Bak kata pepatah ‘Malang Tidak Berbau’, sedang ana khusyuk mengemudi bahtera KRISS di lebuhraya SPH Rantau Panjang menuju ke Shah Alam, KL, terasa sesuatu tidak kena pada kuda tunggangan ini. “Apehal rase nak melayang je motor ni, macam nak pancit je”, getus hati ana. Sangkaan ana tepat. Cepat-cepat ana memperlahankan throttle lalu menyusur ke bahu jalan. “Allahuakbar, pancit pulak, ape nak buat ni?”, ana mengomel sendirian. Tiba-tiba terlihat papan tanda telefon kecemasan, 250m. Harapan mula berputik….
Di kedinginan malam di lebuhraya itu ana menyorong motor penuh pengharapan. Mengharap pada telefon kecemasan. Tiang telefon kuning berlabel SOS kelihatan. Fuh, sampai juga akhirnya. Ana melangkah divider menuju ke tiang itu. Butang PUSH ditekan. Allahuakbar! Tak berfungsi. Harapan ana hancur berkecai. Fikiran berkecamuk seketika. Macam mana nak buat ni. Ana termangu seketika…
Selang beberapa minit sebuah motor melintas, nampak seperti ingin berhenti. Sebuah motor Lagenda biru berhenti. “Kenapa ni?”, abang itu menegur ana. “Pancit bang”, ana menjawab. “Allah, kalau pancit tak dapat la abg nak tolong, ingatkan habis minyak”, abang itu menjawab. Abang itu termenung seketika. “Takde member ke dekat-dekat sini?”, abang itu menyoal lagi. “Takde bang”, ana tunduk merenung nasib. “Oklah, camni, bagi abang no telefon, nanti kalau abang nampak nombor telefon pomen ke, abang mesej kat ko k”. “Ok bang”, ana menjawab lemah.
Ana menunggu mesej dari bro tersebut. “Tit..tit”, handphone berbunyi. “Ni no telefon pomen motor pancit, abang nampak kat divider keluar highway, ni jela abang dapat tolong, kalau ok nanti mesej, k”. Baik betul hati abang ni, sanggup mesej-mesej orang susah yang tak dikenali namanya pun. Ana
Keringat jantan mula keluar. Kepenatan tahap gaban mula dirasai. Namun, hati ini nekad untuk menempuh dugaan ini. Di tengah-tengah kepenatan itu, teringat dosa-dosa yang pernah dilakukan. Perasaan kesal menyulubungi. Itulah manusia yang sering lalai dan lupa. Masa senang susah nak ingat Allah. Masa susah baru teringat nak bertaubat. Ana terus melayan perasaan. Akhirnya ana berjaya keluar dari lebuhraya. Terlihat ada stesen minyak yang berdekatan. Motor disorong menghala ke situ. Harap-harap ada jalan penyelesaian. Sampai di depan stesen, ana berhenti melepaskan penat sambil otak ligat berfikir jalan keluar dari masalah sekarang.
Fikir punya fikir akhirnya terfikir jalan yang terakhir iaitu menghubungi keluarga di kampung. Belum sempat ana mengangkat handphone, sekumpulan remaja bermotor menghampiri ana. “Bang, kenapa ni?”, salah seorang daripada mereka menegur ana. “Motor pancit la dik”,ana menjawab seperti biasa. “Abang nak gi mana?”, dia terus bertanya. “Abang nak pegi Serdang, keje kat sane”. “Ooo..jauh tu, ok bang abang tunggu sini jap, nanti kami amek barang, kami tolong ya”. Tiga daripada empat remaja itu meluru menaiki motosikal menuju ke suatu tempat untuk mendapatkan perkakasan. Tinggallah seorang remaja menemani ana.
“Sape nama?”, ana memulakan perbualan. “Zul”,remaja itu menjawab sepatah. Sekilas pandang bisa saja kita menyangka remaja itu seorang samseng jalanan. Dengan motor RXZ nya tak ubah seperti lagak seorang mat rempit. Sekonyong-konyong kumpulan remaja yang mengambil perkakasan itu kembali. Dengan bersungguh-sungguh, mereka ‘mengerjakan’ motor ana. Sambil-sambil itu ana menemuramah mereka. Dari isu pendatang asing di kawasan mereka hinggalah kepada peristiwa kematian kawan mereka yang digilis kontena, ana mendengarnya dengan teliti.
Perasaan ana bercampur baur. Terharu, kagum dan rasa bersalah. Pertamanya, terharu kerana mereka sanggup menolong insan yang ditimpa kesusahan tanpa banyak berkira. Kalau nak dikirakan, siapalah insan tak dikenali di hadapan stesen minyak ini. Boleh sahaja ana dibiarkan berseorangan tanpa pertolongan. Namun atas keprihatinan mereka, ana tidak dibiarkan begitu sahaja. Kedua, kagum kerana masih wujud insan-insan yang baik seperti mereka. Walaupun luarannya nampak brutal, namun masih wujud secebis sifat-sifat mahmudah yang sememangnya fitrah manusia yang sukakan kebaikan dalam diri mereka.
Ketiga, rasa bersalah kerana remaja-remaja ini terbiar tanpa pimpinan dan dakwah islam. Seandainya remaja-remaja ini dipimpin, ana yakin ada manfaatnya buat diri mereka sendiri dan buat deen yang tercinta ini. Masih terasa berat tanggungjawab dakwah Islam yang harus dipikul dan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, ana tak akan melupakan kenangan terindah dan pengajaran yang ana peroleh dari empat anak muda Rantau Panjang Klang ini iaitu Alang, Zul, Jijul dan Faizal.
Wallahualam
Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Jun 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com