>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Tuesday, October 7, 2008

PERGI TAK KEMBALI

Lama Sudah...


Lama sudah tidak menjenguk ke alam maya. Tangan 'berteriak' mahu menggapai alam sesawang namun kaki masih lagi terikat dengan komitmen di alam realiti. Atau diri ini sebenarnya yang masih belum mampu ditarbiah dengan baik untuk 'menghormati masa' yang terus-menerus menikam tapi tidak diisi dengan sebaiknya. Sama ada kita yang menikam, atau kita yang ditikam? Semuanya terserah kepada kita. Selama roh masih di jasad, selama itulah kita masih perlu berjuang dan terus berjuang...

Yang Datang dan Yang Pergi...

Ramadhan yang berlalu dan syawal yang mendatangi....Adakah kita telah benar-benar merasai tarbiah ramadhan, atau ramadhan yang telah berlalu sama sahaja seperti tahun lalu atau lebih teruk dari itu. Jawapannya ada pada diri kita. Cerminannya adalah sepanjang 11 bulan berikutnya. Masing-masing mampu menilai. Namun yang datang dan yang pergi bukan sekadar bulan. Insan juga tak terkecuali...


Raya ke-6...

Kurang lebih jam 4 pagi, seorang serikandi penggerak jihad di UMS telah pergi menghadap yang Maha Penyayang. Siti Aisyah Bakri terlibat dalam kemalangan di papar. Namun terpaksa dipindahkan dari Hospital Papar ke Hospital Queen Elizabeth. Dilaporkan telah stabil namun jaminan seorang manusia biasa bergelar 'doktor' tak mampu melawan kuasa yang Maha Agung. Takziah buat keluarga Allahyarhamah. Semoga rohnya ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah.

"Sesungguhnya orang yang mati syahid itu tidak mati bahkan mereka hidup di sisi Tuhannya..."

Yang pergi takkan kembali lagi. Yang tinggal perlu meneruskan perjuangan. Jalan yang perlu kita tempuh masih jauh, penuh ranjau dan berliku. Kata-kata, "Biarlah air mata dan tangisan yang menjadi saksi" perlu ditukar kepada, "Biarlah derap langkah kita di medan jihad yang menjadi saksi". Berapa ramai yang mampu mengambil iktibar dari kematian yang berlaku di sekelilingnya. Walaupun yang pergi itu bukannya kita, sebenarnya kematian itu adalah lambaian-lambaian kepada kita yang mengingatkan kepada maut itu sendiri. Mungkin bukan sekarang masanya, namun maut tetap akan tiba.

Ibrah...

Jadikanlah segala yang berlaku di sekitar kita sebagai katalis untuk meneruskan perjuangan yang tak diketahui apa kesudahannya. Adakah kita akan terus berada di atas jalan-jalan jihad atau sebaliknya. Hanya Allah yang tahu kesudahannya

dipetik dari:

No comments: