>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Friday, May 16, 2008

NOVEL VS MOVIE

Sebut sahaja ‘Ayat-ayat Cinta’ maka akan terbayanglah kita karya tulisan dakwah oleh Habiburrahman El-Shirazy yang juga merupakan salah seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Cairo. Watak Fahri yang begitu hidup dalam karya ini telah memaut hati banyak penggemar karya seni dakwah di seluruh dunia khususnya di Malaysia sendiri.

Ana mula mengenali ‘Ayat-ayat Cinta’ sewaktu bertandang di bilik sahabat ana, Akh Ashrulmuzanie di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ramadhan Oktober 2007. Ingin mengisi waktu terluang, ana mula menyelak helaian demi helaian novel tersebut hingga hampir separuh buku ana khatamkan. Namun, masa tidak mengizinkan untuk ana menghabiskan bacaan novel tersebut. ‘Ayat-ayat Cinta’ tergantung begitu sahaja…

Awal tahun 2008

Seperti biasa, ana akan melawat laman blog pada pautan Ukhuwwah setiap kali melayari internet. Pada hari itu, tergerak hati ini untuk melihat laman Mountain Voice, kalau-kalau ada sesuatu yang baru. Ternyata lawatan kali itu tidak mengecewakan. Sebuah video trailer ‘Ayat-ayat Cinta’ dari Youtube terpapar pada bahagian atas blognya. Ana separuh terkejut. Wah! Novel ‘Ayat-ayat Cinta’ telah dibawa ke layar perak!

Ingatan ana kembali pada novel ‘Ayat-ayat Cinta’ yang dibaca dahulu. Hati ini mencatur, bagaimana agaknya filemnya? Adakah sama seperti novelnya? Satu demi satu andaian bermain di fikiran. Walau bagaimanapun, akhirnya filem itu dapat ana tonton dari sahabat ana. Tontonan filem itu membuatkan ana tak senang duduk. Adakah sama isi filem yang dipaparkan dengan isi novel yang telah separuh ana khatamkan itu?

Oleh sebab semangat inkuiri yang begitu membuak-buak, ana berusaha mencari novel ‘Ayat-ayat Cinta’ itu dari sahabat-sahabat dan menghabiskan bahagian yang belum dibaca. Kemusykilan ana sedikit sebanyak terjawab. Ternyata terdapat perbezaan-perbezaan yang ketara di antara novelnya dan filemnya.

Penyataan karakter utama dalam Novel ‘Ayat-ayat Cinta’ sedikit sebanyak terjejas dalam penghasilan filemnya. Karakter Fahri yang begitu rapat dengan teman-teman serumahnya di Hadayek Helwan tidak tertonjol dalam filem. Ukhuwwahfillah yang begitu menyentuh di antara Fahri, Saiful, Rudi, Hamdi dan Misbah di dalam novel tampak kabur di layar perak. Karakter Maria lebih difokuskan dalam filem sewaktu babak-babak di Hadayek Halwan. Karakter Aisha juga ditokok tambah bagi menambahkan adengan yang lebih dramatik. Adengan di penjara juga mempunyai banyak perbezaan dari novel asli. Karakter Fahri disamping banduan-banduan yang baik digantikan dengan hanya seorang banduan yang rambang. Latar belakang waktu yang berbeza juga sedikit sebanyak menghilangkan ruh penceritaan yang mana waktu Fahri di penjara dalam novel adalah pada bulan Ramadhan.

Bukan sesuatu yang ganjil apabila penceritaan di dalam filem dan novel asal berbeza. Namun, perlu difahami bahawa ‘Ayat-ayat Cinta’ adalah sebuah novel Islamik yang disulami dengan unsur-unsur dakwah yang begitu halus dan berhikmah. Jadi, secara jujur ana sedikit kecewa dengan filem ‘Ayat-ayat Cinta’ dari sudut pandangan dakwah dan pengisian terutamanya apabila kisah Alicia seorang wartawan dari Amerika Syarikat memeluk Islam dan menerbitkan karya-karya Fahri tidak dimuatkan dalam filem.

Sementelahan, dapat ana simpulkan, filem ‘Ayat-ayat Cinta’ menampakkan penonjolan nilai komersial berbanding nilai Islamik. Namun, tidak dinafikan, ‘Ayat-ayat Cinta’ adalah suatu permulaan yang baik untuk karya-karya genre Islamik mendapat tempat di hati mad’u-mad’u yang dahagakan segala metod dan cabang dakwah di muka bumi Allah ini. Semoga lebih banyak karya-karya seperti ini dihasilkan pada masa akan datang.

Wallahualam.

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Mei 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

1 comment:

Anonymous said...

salam perjuangan...

ya ana setuju dengan nta...

it's better to read the novel rather than to watch the movie...