>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Showing posts with label Usrah. Show all posts
Showing posts with label Usrah. Show all posts

Thursday, December 11, 2008

USRAH DAN AIDILADHA 1429H

Aidiladha 1429H kali ini diraikan di Tanjong Karang, Rasanya dah lama juga ana terlepas meraikan Hari Raya Haji di kampung kerana merantau di negeri orang sebelum ini. Namun, cuti kali ini tidak dilepaskan. Walaupun hanya satu hari, namun sangat rugi jika peluang bersama keluarga dilepaskan begitu sahaja.


Pagi raya dimulakan dengan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid. Selepas mengisi perut di rumah, kerja-kerja ‘membedah lembu’ di surau kariah dijalankan. Meriah sungguh kerja-kerja mengorbankan lembu. Walaupun kepenatan melapah, namun ukhuwwah dan gurauan bersahaja di kalangan penduduk taman menghilangkan rasa itu. Begitulah syumul dan indahnya Islam, keperluan bersosial cukup dititik beratkan sama ada kita sedar ataupun tidak.



Selepas selesai mengorbankan lembu di surau, ana pulang ke rumah. Kini, tiba masa untuk keluarga ataupun dalam bahasa arabnya usrah. Ana meluangkan masa untuk anak-anak saudara. Saat-saat yang sungguh bermakna dan membekas di kalbu.




Selepas zuhur, kami diziarahi pengantin baru, siapa lagi kalau bukan Roslizal dan Atiqah. Mengukuhkan ikatan silaturrahim yang baru terjalin lebih kurang dua hari. Selepas Asar kami diziarahi pula oleh keluarga pakcik sebelah abah yang lebih mesra dengan panggilan Paman Yaya. Banyak cerita yang dikongsi bersama.



Menjelang malam pula, ana mengetuai acara bermain bunga api bersama-sama anak saudara. Yay! Pak Teh! Jomla main bunga api. Anak-anak saudara ana separuh menjerit. Puas melayan karenah mereka. Pak Teh! Nak jalan-jalan naik motor. Kakak tak pernah naik lagi, Durrah separuh menjerit. Hmm..nampaknya kena adil la pada semua. Masing-masing menuntut keadilan umpama berada di mahkamah.



Usrah dalam gerakan Islam


Usrah ataupun keluarga dalam gerakan Islam merupakan institusi asas dalam tarbiyah buat ahli-ahli gerakan Islam. Kebelakangan ini, institusi ini dilihat masih lemah dan belum mampu menjalankan fungsi asasnya iaitu TARBIYAH. Natijahnya, ahli-ahli gerakan terus lesu dan lemah dibuai angan-angan masing-masing, Inginkan hasil yang besar dan cepat, namun hanya duduk diam tanpa usaha yang mantap.



Seperti namanya sendiri iaitu Usrah yang bermaksud keluarga, institusi ini perlu bergerak dengan lebih kreatif dan dinamik. Keperluan ahli usrah ataupun ahli keluarga perlu diambil kira dalam menjalankan modus operandi usrah itu sendiri. Jika tidak, perjalanan usrah itu sendiri akan terus ditakuk lama dan hasilnya juga tidak mampu berkembang.



Apa yang kita harapkan daripada kaedah usrah 20 tahun yang lepas? Kini, masa bergerak pantas. Siapa yang lambat akan ketinggalan. Ketinggalan dari segi maklumat, berita, isu dan tindakan. Ana tidak menafikan akan pengisian asas usrah yang perlu dikekalkan dan ditekankan. Namun dalam menghadapi kepelbagaian ahli dalam gerakan Islam, suatu kaedah ataupun pendekatan perlu difikirkan agar institusi ini terus berkembang seiring dengan masa dan keperluan.

MY COUSIN'S WEDDING

Dua hari sebelum Hari Raya Aidiladha (6 Disember 2008) telah berlangsungnya majlis pernikahan dan walimatul urus sepupu ana sebelah mak yang berasal dari Kuala Kangsar Perak. Roslizal ataupun lebih mesra dengan panggilan Mat bertemu jodoh dengan Atiqah yang berasal dari Meru, Klang. Majlis dimulai dengan upacara pernikahan di rumah pengantin perempuan di Jalan Kopi, Meru Klang.



Alhamdulillah, upacara pernikahan berjalan lancar. Roslizal mengatur bicara lancar ‘Aku Terima Nikahnya’ hanya dengan satu lafaz. Sebenarnya tak kisahla berapa lafaz pun, yang penting selamat diijab kabulkan. Orang Melayu kita yang kadang-kadang menjadikan isu remeh seperti sesuatu yang besar sedangkan Islam itu mudah.


Pengantin lelaki menyerahkan maskahwin kepada Pengantin perempuan


Hantaran Pengantin lelaki dan Pengantin perempuan

Dengan terungkapnya lafaz itu, maka dua jiwa menjadi satu. Dua keluarga bersaudara dan bermulalah suatu fasa kehidupan yang perlu dikongsi bersama.



Pada majlis tersebut juga rindu ana dilepaskan. Adik kepada pengantin lelaki, Azlizal ataupun lebih mesra dengan panggilan TJ semestinya hadir. Sepupu ana yang sebaya. Setelah hampir beberapa tahun tidak bersua muka, akhirnya di majlis ini kami dipertemukan. Sudah tentu banyak kisah suka dan duka yang dikongsi bersama.

Semurni sebuah ikatan perkahwinan, semurni itulah juga doa ini. Semoga perkahwinan yang dibina beroleh mawaddah dan rahmah yang diimpikan oleh setiap insan.



SELAMAT PENGANTIN BARU
ROSLIZAL & ATIQAH


Wednesday, December 3, 2008

PENGERTIAN IMAN

Sekadar berkongsi pengisian Usrah. Dipetik dari Kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin. Karangan Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Bab yang kelima. Moga-moga ada manfaat sebagai ilmu buat yang tidak mengetahui dan sebagai tazkirah buat yang sedia maklum;

Iman itu ialah tasdiq (membenarkan). I’tiqad dengan hati kepada apa yang diketahui yang ianya daripada Deen Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta ikrar dengan lidah dan amal.

Tasdiq itu mestilah juga menerima serta redha dengan semuanya, tidak ada ingkar dan perasaan ragu serta tidak menjuzuk-juzukkan kepercayaannya.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman (pada hakikatnya) sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka berselisih dikalangan mereka, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keraguan terhadap apa-apa keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima sepenuhnya.” (An-Nisa’: 65)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu.” (Al-Hujurat: 15)

Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak berpisah walaupun berbeza dari segi takrif kerana amal itu adalah hasil daripada iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal. Lantaran itu Allah SWT menyebut iman beriringan dengan amal.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah hanya mereka yang apabila disebut Allah terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan sahaja mereka bertawakkal. Mereka mendirikan sembahyang, berbelanja daripada apa yang Kami beri rezeki kepada mereka. Mereka itulah orang beriman dengan sebenarnya.” (Al-Anfaal: 2 – 4)

Berdasarkan kepada yang tersebut di atas maka pendapat Muktazilah yang menjadikan amal sebagai syarat iman adalah ditolak. Oleh kerana itu orang yang mengerjakan maksiat masih di anggap beriman selagi hatinya masih percaya dan tidak ada tanda-tanda ingkar.

Sementara itu, pendapat Murji’ah yang mengatakan bahawa iman itu tasdiq dengan hati dan ikrar sahaja dengan tidak payah beramalpun dikira salah kerana Allah SWT menyebut bahawa iman itu beriringan dengan amal.

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh.” (al-Kahfi: 107)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik).” (Al-An’aam: 82)

Pendapat Karaamiyyah yang mengatakan bahawa iman itu hanyalah ikrar dengan lidah sahaja dikira salah juga kerana firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Orang-orang Arab Badwi berkata: ‘Kami telah beriman’, katakanlah kepada mereka. ‘Kamu belum beriman tetapi katakanlah, Kami telah Islam’. Kerana Iman itu belum masuk ke dalam hati mereka.” (Al-Hujurat: 14)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

“Di antara manusia itu ada yang mengatakan, ‘Kami berimankepada Allah dan hari Kemudian’, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang beriman.” (Al-Baqarah: 8)

Juga, iman itu tidak sah jika apa yang di tasdiqkan itu tidak menepati syara’ seperti orang-orang yang beriman dengan taghut hatta walaupun dia beriman juga dengan Allah SWT.


Maksudnya:

Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang diberikan bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada yang disembahselain daripada Allah dan taghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir bahawamereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman. Mereka itulah orang-orang yang dilaknati oleh Allah. Barangsiapa yang dilaknati oleh Allah nescaya kamu sekali-sekali tidak akanmemperolehi penolong baginya.” (An-Nisa’: 51 –52)

Firman Allah SWT:


Maksudnya:

Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, pada hal mereka telah diperintah mengingkari taghut. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang jauh.” (An-Nisa’: 60)