengulangi kesalahan yang sama.

Sudah tahu salah, masih juga dibuat. Kemudian menyesal. Tidak mahu lagi mengulanginya.

Tetapi belum hilang panasnya dosa, diulang kembali salah yang sama.

Taubat Lawwamah itu adalah taubat sambal belacan. Sudah tahu pedas dan derita akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya.

Justeru bermujahadahlah sekalian kita yang bernafsu Lawwamah, agar beransur baik menuju Mulhamah dan seterusnya Mutmainnah.

Jangan kecewa dari bertaubat, kerana mungkin kamu mati dalam perjalanan menuju taubat yang seterusnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

1 comment:

*SaFriNa* said...

salam, saya safrina

sy nak tanya, awk makan sambal belacan ni pernah x berulamkan dengan daun tenggek burung?ia sejenis ulam juga.


safrina_upm@yahoo.com