>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, July 27, 2009

ALBUM SOLO



Amacam? Lawa tak cover album ana? Rileks kawan-kawan. he2x. Zhafran belum ada album solo nasyid lagi. Gambar ini diambil sewaktu ana pergi ke Melaka untuk satu presentation projek Kaffah. Hmm, lokasinya di pantai Tanjung Bidara di Melaka. Hayatilah Tazkirah kali ini melalui sekeping gambar. Adios!

Wednesday, July 1, 2009

BERSAMA KELUARGA



Keluarga. Suatu entiti yang sangat penting dalam kehidupan. Dari keluargalah lahirnya kehidupan. Dari keluargalah lahirnya insan. Dari keluargalah lahirnya karakter. Dari keluargalah lahir seorang pemimpin dan dari keluarga jugalah lahir sampah masyarakat.

Tanggal 12 Jun 2009, ana pulang ke kampung di Tanjong Karang. Jauh di lubuk hati ini rindu dengan mak dan abah yang disayangi. Biarpun sibuk bekerja, namun jangan sesekali kita semua lupakan tanggungjawab kita kepada dua insan yang sangat penting dalam hidup kita.



Apabila balik sahaja ke kampung. Ana akan sedaya upaya menghabiskan masa bersama mereka dalam apa bentuk sekalipun. Makan bersama, berbual, menolong kerja-kerja rumah hatta bergambar dan bergurau bersama mereka. Biar nampak remeh, namun inilah yang dipanggil kasih sayang.



Manusia sering risau dengan apa yang tiada dalam genggaman mereka. Tidak mengira sama ada perkara itu keperluan material, emosi dan lain-lain. Namun, banyak manusia lupa untuk mensyukuri apa yang mereka ada dan miliki sekarang.

Ibu bapa dan keluarga merupakan salah satu daripada nikmat yang tidak terhitung pemberian ALLAH. Sebagai HambaNya, kita hendaklah sentiasa bersyukur dan menghargai nikmat pemberianNya dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Justeru, janganlah kita mengabaikan institusi yang diberi nama KELUARGA. Jika diabaikan, maka akan pincanglah ahli keluarga tersebut dan jika banyak keluarga mengalami perkara yang sama, maka akan pincanglah masyarakat dan akhirnya negara. You want to fix society? Fix your family first!

Friday, June 12, 2009

KEM MODAL INSAN II



Hmm...apa yang ana pegang tu? Kenapa semua mata adik-adik tu tertumpu pada ana? Ha..nak tau ceritanya? Teruskan membaca posting ini.hehehe.

Sebenarnya gambar di atas adalah salah satu modul yang dijalankan semasa Kem Modal Insan II bagi tahun 2009 oleh Mantop Training & Consultancy. Sebagai salah seorang 'think tank' bagi modul-modul yang dijalankan, situasi tersebut bukanlah asing dalam latihan-latihan yang dijalankan.



Kem kali ini sekali lagi menyaksikan, anak-anak remaja berumur di antara 10-21 tahun berkumpul di satu tempat untuk menjalani latihan dalam semua aspek kemanusiaan (JERIS). Training & Consultancy adalah salah satu cabang dakwah yang praktikal dan popular ketika ini. Justeru, tidak dapat tidak Trainer atau Motivator itu sendiri perlu bertindak sebagai da'ie yang menyampaikan mesej dakwah dengan metod (uslub) yang bijaksana.



Dalam kem seumpama ini, sudah tentu peserta itu sendiri terdiri dari pelbagai latar belakang. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang kurang kasih sayang, ada yang terlebih kasih sayang dan seribu satu macam ragam di sana.



Menghadapi situasi seumpama ini, da'ie seharusnya bijak bertindak sebagai agen dakwah di samping meraikan latar belakang para peserta tersebut. Mendengar dengan penuh empati. Bak kata stephen covey, Seek understand first then to be understood.

Selaku pendakwah, bukan sahaja isi dakwah itu penting. tetapi juga, cover atau brand dakwah serta cara dakwah tersebut dipersembahkan atau disampaikan memainkan peranan yang sangat signifikan. Justeru, ana berdoa dan berharap agar ana tergolong dalam kumpulan da'ie yang kompeten dan mampu menyampaikan sesuatu yang bermanfaat.



Semoga usaha kecil dari insan yang kerdil dan penuh kelemahan ini mendapat keredhaanMu dan nilaian darimu Ya Rabb.

Saturday, February 28, 2009

CERITA SAMBAL BELACAN

“Hai, habis sambal belacan? Baru sahaja emak buatkan semalam!” kedengaran suara emak di dapur semasa membuka peti ais.

Kami hanya tersenyum.

Saya dan adik beradik memang ‘hantu’ sambal belacan. Kasihan emak, setiap kali menumbuk sambal belacan, mahu sepuluh biji cili merah yang diguna. Itu pun hanya bertahan sehari dua. Makan tengah hari kena bersambal, makan malam kena bersambal, malah semasa sarapan pagi juga mesti ada sambal belacan!

Oleh kerana abah datang dari latar belakang keluarga bendang, maka tabiat makan nasi untuk sarapan pagi sudah menjadi kebiasaan kami semasa kecil. Sedikit lauk pauk baki semalam, telur goreng, timun dan sambal belacan, sudah cukup untuk kami berselera makan.

Lucu memikirkan semasa saya di sekolah rendah, pergi ke sekolah dengan tangan yang berbau sambal belacan kesan sarapan.

Lama juga saya mengambil masa untuk menukar cara bersarapan pagi. Sehingga dewasa, saya tidak berminat untuk menjamah mee goreng, nasi lemak apatah lagi kuih muih. Hanya nasi putih dan sambal belacan sahaja yang sesuai.

Namun, sehingga hari ini, saya masih terus menggemari sambal-sambal ini. Malah melihat kepada keluarga abang-abang saya juga, nampaknya mereka juga masih komited dengan sambal belacan. Paling kurang pun, cili padi dipatah-patah untuk dimakan dengan kepedasan menggantikan ketiadaan sambal.

Mungkin hari ini, semakin ramai yang tidak betah membuat sambal belacan. Justeru saya turunkan resepi sambal belacan saya, versi yang diwarisi daripada emak.


Sambal belacan Abu Saif

BAHAN-BAHAN

5 biji cili merah (lebih berkilat cili, lebih liat dan sukar untuk ditumbuk)
5 biji cili padi hijau
Sepotong belacan sebaiknya yang sudah dibakar
Sedikit gula dan garam
Sebiji limau nipis diperah jusnya

CARA MEMBUATNYA

Cili dipatah-patah kecil dan buang bijinya jika mahu mengurangkan kepedasan. Tumbuk di dalam lesung hingga elok lumatnya. Masukkan potongan belacan, gula dan garam itu tadi dan sambung menumbuk. Kemudian masukkan perahan limau nipis dan gaul hingga mesra.

Biar pun mesin pengisar (blender) sudah ada, rasa sambal yang ditumbuk di dalam lesung batu berbanding yang dikisar amat tidak sama. Sedaya upaya, saya akan menumbuk sambal secara manual, disimpan di dalam bekas kecil di dalam peti ais dan dimakan dari semasa ke semasa.

Mungkin dengan ulam petai, mungkin juga dengan daun tenggek burung, atau jika semua bekalan ulam habis, saya akan mematah pucuk daun kari (karipole) untuk dijadikan ulam.

IBRAH SAMBAL BELACAN

“Isk, isk, pedasnya! Taubat aku tak mahu dah makan sambal belacan!” seorang teman dari Kelantan meneguk bergelas-gelas air kerana cuba menghilangkan kepedasan sambal belacan saya.

Sudah dipesan, jika mahu dihilangkan kepedasan itu, elok minum air suam berbanding air sejuk. Tetapi beliau enggan mengikut petua saya.

Lucu melihatnya.

Taubat tidak mahu lagi menjamah sambal belacan.

Namun disebabkan oleh kesedapannya, nanti jamah lagi.

Akhirnya timbul istilah TAUBAT SAMBAL BELACAN.

“Dan Aku bersumpah dengan “Nafsu Lawwaamah” (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!” [al-Qiyaamah 75: 2]

Nafsu Lawwamah itu adalah nafsu manusia yang sering menyesal.

Dirinya sedar tentang buruknya dosa dan beratnya murka Allah terhadapnya, tetapi sesalan itu tidak kuat untuk mencegah dirinya dari mengulangi kesalahan yang sama.

Sudah tahu salah, masih juga dibuat. Kemudian menyesal. Tidak mahu lagi mengulanginya.

Tetapi belum hilang panasnya dosa, diulang kembali salah yang sama.

Taubat Lawwamah itu adalah taubat sambal belacan. Sudah tahu pedas dan derita akibat menjamah, masih dilayan kerana sedapnya.

Justeru bermujahadahlah sekalian kita yang bernafsu Lawwamah, agar beransur baik menuju Mulhamah dan seterusnya Mutmainnah.

Jangan kecewa dari bertaubat, kerana mungkin kamu mati dalam perjalanan menuju taubat yang seterusnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

Thursday, February 19, 2009

MOTIVASI HARTA, DUIT & KISAH RAJA NASYID DITIPU

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Allah swt telah mengingatkan kita berkali-kali di dalam kitab suci Al-Quran, demikian juga Baginda Nabi s.a.w sama ada melalui hadis dan juga perbuatannya.

Tipu daya wang dan harta begitu mencengkam di dalam hati dan diri manusia. Tipudaya ini pasti akan mendapat tempat di dalam jiwa sesiapa jua yang menjadikan kehidupannya berorientasi dan berkiblat keseronokan kekayaan orang kaya.

Bercerita berkenaan kejayaan dan kekayaan orang kaya sememangnya seronok dan menarik serta boleh memotivasikan diri. Namun tanpa kawalan, panduan dan pemantauan motivasi yang sihat boleh bertukar menjadi suatu kerakusan, ketamakan dan motivasi negatif yang memakan diri dan sesiapa sahaja di persekitarannya.

Hasilnya,

Rakan menjadi musuh,

Suami isteri bercerai berai,

Anak dan ibu bapa terpisah,

Jiwa atau nyawa boleh melayang,

Maruah tergadai,

Sokongan bertukar cercaan,

Cercaan bertukar sokongan dan dokongan,

Haram menjadi halal,

Ulama tidak terlepas menjadi mangsa, mereka mungkin DIKUTUK sama ada kerana kebenaran kerana tidak mahu menghalalkan yang haram atau DIKUTUK kerana menggadaikan prinsip dan hukum kerana wang dan jawatan sehingga menghalal yang haram, menyokong yang dengan pelabagi alasan lemah kebiasaanya atas nama ‘maslahat'. Mudah juga menghalalkan yang haram, sebut sahaja nama ‘maslahat'. Ingatlah, setiap maslahat punyai pelbagai syarat dan ketetapan agar ia tidak sewenangnya dipermain.

Itulah ‘pukulan' duit beribu atau berjuta dan harta. Sukar bukan untuk menolak tawaran RM 1 juta, 5 Juta, RM 50 juta; jangan juta, sekadar RM 5000 sahaja sudah memadai untuk membeli jiwa, nyawa, maruah seseorang di zaman ini.

MOTIVASI KAYA TANPA KAWALAN BAHAYA

Kerana sebuah motivasi kaya dunia, manusia berubah menjadi suatu jenis ‘monster' di hatinya. Sanggup sahaja dragut kedamaian sesiapa sahaja asal sasaran di hati sebagai jutawan boleh menjadi realiti.

Amat wajar kita sama-sama memuhasabahkan diri masing-masing. Saya, anda, keluarga kita dan rakan-rakan.

Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengaku diri sudah kebal dari cabaran ini. Bukan diri kebal, Cuma ujian sepertinya mungkin belum tiba. Bila ia tiba akan diketahui letak duduknya keimanan dan keyakinan terhadap suatu alam yang amat amat pasti iaitu barzakh, melalui kematian pemutus segala nikmat sementara dunia.

Nikmat pujian, nikmat populariti, nikmat wang dan harta, nikmat sokongan, nikmat apa lagi..? selamat tinggal semuanya.

RAJA NASYID DUNIA SAMI YUSUF DI'TIPU'

Sejak awal tahun 2008, saya sudah mengkagumi nasyid Asma Allah yang dipersembah oleh Sami Yusuf. Dikatanya, itulah salah satu lagu nasyid bagi sebuah album barunya yang bakal terbit sekitar bulan Ogos 2008. Namun, tidak juga muncul. Sebagaimana saya meminati Jet Li dalam bab kungfu, saya juga meminati Sami Yusuf dalam nasyidnya.

Februari 2009, akhirnya muncul album ketiga beliau bertajuk ‘Without You'. Saya dapat mendengar hampir kesemua lagu di dalam album ini melalui pelbagai kemudahan di internet. Namun yang mengejutkan adalah ia satu ‘PENIPUAN'!?

Benar, ia sememangnya suara Sami Yusuf di dalam tersebut, begitu juga penerbitnya iaitu Awakening Records. Ia juga diiklan di web http://www.samiyusuf.com/ (amaran ini bukan web Sami yusuf yang sebenarnya)

Hakikat sebenarnya, web tersebut dikawal oleh penerbitnya yang makan kawan sehingga mendahului Sami Yusuf. Ringkasnya, album ‘Without You' dikeluarkan tanpa persetujuan Sami Yusuf. Keadaan ini semakin jelas apabila rupanya web sebenar Sami Yusuf adalah http://www.samiyusufofficial.com/, dimana beliau menyeru orang ramai terutama peminatnya untuk memboikot album ‘without you'. Disertakan juga video pengakuan lisan beliau yang mengatakan album ini adalah satu pencabulan tanpa persetujuan. Dengarkan ucapan Sami Yusuf di temubual beliau dengan Riz Khan di web rasmi Sami Yusuf.

Apa sebenarnya berlaku,?

Rupanya album Sami Yusuf bertajuk al-Muallim telah terjual sekitar 5 juta album. Konsertnya di Wembley menyebabkan jammed teruk di London. Keadaan ini agaknya menyebabkan pihak penerbit yang mulanya amat rapat dengan Sami Yusuf dirasuki virus yang telah kita sebutkan di atas. Virus ketamakan dan motivasi kaya tanpa kawalan, sehingga tidak lagi sabar dan menurut Sami Yusuf, penerbitnya menjadi tidak telus dalam urusan.

Akhirnya pihak Awakening menerbitkan album ketiga yang bertaraf demo dan mp3. Pihak Awakening mendakwa mereka mengeluarkannya secara sah kerana perjanjian dengan Sami Yusuf adalah 5 buah album.

Album sebenar akan keluar katanya dalam beberapa waktu terdekat.

SAYA PERNAH MENJADI MANGSA TERBIT TANPA IZIN

Saya sendiri walau bukan punyai status popular di dalam masyarakat, NAMUN pernah merasai keadaan ini. Iaitu apabila cd kurusus solat saya diterbit dan dijual tanpa keizinan dan persetujuan saya. Mungkin anda pernah menjumpainya di mana-mana.

Benar, sememangnya saya berpakat dengan pihak yang merakam untuk menerbitkannya, namun setelah saya meneliti cara ceramah dan kandungan kursus itu saya tidak merasakan ia sesuai untuk disebarkan kepada umum disebabkan kualiti rakaman dan juga kesesuaian kandungannya untuk seseorang diluar kursus. Namun, ia terjadi dan setiap kali ini terjadi, pertikaman lidah dan pertengkaran sukar dielakkan dan ia amat dikesali.

Kenyataan rasmi Sami Yusuf berkenaan penerbitan Album baru tanpa izinnya. BUKA SAMI YUSUF

sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

19 Feb 2009

Friday, January 9, 2009

KOMEN DARI EN. YOYO



Tanggal 6.1.2009, seorang Pengkritik di ruangan ShoutBox ana yang menggelarkan dirinya yoyo telah mengutarakan komen. Sekali imbas, komen yang diberi agak kasar, namun mungkin en. Yoyo memang begitu orangnya. Pertama sekali ana ingin mengucapkan terima kasih kepada en. Yoyo kerana sudi memberikan komen yang ana kira tulus dari hatiNya. Dengan adanya komen tersebut juga menggerakkan hati ana untuk menulis artikel ini. Terima kasih buat en. Yoyo.


Komen en. Yoyo berbunyi begini;

  • yoyo bgila ilmu2 yg bleh bermanfaat aderla jugak ilmu yg diamalkan oleh org lain..tak payahla cerita kish hidup mu tu..ado plak sikap takbur nanti.

Details

2009-01-06 11:09 AM #

  • yoyo salam..demo dapat gapo buat blog2 ni?dpt gaji ke?baik keje sedekah kat palestin..rasa hebat sgt cerita kisah hidup yg blum berjaya lagi

Details

2009-01-06 11:05 AM #


Pertama sekali, saya kira en. Yoyo sudah tentu hebat dan berjaya orangnya. Seorang yang mempunyai blog yang sentiasa dikemaskini dengan ilmu yang bermanfaat. Mungkin en. Yoyo seorang ilmuan, ustaz atau mahasiswa. Tidak mustahil.


Sebelum saya terus menulis, ingin saya tegaskan, artikel ini bukanlah bertujuan membela diri atau menyerang balas komen en. Yoyo. Namun, ini hanyalah sebuah bingkisan, perspektif dan pendapat dari seorang hamba Allah yang masih banyak kelemahan.


Pada ana, ilmu itu sangat luas skopnya. Adakah sesuatu yang diperoleh dari dalam kuliah itu sahaja yang boleh dikira sebagai ilmu? Adakah sesuatu yang diperoleh dari buku itu sahaja yang boleh dikira sebagai ilmu? Adakah sesuatu yang diperoleh dari dalam ceramah di masjid itu sahaja yang boleh dikira sebagai ilmu? Amat malanglah jika pemikiran kita sesempit itu.


Apakah ciri-ciri ilmu? Secara mudahnya ana menyimpulkan ilmu merupakan sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Ana tertarik dengan petikan Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-‚Imran;





191. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka.


Berdasarkan firman Allah ini, amat jelas Allah menyatakan bahawa setiap ciptaan Allah S.W.T ini mempunyai hikmah dan tujuan-tujuan yang tertentu dan tidak sia-sia. Apa sahaja ciptaan, keadaan, dan perkara-perkara yang berlaku di langit dan di bumi mempunyai hikmah dan pengajaran tersendiri jika kita mahu berfikir.


Jika kita mahu berfikir, maka cerita sekecil kita berjumpa dengan seorang pemandu teksi ataupun pengemis sekalipun sudah tentu mempunyai hikmah dan ilmu yang boleh dimanfaatkan daripadanya. Justeru, janganlah kita terlalu menyempitkan pemikiran dan skop minda kita terhadap maksud ilmu itu sendiri. Dalam diam, jika kita hanya menganggap ilmu agama sebagai ilmu Allah sedangkan ilmu sains, matematik ataupun psikologi merupakan ilmu manusia, maka AWAS, mungkin kita telah dipengaruhi idea sekularisme. Memisahkan di antara agama dan kehidupan.


Ana teringat sebuah kisah di zaman Nabi Ibrahim. Sewaktu Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud, seekor burung pipit berusaha menyiram air pada api tersebut menggunakan paruhnya yang sangat kecil. Lalu ada seorang hamba Allah yang bertanya pada burung pipit tersebut. “Wahai burung pipit, mengapa kau melakukan usaha yang sia-sia itu? Api itu tidak akan padam hanya dengan siraman dari paruhmu yang kecil itu.”


Pipit menjawab. “Aku takut apabila aku mati nanti, Allah akan bertanya padaku, apakah yang aku lakukan untuk menyelamatkan Nabi Allah Ibrahim, lalu aku tidak mempunyai apa-apa jawapan untuk membela diriku”.


Subhanallah, seorang pipit bersaiz kecil tetapi berjiwa besar. Marilah kita merenungkan kisah yang sarat dengan pengajaran ini.


Akhirnya ingin ana mengingatkan pada diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, sebagai seorang da’ie, apabila kita ingin menyampaikan ilmu, teguran dan sebagainya, sampaikanlah dengan penuh berakhlak dan berhikmah. Sungguhpun perkara yang kita ingin sampaikan itu benar, namun maksud kepada mad’u (orang yang didakwah) tidak akan sampai dengan baik jika dilakukan dengan semberono.


Marilah kita singkap sirah Rasulullah dengan seorang wanita Yahudi. Seorang wanita Yahudi yang sering melemparkan najis pada baginda Rasulullah S.A.W, namun diziarahi oleh Rasulullah sendiri sewaktu wanita tersebut demam. Dengan akhlak baginda yang cukup sabar dengan karenah wanita Yahudi itu, maka akhirnya hati wanita itu terbuka untuk memeluk Islam.


"Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu ia berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya bahawa aku ini diutus hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak."


Akhlak merupakan pancaran hati dan budi yang benar-benar memahami Islam sebagai Ad-Deen iaitu cara hidup dan bukan sekadar agama (religion). Wallahualam.

SALAM 1430H



Dingin malam
Menusuk tulang insan
Nan kesejukan dan ketakutan
Resah yang dibalut kegelisahan
Mengiringi suatu perjalanan
Meninggalkan kota penuh kegelapan
Menuju ke kota cahaya Kebenaran

Bermulalah hijrah yang agung
Pengorbanan insan tak ternilai
Harga kepayahan kesusahan
Menempuh dugaan dan rintangan
Dalam kehidupan

Mereka tak punya apa
Harta sanak saudara
Tetapi mereka percaya
Hanya janji Rasulnya
Suraqah mengejar
Ingin merebut dinar yang dijanjikan
Allah melindungi
Perjalanan kekasihnya yang tercinta

Inilah sebuah hijrah yang agung

Debaran, debaran, debaran
Hijrah ke Kota Cahaya...

Gua Thur menjadi saksi
Hijrah kekasih Allah
Merpati menjadi saksi
Hijrah kekasih Allah
Lelabah menjadi saksi
Hijrah kekasih Allah


Wednesday, December 3, 2008

PENGERTIAN IMAN

Sekadar berkongsi pengisian Usrah. Dipetik dari Kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin. Karangan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Bab yang kelima. Moga-moga ada manfaat sebagai ilmu buat yang tidak mengetahui dan sebagai tazkirah buat yang sedia maklum;

Iman itu ialah tasdiq (membenarkan). I’tiqad dengan hati kepada apa yang diketahui yang ianya daripada Deen Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta ikrar dengan lidah dan amal.

Tasdiq itu mestilah juga menerima serta redha dengan semuanya, tidak ada ingkar dan perasaan ragu serta tidak menjuzuk-juzukkan kepercayaannya.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman (pada hakikatnya) sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka berselisih dikalangan mereka, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keraguan terhadap apa-apa keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.” (An-Nisa’: 65)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu.” (Al-Hujurat: 15)

Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak berpisah walaupun berbeza dari segi takrif kerana amal itu adalah hasil daripada iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal. Lantaran itu Allah SWT menyebut iman beriringan dengan amal.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah hanya mereka yang apabila disebut Allah terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan sembahyang, berbelanja daripada apa yang Kami beri rezeki kepada mereka. Mereka itulah orang beriman dengan sebenarnya.” (Al-Anfaal: 2 – 4)

Berdasarkan kepada yang tersebut di atas maka pendapat Muktazilah yang menjadikan amal sebagai syarat iman adalah ditolak. Oleh kerana itu orang yang mengerjakan maksiat masih di anggap beriman selagi hatinya masih percaya dan tidak ada tanda-tanda ingkar.

Sementara itu, pendapat Murji’ah yang mengatakan bahawa iman itu tasdiq dengan hati dan ikrar sahaja dengan tidak payah beramalpun dikira salah kerana Allah SWT menyebut bahawa iman itu beriringan dengan amal.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” (al-Kahfi: 107)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik).” (Al-An’aam: 82)

Pendapat Karaamiyyah yang mengatakan bahawa iman itu hanyalah ikrar dengan lidah sahaja dikira salah juga kerana firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Orang-orang Arab Badwi berkata: ‘Kami telah beriman’, katakanlah kepada mereka. ‘Kamu belum beriman tetapi katakanlah, Kami telah Islam’. Kerana Iman itu belum masuk ke dalam hati mereka.” (Al-Hujurat: 14)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Di antara manusia itu ada yang mengatakan, ‘Kami berimankepada Allah dan hari Kemudian’, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang beriman.” (Al-Baqarah: 8)

Juga, iman itu tidak sah jika apa yang di tasdiqkan itu tidak menepati syara’ seperti orang-orang yang beriman dengan taghut hatta walaupun dia beriman juga dengan Allah SWT.


Maksudnya:

Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang diberikan bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada yang disembahselain daripada Allah dan taghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir bahawamereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati oleh Allah. Barangsiapa yang dilaknati oleh Allah nescaya kamu sekali-sekali tidak akanmemperolehi penolong baginya.” (An-Nisa’: 51 –52)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, pada hal mereka telah diperintah mengingkari taghut. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang jauh.” (An-Nisa’: 60)

Tuesday, December 2, 2008

AKU PEMANDU TEKSI, AKU SEORANG DA'IE

Hari itu, 30 November 2008 ana dan Zaidin bertolak pulang dari Kg Paya Redan, Pagoh. Ana menziarahi rumah sahabat ana, Zaidin. Al maklumlah, tak pernah sampai, akhirnya tercapai juga hasrat ingin bertandang ke Pagoh. Kami pulang dihantar oleh sahabat se’ HPA’ kami di Serdang Syeikh Sahril. Sahril kini telah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Cawangan HPA dan kini bertugas di Muar. Saat-saat suka dan duka di HPA Serdang insya Allah akan tetap diabadikan dalam diari hidup ini.

Kami pulang menggunakan perkhidmatan bas Transnasional. Perjalanan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Jam 5.40 petang kami tiba di stesen Puduraya. Stesen yang tidak asing lagi bagi diri ini. Setelah Solat Jama’ Ta’khir Zohor dan Asar kami meneruskan perjalanan. Kami menuju ke stesen LRT RapidKL Plaza Rakyat. Subhanallah, ramainya umat manusia yang beratur! Mata melilau mencari mesin tiket. Allah, rosak pulak! Terpaksalah ana dan Zaidin beratur untuk membeli tiket ke Tasik Selatan.

Alhamdulillah, kami tiba di stesen tasik Selatan dalam jam 7.00 malam. “Ni kalau naik bas ni tak sempat solat maghrib”, ana mencatur. Lalu ana mencadangkan kepada Zaidin agar menggunakan perkhidmatan teksi sahaja. Dalam usaha pencarian teksi, tiba-tiba mata ini terpaut pada seorang penumpang berbangsa India yang berbaju putih. Ini baju student Masterskill ni. Ana membaca gerak bibir gadis India tersebut. “Tower 10”. Ana pantas membuka pintu teksi dan berunding dengan pemandu teksi tersebut. Akhirnya pemandu teksi tersebut bersetuju untuk menghantar kami dengan syarat bayaran lain-lain.

Oleh sebab masa yang begitu berharga, ana bersetuju dengan syarat yang dikenakan. Namun, di hati terdetik rasa tidak puas hati dengan syarat tersebut. Namun dipendam sahaja. Pakcik teksi tersebut mula menemuramah kami bertiga (ana. Zaidin dan pelajar India). Dari hal perjalanan hinggalah hal kerja. Pakcik teksi tersebut berusaha berkomunikasi dengan bahasa Inggeris yang agak cacamarba, tapi boleh difahami. Mungkin disebabkan pelajar India tersebut berbahasa Inggeris dengan pakcik tersebut tadi.

(Nota; pakcik tersebut berbahasa Inggeris campur Melayu, namun ana menterjemahkan keseluruhan kata-katanya kepada Bahasa Melayu agar mudah difahami pembaca.

Tiba-tiba Zaidin bertanyakan soalan. “Pakcik dah berapa lama bawa teksi?” Setahun lebih la, pakcik itu menjawab. Aik? Ana sedikit kehairanan. “Sebenarnya pakcik ni pesara tentera. So, daripada tak buat apa-apa ni, pakcik bawa la teksi”. Oo..begitu rupanya, hati ini berbicara. “Awak asal mana?” Pakcik tersebut bertanyakan Zaidin. Saya asal Muar, Pagoh. “Oo..Muar. Anak saya dulu sekolah kat Sekolah Sains Muar. Jadi, waktu itu, pakcik selalu la berulang alik di Bandar Muar tu. Dah masak juga la dengan jalannya. Sekarang anak pakcik belajar di UK, course engineering”. Wah, ana terpegun seketika. “Lagi sorang anak pakcik buat medic”. Ana terkesima lagi. Wah, boleh tahan juga anak-anak pakcik ni ye, hati ini berkira-kira.



Teksi tiba di selekoh di hadapan bangunan dan masjid PGA. Tiba-tiba pakcik tersebut bersuara. “Kita ini, walau sesibuk manapun jangan sesekali tinggal sembahyang. Nanti, insya Allah lepas hantar kamu ni, pakcik akan sembahyang kat masjid ini. Dalam Al-Quran telah disyariatkan tentang solat ni”. Pakcik tersebut menerangkan tentang kewajipan itu sedikit sebanyak kepada gadis India bersebelahan ana.


Tiba-tiba terpacul lagi satu soalan yang cukup menyentap sanubari ini. “Kamu agak-agak la ye, berapa lama kamu boleh hidup?” Pakcik tersebut bertanya kepada Zaidin. “Mungkin 60 tahun”, Zaidin menjawab. “Cuba kita lihat manusia sekarang, untuk tempoh hidup 60 tahun itu, mereka bekerja bermati-matian untuk mengumpul harta. Namun, untuk alam akhirat yang kekal abadi, mereka buat tidak endah sahaja. Patutkah begitu?”, pakcik tersebut terus mengeluarkan hujah-hujahnya.

“Kita sebagai orang Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan dakwah”, pakcik tersebut menyambung lagi, kami berdua mengiyakan. Kali ini, ana yang selama ini hanya berdiam diri di tempat duduk belakang terus bertanya kepada pakcik tersebut. “Nama pakcik siapa?” “Nama pakcik, Kasim”. “Pakcik asal dari mana?” “Pakcik asal negeri Sembilan, tapi dah lama menetap di Bandar Tun Hussein Onn tu”.

Teksi telah sampai ke destinasi. “Terima kasih pakcik”, kami membayar tambang. Walaupun terpaksa membayar tambang lebih, namun ana tidak menyesal walau sedikitpun. Rasa begitu beruntung dipertemukan dengan Pakcik Kasim, seorang pemandu teksi berjiwa da’ie.