>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Monday, February 16, 2009

KRISIS DI PERAK



Selangor merupakan antara negeri yang mengisytiharkan cuti umum untuk perayaan Thaipusam. Pada tahun ini, Thaipusam jatuh pada tanggal 8 Februari 2009 bersamaan hari Ahad. Jadi tanggal 9 Februari 2009 bersamaan hari Isnin diisytiharkan sebagai cuti umum Thaipusam. Pada hari itu, ana berkesempatan menyertai rombongan pemuda PAS Selayang dan IT PAS Pusat untuk melawat sahabat-sahabat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.


Kami bertolak lebih kurang jam 8.45 pagi dari Rawang dan tiba di Ipoh sekitar jam 10.30 pagi. Tiba sahaja di Ipoh, wakil rombongan kami, cuba menghubungi SU Politik MB Perak, Ustaz Misbahul Munir. Menurut kenyataan beliau, mungkin kami hanya akan dapat bertemu dengannya beserta beberapa sahabat yang lain kerana DS Ir. Nizar agak sibuk dengan pertemuan-pertemuan dan mesyuarat tergempar.


Alhamdulillah, setelah mendapat beberapa petunjuk, kami selamat tiba di kediaman rasmi MB Perak. Tiba di pintu pagar, Unit AMAL siap siaga bertindak mengawal kediaman tersebut. Tiada apa-apa kekecohan, hanya langkah berjaga-jaga. Setibanya kami di lobi, kami duduk di sofa berhampiran pintu masuk. Khabarnya DS Ir. Nizar sedang menerima wartawan WASILAH. Wartawan THE SUN sedang menunggu giliran, dan sebentar lagi satu mesyuarat akan diadakan. Sahabat-sahabat perhubungan PAS cuba menerangkan situasi yang sedang hangat diperkatakan di negeri Perak darul Ridzuan.


Secara mudahnya, negeri Perak sedang menghadapi kemelut yang diistilahkan sebagai Constitutional Crisis ataupun dalam bahasa melayunya disebut Krisis perlembagaan. Satu surat khas untuk menerangkan kepada Sultan mengapa DS Ir. Nizar enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak telah diutus. Berikut adalah isi kandungan surat tersebut;



Surat Nizar pada Sultan, sebab tidak letak jawatan MB

Harakahdaily
Fri | Feb 06, 09 | 9:10:50 am MYT

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak.

Surat tersebut adalah reaksi kepada titah baginda yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Manakala Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Mohamad Nizar dan semua anggota exconya mengosongkan pejabat mereka dengan segera.

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,

MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,

Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,

Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,

Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin

Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Sedang kami teliti mendengar sekitar jam 11.45 pagi kami dikejutkan dengan suatu berita. YB Roslan Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang Meninggal dunia. Beliau meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke farmasi menaiki basikal. Beliau dipercayai jatuh dari basikal kerana serangan jantung. Innalillahi wa Inna ilaihi raajiun. Hanya itulah kalimah yang mampu diucapkan. Dari Allah kita datang, kepadaNya kita pulang.


Selang beberapa ketika, kami dijemput oleh DS Ir Nizar untuk ke bilik pertemuannya untuk melakukan sedikit perbincangan. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Kalimah tasbih, tahmid dan takbir terpacul dari mulut ini. Sebenarnya, rombongan kami tidaklah meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk bertemu dengan DS Ir Nizar. Namun, sikap rendah diri, tenang, tabah dan professional yang dimiliki oleh beliau memungkinkan kami untuk melakukan sedikit perbincangan di saat-saat yang genting ini.


Setelah melakukan diskusi ringkas, rombongan kami bersurai. Sebelum meninggalkan kediaman rasmi menteri besar, kami menuju ke bilik media untuk mendapatkan maklumat dan menawarkan bantuan sekadar yang termampu. Kami bergerak meninggalkan kediaman rasmi menteri besar sekitar jam 1.45 petang. Setelah makan tengahari, kami terus bertolak menuju ke kediaman Allahyarham YB Roslan Shaharom untuk menziarahi jenazah. Seperti yang dijangka, begitu ramai sekali manusia yang menziarahi beliau. Subhanallah, begitu tenang dan bersih muka jenazah menghadap pencipta-Nya. Semoga Allah merahmati allahyarham.


Sesungguhnya, lawatan ke Ipoh hari ini bukanlah sekadar lawatan biasa seumpama slot ’jalan-jalan cari makan’ yang biasa kita lakukan bersama kawan-kawan atau keluarga. Tetapi, lawatan ini adalah sebuah lawatan ukhuwwah ikatan akidah perjuangan yang telah terbina sekian lama. Moga Allah sentiasa merahmati perjuangan sahabat-sahabat di negeri Perak dan memberikan kekuatan pada mereka untuk menghadapi mehnah dan tribulasi yang cukup hebat di sana. Ameen Ya Rabbal ’Aalameen.

Tuesday, July 29, 2008

TUDUHAN LIWAT PALSU, TIDAK BERASAS & BERMOTIF POLITIK



Salmiyah Harun | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Tue | Jul 29, 08 | 4:22:29 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yakin tuduhan liwat ke atasnya sudah berakhir dengan pendedahan laporan doktor Pusrawi yang membuktikan tiada kesan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata, pendedahan laporan doktor Pusrawi yang disebar meluas menerusi portal berita semalam membuktikan dakwaan meliwat terbaru terhadapnya hanya bermotifkan politik dan tidak berasas sama sekali.

Anwar dalam sidang media di ibu pejabat KeADILan berkata, beliau sekali lagi dimomokkan bahawa siasatan polis dilakukan dengan profesional kerana melengahkan penyiasatan dan cuba untuk menutup bahan bukti yang paling penting iaitu maklumagt dari doktor pertama yang ditemui oleh Saiful.

Anwar juga enggan memberi DNA kepada polis atas nasihat dan rujukan daripada Presiden Maljlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan yang menegaskan kewibawaan sistem kehakiman terus digugat begitu juga golongan profesional iaitu doktor dan peguam.

"Ini ada kaitan juga dengan keterangan yang saya kemukakan kepada polis yang mengaitkan penglibatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Peguam Negara Ghani Patail dalam percubaan memadamkan maklumat sejak tahun 1998 dan 1999," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga meminta pihak berkuasa supaya menjaga keselamatan doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atas Saiful terjamin agar mereka tidak terdedah dengan apa-apa bahaya atau dihilangkan sepetimana yang dihebohkan sebelum ini.

Anwar juga berkata, beliau tidak pernah menemui doktor berkenaan dan Pusrawi juga mengesahkan laporan yang disiarkan portal berita semalam sebagai tulen dan benar.

Anwar yakin dengan kandungan laporan perubatan pertama dan pasti tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

"Saya rasa ini sudah berakhir kerana saya ada urusan yang lebih penting untuk bersama rakyat terutama dalam pilihan raya kecil Parlimen Kulim-Bandar Baru, saya akan tumpukan kepada bahagian agenda pertumbuhan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat," katanya.

Kini, Anwar akan menumpukan kepada masalah negara dan menggesa kerajaan supaya meninggalkan cara yang tidak profesional iaitu dendam dan politik kotor demi menghukum musuh politik.


Turut sama dalam sidang media, Peguam Sulaiman Abdullah iaitu peguam kanan yang akan memimpin pasukan peguambela seandainya kes ini diteruskan.

Beberapa pimpinan dari PAS turut serta iaitu Setiausaha Agung, Dato' Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Ghazali.

Dalam sidang media itu, KeADILan turut mengedarkan laporan pemeriksaan Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Anwar Ibrahim, yang menunjukkan tiada kesan pemuda itu diliwat.

Laporan sulit dua halaman daripada Hospital Pusrawi itu turut disertakan maklumat-maklumat tambahan yang menjelaskan beberapa istilah perubatan yang sukar difahami dan beberapa perkataan doktor itu yang tidak jelas.

Laporan yang disahkan milik hospital swasta di Jalan Tun Razak itu mula beredar di internet sejak semalam.

Pada 28 Jun lepas, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebelum membuat laporan polis, Mohd. Saiful telah mengunjungi Pusat Rawatan Islam di Jalan Tun Razak dan kemudian Hospital Kuala Lumpur. - mks. _