>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Wednesday, April 23, 2008

ISLAMIC FASHION FESTIVAL (IFF) DI DUBAI


Menonton rancangan NONA pada 20 April 2008 yang lalu membuatkan saya begitu kecewa. Liputan selama satu jam tentang Islamic Fashion Festival (IFF) yang pada kali ini bertempat di Dubai membingitkan telinga, menyakitkan mata dan menghiris hati. Bukanlah niat di hati nak tengok sangat, sebetulnya saya sedang menyiapkan tugasan yang diberi oleh kakak saya sambil mendengar dan menonton tv.

Entah apa yang Islamik sangat tentang festival fesyen tu pun saya tak tau. Dengan pakaian ketat dan tudung mini yang kononnya dikatakan ‘menutup aurat’ digayakan pula model-model yang entah-entah bukan Islam pun, mereka berharap fesyen yang diiktiraf oleh mereka sebagai ‘fesyen Islam’ itu dapat diketengahkan di mata dunia. Mendengar istilah busana muslimah yang digunakan bagi pertunjukan fesyen tersebut cukup menyakitkan hati. 

Adakah dengan bertudung sahaja sudah menepati kriteria-kriteria menutup aurat bagi wanita? Wahai kawan-kawanku yang bijaksana, sudah tentu tidak. Malahan, tudung itu sendiri mempunyai kriteria-kriteria yang perlu dicapai untuk dikatakan tudung yang betul-betul menutup aurat. Pertunjukan fesyen seumpama ini bukanlah yang pertama. Ia julung-julung kali diadakan di Jakarta pada tahun lepas dan pada kali ini diadakan di Dubai. Penganjurnya, sudah tentu sahaja Malaysia, satu-satunya Negara yang berpegang dengan Islam Hadhari. 

Nah, lihat sahaja Penaung bagi IFF itu sendiri, isteri TPM sendiri tidak bertudung. Penaung bagi IFF pun tidak bertudung, apatah lagi menutup aurat. Pelik tetapi benar. Kita lihat pula satu rancangan yang mempunyai konsep yang sama dengan IFF iaitu rancangan Busana di TV9. Satu lagi rancangan yang bertopengkan nama ISLAM. 



Pengacaranya tidak perlu diperkenalkan lagi, Pn. Norjuma. Pakaian pengacaranya sendiri sudah boleh dipersoalkan sama ada betul-betul menutup aurat ataupun tidak. Apatah lagi dengan fesyen-fesyen yang diperagakan oleh model-modelnya, sudah pasti tidak sempurna aurat yang ditutup. 

Persoalannya, adakah golongan sebegini faham ataupun tidak tentang tuntutan-tuntutan dalam menyempurnakan kewajipan menutup aurat? Pada pandangan saya golongan sebegini boleh dibahagikan kepada 3 kategori. 

Pertamanya golongan Jahil. Jenis ni memang bodoh bab-bab hukum ni sebab memang tak belajar. 

Keduanya golongan Jahil Murakkab. Jenis ni dahlah bodoh tak tau, pastu sombong pulak, buat-buat pandai tak nak tanya pada ulama. 

Ketiganya golongan yang tahu, tetapi mengalami krisis iman dan keyakinan dengan hukum Allah. Jenis ni lah yang banyak sebenarnya. Tidak yakin dengan hukum Allah. Sama seperti tidak yakin dengan hukum jinayah dalam fiqh islam seperti hudud dan qisas.

Mungkin pertunjukan fesyen di Tehran, Iran boleh dijadikan contoh. Lihat sahaja gambar di bawah ini, walaupun penuh dengan gaya kontemporari, tetapi sempurna aurat yang ditutup. Hakikatnya, wanita bukanlah barang yang layak untuk diperagakan dan dieksploitasi. Rasulullah s.a.w sendiri telah mengangkat darjat wanita di zaman jahiliyah. Adakah anda wanita-wanita akhir zaman ingin menjatuhkan kembali nilai diri dan maruah wanita? Tepuk dada, tanyalah Iman. Wallahualam.

Thursday, April 17, 2008

AKU TERIMA NIKAHNYA


Tanggal 15 April 2008, tarikh keramat ‘Aku Terima Nikahnya’ sebuah buku tulisan Ustaz Hasrizal saya khatamkan. Tajuknya pun dah memang cantik menarik tertarik kau memang da bomb. Hehe. Tapi apa yang saya ingin utarakan di sini adalah betapa bernilainya ilmu yang terkandung di dalamnya.


‘Aku Terima Nikahnya’ cuba memberi kita tentang gambaran sebenar perhubungan di antara seorang insan bernama lelaki dan seorang lagi ciptaaan Allah yang diberi nama wanita. Buku yang sesuai dihadam oleh golongan remaja terutamanya mereka yang dah gatal sangat nak berkahwin tu atau pun yang tak sedar diri masih terlibat dengan gejala couple yang semakin membarah dalam era moden kini.

Sebelum saya teruskan ulasan tentang buku ini, ingin saya nyatakan sejelas-jelasnya bahawa saya bukanlah peminat fanatik Ustaz Hasrizal yang sangat dikenali dengan blognya yang begitu popular iaitu saifulislam.com. Tetapi saya sebagai seorang muslim hanya berpegang kepada amrain (dua perkara) iaitu Al-Quran dan Sunnah sebagai bekal jalan menuju alam baqa’.

Justeru mana-mana pandangan yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunah seharusnya diterima oleh saya tidak kiralah ia disampaikan oleh sesiapa pun. Kebenaran dan kebatilan adalah dua perkara yang tidak boleh bersama. Dan kerana itulah wujudnya juga perjuangan menentang kebatilan sehingga ke hari ini.

Justeru saya menyeru kepada semua sahabat saya di mana sahaja agar tidak mudah menghukum. Ya memang betul prinsip tunggak iaitu akidah tidak termasuk dalam kategori perkara yang boleh dikompromi, namun banyak lagi perkara khilafiyah yang sering menjadi perbalahan sehingga banyak kerja-kerja dakwah, islah dan tarbiyah tergendala.

Ok, kita balik kepada ‘Aku Terima Nikahnya’. Buku ini disampaikan dalam gaya bahasa yang cukup santai. Mesej yang dinyatakan walaupun nampak mudah tapi disampaikan dengan gaya bahasa yang cukup indah dan berhikmah.

‘Aku Terima Nikahnya’ cuba memaparkan pengalaman sebenar dalam dunia pra perkahwinan, semasa perkahwinan dan pasca perkahwinan. Rencah hidup berkeluarga nampak begitu hidup dalam tulisan beliau yang dikenali sebagai Abu Saif.

CINTA dinyatakan bukan hanya sebagai cinta semata-mata, malah wajib disertai dengan KASIH SAYANG, TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN. Mesej-mesej yang cuba disampaikan bersifat realistik, berpijak di bumi nyata dan jauh daripada teori-teori idealistik yang terawang-awangan. Segala yang disampaikan adalah situasi ikhlas penulis yang mana pengajarannya boleh dipegang dan boleh dipraktikkan oleh kita semua.

Prinsip hidup penulis yang terungkap dalam satu ayat mudah iaitu ‘ERTI HIDUP PADA MEMBERI’ nyata mempengaruhi pemikiran dan penulisan beliau yang bersifat lebih banyak berkorban daripada menuntut pengorbanan. Suatu prinsip hidup yang wajar dicontohi oleh mereka-mereka yang ingin hidup dalam redha-Nya dan menuju matlamat yang utama dalam hidup iaitu sebagai hamba kepada Allah s.w.t.

Teori Imam al-Ghazali yang menyatakan tentang nisbah akal dan nafsu antara kaum lelaki dan perempuan diberi nafas baru oleh abu Saif dengan menggarap pemurnian yang lebih mudah difahami.

Saya petik sedikit kata-kata dari buku ini; “Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan.” Sebuah buku yang wajib dimiliki oleh mereka-mereka yang inginkan petua-petua dalam membina sebuah Baitul Muslim penyambung perjuangan.