>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Showing posts with label Pakatan rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan rakyat. Show all posts

Wednesday, August 12, 2009

SEKITAR DEMONSTRASI MANSUHKAN ISA


Sekitar Demonstrasi Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 yang lalu.


Ini merupakan kelongsong gas pemedih mata yang dilepaskan oleh FRU. Ternyata jarak tembakan boleh mencecah 450 kaki.





Allah itu adil. Semoga puak yang berlaku zalim akan mendapat balasan dari Allah S.W.T.
Wallahualam.

Wednesday, May 13, 2009

AGM Pemuda PAS Selangor



Tanggal 10 Mei yang lalu, ana diamanahkan untuk menjadi salah seorang perwakilan Pemuda Kawasan Selayang. Muktamar dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Mahfuz Omar. Terasa berat amanah yang ditaklifkan, namun ana teringat akan janji Allah di dalam kitab-Nya, "Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya".

Jawatan merupakan amanah yang akan ditanya di akhirat kelak. Justeru sebagai seorang muslim yang mukmin dan muttaqin, seharusnya amanah dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Ya Allah, aku mohon kepada-Mu agar diberi kekuatan untuk memikul amanah ini,
Ameen Ya Rabbal 'Aalameen.


Monday, February 16, 2009

KRISIS DI PERAK



Selangor merupakan antara negeri yang mengisytiharkan cuti umum untuk perayaan Thaipusam. Pada tahun ini, Thaipusam jatuh pada tanggal 8 Februari 2009 bersamaan hari Ahad. Jadi tanggal 9 Februari 2009 bersamaan hari Isnin diisytiharkan sebagai cuti umum Thaipusam. Pada hari itu, ana berkesempatan menyertai rombongan pemuda PAS Selayang dan IT PAS Pusat untuk melawat sahabat-sahabat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.


Kami bertolak lebih kurang jam 8.45 pagi dari Rawang dan tiba di Ipoh sekitar jam 10.30 pagi. Tiba sahaja di Ipoh, wakil rombongan kami, cuba menghubungi SU Politik MB Perak, Ustaz Misbahul Munir. Menurut kenyataan beliau, mungkin kami hanya akan dapat bertemu dengannya beserta beberapa sahabat yang lain kerana DS Ir. Nizar agak sibuk dengan pertemuan-pertemuan dan mesyuarat tergempar.


Alhamdulillah, setelah mendapat beberapa petunjuk, kami selamat tiba di kediaman rasmi MB Perak. Tiba di pintu pagar, Unit AMAL siap siaga bertindak mengawal kediaman tersebut. Tiada apa-apa kekecohan, hanya langkah berjaga-jaga. Setibanya kami di lobi, kami duduk di sofa berhampiran pintu masuk. Khabarnya DS Ir. Nizar sedang menerima wartawan WASILAH. Wartawan THE SUN sedang menunggu giliran, dan sebentar lagi satu mesyuarat akan diadakan. Sahabat-sahabat perhubungan PAS cuba menerangkan situasi yang sedang hangat diperkatakan di negeri Perak darul Ridzuan.


Secara mudahnya, negeri Perak sedang menghadapi kemelut yang diistilahkan sebagai Constitutional Crisis ataupun dalam bahasa melayunya disebut Krisis perlembagaan. Satu surat khas untuk menerangkan kepada Sultan mengapa DS Ir. Nizar enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak telah diutus. Berikut adalah isi kandungan surat tersebut;



Surat Nizar pada Sultan, sebab tidak letak jawatan MB

Harakahdaily
Fri | Feb 06, 09 | 9:10:50 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak.

Surat tersebut adalah reaksi kepada titah baginda yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Manakala Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Mohamad Nizar dan semua anggota exconya mengosongkan pejabat mereka dengan segera.

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,

MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,

Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin

Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Sedang kami teliti mendengar sekitar jam 11.45 pagi kami dikejutkan dengan suatu berita. YB Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang Meninggal dunia. Beliau meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke farmasi menaiki basikal. Beliau dipercayai jatuh dari basikal kerana serangan jantung. Innalillahi wa Inna ilaihi raajiun. Hanya itulah kalimah yang mampu diucapkan. Dari Allah kita datang, kepadaNya kita pulang.


Selang beberapa ketika, kami dijemput oleh DS Ir Nizar untuk ke bilik pertemuannya untuk melakukan sedikit perbincangan. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Kalimah tasbih, tahmid dan takbir terpacul dari mulut ini. Sebenarnya, rombongan kami tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk bertemu dengan DS Ir Nizar. Namun, sikap rendah diri, tenang, tabah dan professional yang dimiliki oleh beliau memungkinkan kami untuk melakukan sedikit perbincangan di saat-saat yang genting ini.


Setelah melakukan diskusi ringkas, rombongan kami bersurai. Sebelum meninggalkan kediaman rasmi menteri besar, kami menuju ke bilik media untuk mendapatkan maklumat dan menawarkan bantuan sekadar yang termampu. Kami bergerak meninggalkan kediaman rasmi menteri besar sekitar jam 1.45 petang. Setelah makan tengahari, kami terus bertolak menuju ke kediaman Allahyarham YB Roslan Shaharom untuk menziarahi jenazah. Seperti yang dijangka, begitu ramai sekali manusia yang menziarahi beliau. Subhanallah, begitu tenang dan bersih muka jenazah menghadap pencipta-Nya. Semoga Allah merahmati allahyarham.


Sesungguhnya, lawatan ke Ipoh hari ini bukanlah sekadar lawatan biasa seumpama slot ’jalan-jalan cari makan’ yang biasa kita lakukan bersama kawan-kawan atau keluarga. Tetapi, lawatan ini adalah sebuah lawatan ukhuwwah ikatan akidah perjuangan yang telah terbina sekian lama. Moga Allah sentiasa merahmati perjuangan sahabat-sahabat di negeri Perak dan memberikan kekuatan pada mereka untuk menghadapi mehnah dan tribulasi yang cukup hebat di sana. Ameen Ya Rabbal ’Aalameen.

Friday, September 26, 2008

IFTHAR BERSAMA USTAZ NASHARUDDIN

Hari ini hari Khamis. Tanggal 25.9.2008 bersamaan 25 Ramadhan 1429H. ana dimaklumkan akan berlangsungnya Majlis Ifthar bersama Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa bertempat di Masjid Kg. Melayu Batu 16. Hmm..tak sabar rasanya nak pergi. Lepas habis keje je ana terus solat Asar dan bersiap-siap untuk bertolak. Ana memilih untuk menggunakan lebuhraya MRR II. Pegh..bleh tahan jugak jammed petang2 ni. Kereta pelbagai jenis bersusun bermula dari Ampang hinggalah ke Gombak. Mujurla naik motor. Menyelit la jawabnya. Namun, gerimis yang mengiringi perjalanan sedikit sebanyak memperlahankan kelajuan kuda tunggangan.


Alhamdulillah, akhirnya sampai juga ke destinasi. Kelihatan beberapa AJK Masjid sedang menunggu tetamu jemputan. Hmm..cam kenal je Honda Civic ni. WPX 2780. Ini kereta Syeh Zaidi ni. Mane plak orangnye. Tak nampak pun. Hmm..misi mencari dijalankan. Kelihatan sesusuk tubuh sedang khusyuk membaca al-Quran. Wah..insaf ana tengok. Syeh Zaidi tunduk khusyuk,hehe. Assalamualaikum Syeh! Waalaikumussalam. Eh..bila enta sampai. Rindu yang menggamit diubat dengan perbualan singkat. Memori bersama sahabat-sahabat di kawasan Selayang berputar kembali. Eh..dah nak buka pose ni, jom kita ke depan.

Kami pun duduk di hamparan yang disediakan. Hmm, tazkirah dari Ustaz Nasharuddin Mat Isa sepatutnya dijadualkan sebelum berbuka puasa. Namun, dikhabarkan bahawa Ustaz terperangkap di dalam kesesakan. Hmm..standard la tu waktu2 camni. Hadirin masih menanti kedatangan Ustaz Nasha. Alhamdulillah, Ustaz Nasha selamat sampai. Betul2 waktu untuk berbuka puasa. Tidak lama kemudian Ustaz Fauzan tiba bersama Ustaz Zack. Seorang lagi sahabat perjuangan ana di Selayang. Gan Pei Nei dari PKR yang merupakan ADUN Rawang turut hadir bersama adiknya sebagai tanda sokongan. Sopan berbaju merah dan berselendang digayakan seperti tudung. Islam itu Universal.

Setelah selesai ifthar, kami Solat Maghrib diimamkan oleh Ustaz Nasha. Selesai solat maghrib, santapan rohani disajikan. Tazkirah dari Ustaz Nasha. Ana sisipkan ringkasan tazkirah ini. Semoga ada manfaat buat semua;

Kita semua bakal menyambut Eidulfitri tidak lama lagi. Sudah menjadi suatu ibadah untuk kita melaungkan Takbir tatkala menyambut Eidulfitri tanda kemenangan kita bermujahadah dalam bulan Ramadhan. Mari kita menyingkap kembali sirah baginda Rasululullah S.A.W. Sejarah takbir ini dilaungkan adalah selepas Umat Islam berjaya menawan kota Makkah dalam peristiwa Fathu Makkah. Namun, mari kita muhasabah kembali pada Eidulfitri tahun ini. Atas kemenangan apakah kita bertakbir?

Kalau kita merujuk pada statistik gejala sosial dan jenayah, orang Melayu Islam lah yang menjuarai perkara-perkara tersebut. Penagih dadah, Rogol, Samun, Zina dan lain-lain. Jika boleh dibuat perumpamaan. Orang lain berebut-rebut menghantar anak mereka ke universiti, tetapi orang Melayu Islam kita ‘berebut-rebut’ menghantar anak mereka ke Pusat Serenti. Saya tidak menafikan jika ada dikalangan anda bertakbir meraikan kemenangan individu berjaya menempuh Ramadhan ini dengan baik. Namun, adakah kita telah beroleh kemenangan ummah? Apakah nasib umat islam sekarang khususnya di Malaysia ini?

Kita bisa sahaja membincangkan masalah ummah di Palestin, di Filipina, di Selatan Thailand dan di Afrika. Seperti mana maksud hadis; “Barangsiapa yang tidak prihatin (mengambil tahu) akan keadaan saudara mereka maka mereka bukanlah dari kalangan mereka.” Namun, di Malaysia juga, tidak kurang masalah umat islam yang semakin meruncing. Yang mana jika kita inginkan penyelesaian tidak lain tidak bukan hanyalah dengan Islam. Seperti mana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah;208

208. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Jika kita betul-betul inginkan penyelesaian yang hakiki, maka tidak lain tidak bukan hendaklah kita mengambil Islam itu secara keseluruhan. Janganlah kita mengambil Islam secara berjuzuk-juzuk atau dalam erti kata lain hanya mengambil sesuatu yang dianggap bagus dan relevan sahaja oleh nafsu kita. Sedangkan Allah yang merupakan Raja segala Raja yang mencipta kita telah menyediakan panduan yang cukup lengkap dan cukup relevan buat manusia. Namun untuk menghuraikan secara terperinci berkenaan Islam secara keseluruhan itu saya kira tidaklah saya berkemampuan dalam masa yang singkat ini. Insya Allah jika ada kesempatan pada masa akan datang. –END-


Tazkirah Ustaz Nasha ditamatkan. Seusai majlis tazkirah ana menyapa Ustaz Nasha untuk bergambar bersamanya. Moga-moga semangat tokoh yang ikhlas memperjuangkan Islam ini sedikit sebanyak dapat mengalir ke tubuh insan yang dhaif ini. Ya Allah, istiqamahkanlah aku di jalan Mu.

Tuesday, September 16, 2008

16 SEPT: KENYATAAN PENUH ANWAR

Sep 16, 08 4:13pm ; Malaysiakini.com

Hari ini rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia- hari di mana negara kita menjadi satu dan rakyatnya bersatu. Hari ini mempunyai makna baru. Selepas bertahun berjuang, melawan sistem yang dilanda dan mengabaikan prinsip keadilan- kita sekarang berada diambang kemenangan. Hasrat kita untuk membina semula negara dan menyatu padukan rakyat Malaysia sebagaimana yang dicita-citakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan sudah semakin dekat.

Keadaan ekonomi yang merudum jatuh dengan kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi telah menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang meluap-luap. Hubungan antara kaum menjadi tegang, diburukkan lagi dengan propaganda oleh media yang dikawal oleh kerajaan. Pentadbiran sekarang gagal untuk menawarkan jawapan buat negara kita keluar dari kedudukan sukar ini.

Pakatan Rakyat yakin dapat menyelamatkan Malaysia dari masalah ekonomi dan politik berbaur perkauman. Kami akan melaksanakannya secara bertanggungajwab, menuruti prinsip undang-undang dan tidak akan sama sekali menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara dan rakyat negara ini.

Pakatan Rakyat kini memiliki majoriti yang selesa untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang stabil. Kerajaan baru yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam.

Dengan mandat ini kami bertekad untuk melaksanakan peralihan kuasa yang aman. Kami tidak ingin berulangnya peristiwa yang berlaku sewaktu mengambil alih kuasa di negeri Perak dan Selangor, di mana dokumen milik kerajaan negeri di lupuskan oleh pentadbiran terdahulu.

Kami mengingatkan kepada elemen radikal di dalam Barisan Nasional agar tidak menyalahgunakan kuasa serta menahan para penyokong Pakatan Rakyat. Penyiasatan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh BPR terhadap Dato Seri Yong Teck Lee selepas mengumumkan akan membuat undi tidak percaya terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan di antara taktik yang kita tolak. Penggunaan ISA terhadap Ahli Parlimen Teresa Kok merupakan contoh untuk menghalang perubahan dengan tidak mengikut lunas-lunas perundangan.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam dan kami menuntut beliau memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti berikut :

1) Agar Barisan Nasional tidak menghalang ahli parlimennya dari bertindak menurut suara hati mereka, hak yang dijamin undang-undang serta keputusan yang mereka buat tanpa paksaan;

2) BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan ahli parlimen yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat atau ahli parlimen Pakatan Rakyat yang berjumlah 82 itu;

3) Kerajaan BN tidak seharusnya menggunakan kuasa darurat, kuasa polis, atau menggantung perlembagaan mahupun membubarkan parlimen di dalam usaha mereka untuk menghalang Pakatan Rakyat dari berkuasa;

4) Dan Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat sekatan jalan raya dan menghalang ahli parlimen, dari memasuki parlimen dan juga institusi-institusi kerajaan lainnya.

Kami yakin Perdana Menteri berkongsi keperihatinan yang sama terutamanya berkenaan kebajikan rakyat dan keselamatan negara. Kami percaya beliau akan memastikan Barisan Nasional bertindak mengikut perlembagaan dan prinsip-prinsip demokratik demi memastikan peralihan kuasa yang aman, serta tiada tindakan sabotaj untuk menghalang hasrat rakyat ataupun menggunakan retorik berbaur perkauman.

Kami menyeru masyarakat di semua lapisan agar memahami hasrat kami semata-mata untuk kebaikan negara ini. Saya juga ingin mengingatkan media massa jangan lagi berada di dalam penafian dengan meneruskan propaganda bahawa kami berbohong. Kita sekarang berada dalam era baru maka saya menyeru media massa meninggalkan tabiat lama dan mengambil iltizam untuk meningkatkan professionalisme kewartawanan.

Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kami berhasrat untuk meneruskan gerak kerja kami sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam kami membentuk kerajaan baru dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat