>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Tuesday, May 6, 2008

AKTA KANAK-KANAK 2001


Baru-baru ini Negara dikejutkan lagi dengan satu penggubalan Akta iaitu Akta Kanak-kanak 2001. Mendengar sahaja akta ini, terbayang di fikiran akan kes-kes yang menyedihkan seperti kes adik Nurin Jazlin dan adik Sharlinie. Akta ini memungkinkan ibu-bapa kepada anak-anak yang menjadi mangsa penderaan, penganiayaan dan pembunuhan didakwa jika didapati cuai. Pelbagai reaksi yang timbul berikutan penggubalan akta ini. Namun, selaku seorang warganegara Malaysia yang bijak, kita seharusnya tidak menilai berdasarkan emosi, tetapi menghitung menggunakan akal dan fikrah yang bersih dari runtunan hawa nafsu.

Mari kita renung sejenak sejarah penggubalan undang-undang yang melibatkan kanak-kanak. Akta Kanak-kanak 2001 bukanlah akta pertama yang digubal berkaitan kanak-kanak. Satu peristiwa menyayat hati pada 15 Mei 1990 menyaksikan bagaimana B. Balasundram yang berumur 26 bulan mati rentetan dicederakan secara fizikal dan seksual oleh bapanya menyebabkan tergubalnya Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994. Akta ini dimansuhkan dan peruntukannya dimasukan ke dalam Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini menambah kekurangan yang ada kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994.

Akta kanak-kanak 2001 ini juga menjadikan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi suatu kesalahan. Jika sabit boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali (seksyen 31).

Ana melihat penggubalan akta ini mewujudkan suasana pro dan kontra dalam masyarakat Malaysia kini. Pertama sekali, akta ini sangat membantu dalam menyedarkan ibu bapa akan tanggungjawab mereka dalam memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka tertunai. Kita bukan tidak pernah melihat situasi di mana anak-anak kecil ditinggalkan sendirian di dalam rumah yang berkunci disebabkan ibu bapa keluar dengan urusan masing-masing. Bayangkan jika berlaku kebakaran pada waktu itu. Maka, siapakah harus dipersalahkan? Dapat dianalisa wujud unsur kecuaian.

Kita analisa situasi kedua. Seorang ibu meninggalkan anak-anak mereka di dalam kereta yang berkunci tanpa pengawasan orang dewasa. Pelbagai kemungkinan yang akan timbul. Penculikan, rompakan, pembunuhan, ataupun mati akibat kesesakan nafas. Justeru, dapat kita lihat perbuatan-perbuatan cuai oleh ibu bapa ini setidak-tidaknya dapat dikurangkan dengan wujudnya penguatkuasaan intensif terhadap akta tersebut.

Jika dilihat secara kontras, akta ini akan menyebabkan ibu bapa berasa bimbang untuk melaporkan kehilangan anak-anak mereka kerana bimbang didakwa atas tuduhan kecuaian. Akhirnya, kanak-kanak menjadi mangsa dan penjenayah terus bermaharajalela. Waima, kewujudan akta ini tidak seharusnya dijadikan perisai kebal oleh pihak polis dalam menyelesaikan sesuatu kes jenayah berkaitan kanak-kanak. Definisi kecuaian yang dimaksudkan dalam Akta Kanak-kanak 2001 perlu diperjelas dan digubal dengan seadil-adilnya tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak.

Isu bahawa kemungkinan ibu bapa Nurin sendiri akan didakwa (Utusan Malaysia Online) kerana terdapat unsur-unsur kecuaian juga perlu dikaji dengan teliti agar kesan daripada tindakan ini lebih banyak membawa kesan-kesan yang positif dan tidak berbaur politik serta bebas dari sikap lepas tangan serta ketidak adilan pihak berkuasa dan pihak yang bertanggungjawab.

Namun, pada pandangan ana, penggubalan akta ini hanyalah penyelesaian di peringkat ranting pokok. Penyelesaian di peringkat akarnya perlu dilaksanakan jika kita mahu melihat masalah ini bertemu titik noktahnya. Sebagai seorang muslim yang beriman dengan hukum Allah, dapat kita lihat bahawa permasalahan di peringkat akar adalah sistem perundangan itu sendiri. Selagi kita sebagai seorang muslim mengalami krisis keyakinan terhadap hukum Allah, maka selagi itulah masalah demi masalah akan terus menghantui negara yang tercinta ini.

Ingatlah, jika telefon bimbit mempunyai buku manual bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan penggunaan dan manfaatnya, begitulah jua manusia yang mana buku manualnya adalah al-Quran dan Sunnah yang perlu dimanifestasikan dalam kehidupan. Jika tidak, maka pincanglah hidup makhluk yang bernama manusia itu.

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Mei 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

1 comment:

Anonymous said...

Salam. Betul tu,jika kembali kepada Islam, insyaALAH masalah akan selesai. Jika di UK, akta kanak2 memang sgt ditekankan. Ibubapa tak berani nak tinggalkan anak2 di rumah, sbb klu pihak berkuasa tahu,anak2 tu akan diambil dan diberi kpd welfare.