>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Showing posts with label Malam. Show all posts
Showing posts with label Malam. Show all posts

Saturday, February 28, 2009

CERITA SAMBAL BELACAN

“Hai, habis sambal belacan? Baru sahaja emak buatkan semalam!” kedengaran suara emak di dapur semasa membuka peti ais.

Kami hanya tersenyum.

Saya dan adik beradik memang ‘hantu’ sambal belacan. Kasihan emak, setiap kali menumbuk sambal belacan, mahu sepuluh biji cili merah yang diguna. Itu pun hanya bertahan sehari dua. Makan tengah hari kena bersambal, makan malam kena bersambal, malah semasa sarapan pagi juga mesti ada sambal belacan!

Oleh kerana abah datang dari latar belakang keluarga bendang, maka tabiat makan nasi untuk sarapan pagi sudah menjadi kebiasaan kami semasa kecil. Sedikit lauk pauk baki semalam, telur goreng, timun dan sambal belacan, sudah cukup untuk kami berselera makan.

Lucu memikirkan semasa saya di sekolah rendah, pergi ke sekolah dengan tangan yang berbau sambal belacan kesan sarapan.

Lama juga saya mengambil masa untuk menukar cara bersarapan pagi. Sehingga dewasa, saya tidak berminat untuk menjamah mee goreng, nasi lemak apatah lagi kuih muih. Hanya nasi putih dan sambal belacan sahaja yang sesuai.

Namun, sehingga hari ini, saya masih terus menggemari sambal-sambal ini. Malah melihat kepada keluarga abang-abang saya juga, nampaknya mereka juga masih komited dengan sambal belacan. Paling kurang pun, cili padi dipatah-patah untuk dimakan dengan kepedasan menggantikan ketiadaan sambal.

Mungkin hari ini, semakin ramai yang tidak betah membuat sambal belacan. Justeru saya turunkan resepi sambal belacan saya, versi yang diwarisi daripada emak.


Sambal belacan Abu Saif

BAHAN-BAHAN

5 biji cili merah (lebih berkilat cili, lebih liat dan sukar untuk ditumbuk)
5 biji cili padi hijau
Sepotong belacan sebaiknya yang sudah dibakar
Sedikit gula dan garam
Sebiji limau nipis diperah jusnya

CARA MEMBUATNYA

Cili dipatah-patah kecil dan buang bijinya jika mahu mengurangkan kepedasan. Tumbuk di dalam lesung hingga elok lumatnya. Masukkan potongan belacan, gula dan garam itu tadi dan sambung menumbuk. Kemudian masukkan perahan limau nipis dan gaul hingga mesra.

Biar pun mesin pengisar (blender) sudah ada, rasa sambal yang ditumbuk di dalam lesung batu berbanding yang dikisar amat tidak sama. Sedaya upaya, saya akan menumbuk sambal secara manual, disimpan di dalam bekas kecil di dalam peti ais dan dimakan dari semasa ke semasa.

Mungkin dengan ulam petai, mungkin juga dengan daun tenggek burung, atau jika semua bekalan ulam habis, saya akan mematah pucuk daun kari (karipole) untuk dijadikan ulam.

IBRAH SAMBAL BELACAN

“Isk, isk, pedasnya! Taubat aku tak mahu dah makan sambal belacan!” seorang teman dari Kelantan meneguk bergelas-gelas air kerana cuba menghilangkan kepedasan sambal belacan saya.

Sudah dipesan, jika mahu dihilangkan kepedasan itu, elok minum air suam berbanding air sejuk. Tetapi beliau enggan mengikut petua saya.

Lucu melihatnya.

Taubat tidak mahu lagi menjamah sambal belacan.

Namun disebabkan oleh kesedapannya, nanti jamah lagi.

Akhirnya timbul istilah TAUBAT SAMBAL BELACAN.

“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsu Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” [al-Qiyaamah 75: 2]

Nafsu Lawwamah itu adalah nafsu manusia yang sering menyesal.

Dirinya sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah terhadapnya, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya dari mengulangi kesalahan yang sama.

Sudah tahu salah, masih juga dibuat. Kemudian menyesal. Tidak mahu lagi mengulanginya.

Tetapi belum hilang panasnya dosa, diulang kembali salah yang sama.

Taubat Lawwamah itu adalah taubat sambal belacan. Sudah tahu pedas dan derita akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya.

Justeru bermujahadahlah sekalian kita yang bernafsu Lawwamah, agar beransur baik menuju Mulhamah dan seterusnya Mutmainnah.

Jangan kecewa dari bertaubat, kerana mungkin kamu mati dalam perjalanan menuju taubat yang seterusnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Friday, July 25, 2008

DI KEHENINGAN MALAM



Di keheningan malam, hati ini berasa sayu. Selepas mendengar tazkirah, ternyata hati yang kehausan dan gersang peringatan ini terubat. Bagaikan si dahaga di tengah padang pasir yang bertemu oasisnya. Malam semakin memekat. Tubuh ini dilabuhkan ke peraduan sesuai dengan fitrah malam yang diciptakan oleh Allah untuk berehat. Alunan Asma Allah menjadi halwa telinga. Hati ini semakin tersentuh. Ya Allah, betapa Rahimnya Kau, betapa Ghaffurnya Kau, betapa Syakurnya Kau, betapa Basirnya Kau, betapa Sami’nya Kau dan betapa Latifnya Kau.

Hati ini merintih. Ya Allah, beratnya terasa ujian yang kau timpakan ke atasku. Namun, Allah dengan Rahimnya menjawab;



2. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

3. Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Tapi kenapa aku Ya Allah? Adakah aku mampu menanggung semua ini? Allah dengan Sami’nya menjawab;



286. Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.

-Surah Al-Baqarah ayat 286

Aku sedih Ya Allah. Aku lemah Ya Allah. Tolonglah hambamu ini Ya Allah..

Allah dengan Basirnya menjawab;



139. Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling Tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

-Surah Al-Imran ayat 139

Berilah aku jalan penyelesaian Ya Allah. Aku buntu Ya Allah. Aku tak tau Ya Allah. Aku tak tau Ya Allah. Aku tak tau!!!!

Allah dengan Latifnya menjawab;



45. Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. dan Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu',

-Surah Al-Baqarah ayat 45


Tika dinihari, seluruh persoalanku telah terjawab. Ya Ghaffur. Moga-moga hambamu yang hina ini bisa mendapat barang sepalit RahimMU agar jiwa ini mampu menongkah arus duniawi yang tidak dapat tidak penuh dengan mehnah dan tribulasi….

Al-Faqir Ila Rabbihi………….