>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Tuesday, March 4, 2008

CIRI-CIRI PEMIMPIN

Soal kepimpinan dalam sesebuah organisasi sering diperkatakan apabila ianya menampakkan kecacatan ataupun kemajuan bagi organisasi berkenaan. Ini membuktikan bahawa peranan pucuk pimpinan bagi sesebuah organisasi amat penting kerana jatuh bangun sesebuah organisasi melibatkan kredibiliti pemimpin dan perlakuan aktiviti dalam organisasi.

Pemimpin yang bersifat adil adalah satu ciri penting yang sepatutnya ada bagi seseorang yang bergelar pemimpin. Ianya tidak terbatas kepada jenis kepimpinan kepada sebuah keluarga atau perkumpulan kecil atau sebuah organisasi. Malah apa sahaja yang dipimpin olehnya, keadilan akan sentiasa dipersoalkan.

Kedudukan kepimpinan adalah sangat penting dalam Islam. Para sahabat dan tabi’in telah ijmak bahawa amanah ini adalah tuntutan syarak selepas daripada kewafatan Rasulullah. Hal ini dapat diperhatikan semasa kewafatan Rasulullah s.a.w. Para sahabat telah berbaiah kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah dengan tidak membiarkan masyarakat terkontang-kanting tanpa pemimpin meskipun pada ketika itu jenazah baginda masih belum disemadikan.

Rasulullah pernah menegaskan : “Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua”. (al Hadith) Inilah perintah baginda terhadap perlantikan ketua (pemimpin) walaupun dalam situasi yang kecil (bermusafir) dan maka apatah lagi dalam kumpulan yang besar atau organisasi yang khusus dan mempunyai tugas, sudah pasti keperluan terhadap pemimpin adalah terserlah.

CIRI-CIRI UTAMA PEMIMPIN MUSLIM SEJATI

1. BERIMAN DAN ADIL
Keimanan yang mantap akan menjelmakan peribadi yang luhur dan pastinya dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.

2. MENGENALI DAKWAH
Ciri ini sangat penting kerana pemimpin sebenarnya adalah seorang daie yang bertanggungjawab untuk menyeru ummat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan menyeluruh.

3. MENGENALI DIRI
Di antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui segi-segi kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Pemimpin yang tidak tahu potensi-potensi dan keupayaan tidak akan dapat menjadi pemimpin yang berjaya.

4. PRIHATIN KEPADA ORANG BAWAHAN
Perhatian yang diberikan kepada pengikutnya adalah dengan mengenali mereka sekadar yang perlu, mengambil tahu hal ehwal mereka, ikut serta bersama-sama merasai riang dan duka dan bersungguh-sungguh mencari penyelesaian bagi masalah mereka. Semua ini dapat membantu pemimpin itu untuk mengawal serta membina thiqah orang bawahan terhadap dirinya seterusnya dapat mengambil faedah daripada suasana tersebut.

5. QUDWAH YANG BAIK
Para pengikut sentiasa memerhatikan dan memandang kepada pemimpin sebagai model yang baik untuk diikuti dan dicontohi. Telatah pimpinan, budi pekerti, kata-kata dan segala perbuatannya mempunyai pengaruh yang sangat berkesan kepada setiap pengikutnya. Rasulullah adalah merupakan satu teladan yang amat baik bagi seluruh umat manusia. Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya pada diri Rasulullah satu contoh ikutan yang baik”

6. PEKA DAN MENYELURUH
Kemampuan pemimpin dalam melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat bagi mana-mana masalah serta kemampuan mengambil keputusan yang tegas dalam pelbagai situasi dan keadaan, semuanya akan menimbulkan kepercayaan dan penghargaan orang bawahan terhadap dirinya. Sebaliknya sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas daripada pemimpin semuanya boleh mencetuskan keadaan kucar- kacir dan menyebabkan menurunnya kepercayaan orang bawahan dan menyebabkan hilangnya pengawalannya terhadap mereka.

7. KEMAHUAN DAN KEKUATAN
Kemahuan dan kekuatan adalah satu rukun daripada rukun-rukun keperibadian pemimpin. Dengannya segala kepayahan akan dapat diatasi. Kepimpinan dewasa ini memerlukan tekad yang kuat dan tegas serta tidak mempedulikan segala tribulasi yang mendatang.

8. HIKMAH DAN MATANG DALAM TINDAKAN
Dalam menangani permasalahan hidup, pemimpin adalah merupakan tempat rujuk untuk menyelesaikan masalah. Apabila ini berlaku, pemimpin haruslah menunjukkan kematangan dalam pendapat keputusan supaya wibawanya akan meningkat. Hikmah di sini bermaksud supaya semua tindakan dan keputusan yang berhasil kesan yang positif dan perlaksanaannya tidak bercanggah dengan syariat. Oleh itu sekiranya perlu kepada ketegasan atau kelembutan maka ia perlu diberikan penekanan sepenuhnya.

9. OPTIMISME
Optimisme adalah antara perkara-perkara dasar yang penting bagi peribadi yang memimpin. Oleh yang demikian pemimpin harus bersifat optimis, berharapan penuh dan berlapang dada. Tetapi ini janganlah pula memalingkan daripada membuat perhitungan di atas sebab yang boleh menggagalkan usahanya pada masa-masa yang akan datang.

10. MENGAMALKAN SYURA
Syura merupakan institusi teras dalam kepimpinan Islam. Perlaksanaan syura melambangkan sikap terbuka seorang pemimpin dalam menentukan mauqif dan pendirian secara bersama, walaupun seorang pemimpin itu mungkin mempunyai pandangan yang tersendiri di dalam sesuatu perkara. Melalui syura juga mauqif dan keputusan yang dibuat adalah lebih baik kerana wujud gabungan idea antara pemimpin dan pihak lain.

11. KOMBINASI NILAI UMARA’ DAN ULAMA’
Umara’ ialah golongan yang wajib ditaati seperti yang telah dinaskan di dalam al Quran iaitu pada perkara yang menepati syariat Islam. Ulama’ pula adalah setinggi-tinggi darjat manusia kerana ulama’ itu pewaris nabi. Maka ciri-ciri umara’ dan ulama’ perlu diintegrasikan untuk melahirkan natijah kepimpinan yang benar-benar mantap yang didokong oleh karisma kepimpinan, ketinggian ilmu dan inayah daripada Allah.

12. DAYA TARIKAN SEMULAJADI
Ia adalah satu tabie yang mana sekiranya ada pada diri maka dia dapat menarik hati orang lain tanpa usaha yang banyak, kethiqahan, muka manis dan sikap yang peramah merupakan penarik zahiriah yang kuat pengaruhnya untuk mewujudkan asa kepimpinan yang baik dan berkesan. Dan inilah adalah satu unsur pembentukan peribadi yang kuat sekali. Kesimpulannya, untuk membina ciri-ciri unggul seperti di atas, kesemua elemen dalam diri pemimpin iaitu elemen jasmani, rohani, emosi dan intelek perlu berada pada tahap yang paling optimum.

PENUTUP
Justeru, ciri-ciri di atas perlulah diambil kira dalam memilih pemimpin di semua peringkat. Ingatlah bahawa setiap perbuatan kita di dunia ini akan dihisab oleh Allah S.W.T sepertimana firman Nya dalam Surah Az-Zalzalah; “Setiap perbuatan baik kamu walaupun sebesar zarah akan dihitung, Dan setiap perbuatan jahat kamu walaupun sebesar zarah akan dihitung.”