>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Tuesday, June 24, 2008

KENANGAN TERINDAH



Kejadian pada ahad malam Isnin tanggal 22 Jun 2008 tidak akan ana lupakan dalam hidup ana. Pengalaman pahit berbaur manis ini tidak sabar ana nukilkan buat tatapan pengunjung blog ini. Pada malam tersebut, ana pulang dari kampung di Tanjong Karang menuju ke Serdang tempat ana bekerja sekarang. Menunggang motosikal KRISS berwarna hitam, lagak ana umpama mat rempit yang sedang merempit dengan jayanya.

Bak kata pepatah ‘Malang Tidak Berbau’, sedang ana khusyuk mengemudi bahtera KRISS di lebuhraya SPH Rantau Panjang menuju ke Shah Alam, KL, terasa sesuatu tidak kena pada kuda tunggangan ini. “Apehal rase nak melayang je motor ni, macam nak pancit je”, getus hati ana. Sangkaan ana tepat. Cepat-cepat ana memperlahankan throttle lalu menyusur ke bahu jalan. “Allahuakbar, pancit pulak, ape nak buat ni?”, ana mengomel sendirian. Tiba-tiba terlihat papan tanda telefon kecemasan, 250m. Harapan mula berputik….

Di kedinginan malam di lebuhraya itu ana menyorong motor penuh pengharapan. Mengharap pada telefon kecemasan. Tiang telefon kuning berlabel SOS kelihatan. Fuh, sampai juga akhirnya. Ana melangkah divider menuju ke tiang itu. Butang PUSH ditekan. Allahuakbar! Tak berfungsi. Harapan ana hancur berkecai. Fikiran berkecamuk seketika. Macam mana nak buat ni. Ana termangu seketika…

Selang beberapa minit sebuah motor melintas, nampak seperti ingin berhenti. Sebuah motor Lagenda biru berhenti. “Kenapa ni?”, abang itu menegur ana. “Pancit bang”, ana menjawab. “Allah, kalau pancit tak dapat la abg nak tolong, ingatkan habis minyak”, abang itu menjawab. Abang itu termenung seketika. “Takde member ke dekat-dekat sini?”, abang itu menyoal lagi. “Takde bang”, ana tunduk merenung nasib. “Oklah, camni, bagi abang no telefon, nanti kalau abang nampak nombor telefon pomen ke, abang mesej kat ko k”. “Ok bang”, ana menjawab lemah.

Ana menunggu mesej dari bro tersebut. “Tit..tit”, handphone berbunyi. “Ni no telefon pomen motor pancit, abang nampak kat divider keluar highway, ni jela abang dapat tolong, kalau ok nanti mesej, k”. Baik betul hati abang ni, sanggup mesej-mesej orang susah yang tak dikenali namanya pun. Ana cuba menghubungi nombor-nombor yang diberikan. Cubaan gagal. Kepala otak ana terus kusut. “Allah, macam mana ni, esok nak kerja n ade interview, malam ni kene sampai Serdang gak”, hati ini terus mencatur. Akhirnya ana nekad untuk satu tindakan berani mati (ayat gempak je ni). Menyorong motor melawan arus. Patah balik untuk keluar dari lebuhraya.

Keringat jantan mula keluar. Kepenatan tahap gaban mula dirasai. Namun, hati ini nekad untuk menempuh dugaan ini. Di tengah-tengah kepenatan itu, teringat dosa-dosa yang pernah dilakukan. Perasaan kesal menyulubungi. Itulah manusia yang sering lalai dan lupa. Masa senang susah nak ingat Allah. Masa susah baru teringat nak bertaubat. Ana terus melayan perasaan. Akhirnya ana berjaya keluar dari lebuhraya. Terlihat ada stesen minyak yang berdekatan. Motor disorong menghala ke situ. Harap-harap ada jalan penyelesaian. Sampai di depan stesen, ana berhenti melepaskan penat sambil otak ligat berfikir jalan keluar dari masalah sekarang.

Fikir punya fikir akhirnya terfikir jalan yang terakhir iaitu menghubungi keluarga di kampung. Belum sempat ana mengangkat handphone, sekumpulan remaja bermotor menghampiri ana. “Bang, kenapa ni?”, salah seorang daripada mereka menegur ana. “Motor pancit la dik”,ana menjawab seperti biasa. “Abang nak gi mana?”, dia terus bertanya. “Abang nak pegi Serdang, keje kat sane”. “Ooo..jauh tu, ok bang abang tunggu sini jap, nanti kami amek barang, kami tolong ya”. Tiga daripada empat remaja itu meluru menaiki motosikal menuju ke suatu tempat untuk mendapatkan perkakasan. Tinggallah seorang remaja menemani ana.

“Sape nama?”, ana memulakan perbualan. “Zul”,remaja itu menjawab sepatah. Sekilas pandang bisa saja kita menyangka remaja itu seorang samseng jalanan. Dengan motor RXZ nya tak ubah seperti lagak seorang mat rempit. Sekonyong-konyong kumpulan remaja yang mengambil perkakasan itu kembali. Dengan bersungguh-sungguh, mereka ‘mengerjakan’ motor ana. Sambil-sambil itu ana menemuramah mereka. Dari isu pendatang asing di kawasan mereka hinggalah kepada peristiwa kematian kawan mereka yang digilis kontena, ana mendengarnya dengan teliti.

Perasaan ana bercampur baur. Terharu, kagum dan rasa bersalah. Pertamanya, terharu kerana mereka sanggup menolong insan yang ditimpa kesusahan tanpa banyak berkira. Kalau nak dikirakan, siapalah insan tak dikenali di hadapan stesen minyak ini. Boleh sahaja ana dibiarkan berseorangan tanpa pertolongan. Namun atas keprihatinan mereka, ana tidak dibiarkan begitu sahaja. Kedua, kagum kerana masih wujud insan-insan yang baik seperti mereka. Walaupun luarannya nampak brutal, namun masih wujud secebis sifat-sifat mahmudah yang sememangnya fitrah manusia yang sukakan kebaikan dalam diri mereka.

Ketiga, rasa bersalah kerana remaja-remaja ini terbiar tanpa pimpinan dan dakwah islam. Seandainya remaja-remaja ini dipimpin, ana yakin ada manfaatnya buat diri mereka sendiri dan buat deen yang tercinta ini. Masih terasa berat tanggungjawab dakwah Islam yang harus dipikul dan dilaksanakan. Walau bagaimanapun, ana tak akan melupakan kenangan terindah dan pengajaran yang ana peroleh dari empat anak muda Rantau Panjang Klang ini iaitu Alang, Zul, Jijul dan Faizal.

Wallahualam

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Jun 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

Thursday, June 19, 2008

SYABAB MUSAFIR KASIH


Sebut sahaja novel Tautan Hati, akan terpacullah dari mulut kita akan karakter-karakter nya seperti Asiah Yusra, Umar Mujahid, Al-Banna, Elya Khadeeja, Aisyah Bazella dan lain-lain. Novel yang cukup menggamit remaja itu terutamanya remaja yang terlibat dalam gerakan Islam ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin yang merupakan novelis sayembara novel remaja jublis emas DBP 2006.

Kini, saudari Fatimah tampil dengan karya baru yang tidak kurang hebatnya, Syabab Musafir Kasih. Mendengar sahaja tajuknya membuatkan semangat inkuiri ana membuak-buak. Adakah syabab yang dimaksudkan merupakan kosa kata dari bahasa arab yang membawa maksud pemuda ataupun adakah syabab merupakan metafora kepada remaja? Setelah mengkhatamkan novel tersebut, jelas Syabab sebenarnya adalah nama bagi watak utama dalam novel ini.

Sebagai pembaca novel, ana boleh membahagikan Syabab Musafir Kasih kepada dua bahagian. Bahagian pertama novel boleh ana simpulkan sebagai bahagian yang agak stereotaip dan common apabila jalan ceritanya mudah dijangka dan diramal. Mungkin hal ini disebabkan bahagian pertama novel lebih banyak menceritakan zaman kanak-kanak Syabab. Walau bagaimanapun, kelemahan itu ditampung dengan penyampaian cerita yang tidak membosankan disokong dengan latar masa dan tempat yang pelbagai.

Walau bagaimanapun, bahagian kedua novel ini cukup menarik. Kepelbagaian konflik dan latar menonjolkan watak Syabab sebagai seorang pemuda akhir zaman yang sarat dihujani persoalan hidup. Situasi realiti yang ditampilkan dalam novel cukup menyentuh dan dekat di hati pembaca. Firman-firman Allah dan dalil-dalil hukum melengkapkan lagi kefahaman dan memutikkan bibit-bibit kesedaran dan motivasi kepada insan sekufu Syabab. Segala persoalan yang ditimbulkan penulis dalam karyanya disampaikan dengan penuh hikmah dan fakta yang bukan sembarangan.

Secara keseluruhannya, Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha cuba menyampaikan mesej kepada insan-insan bergelar pemuda yang kini kian hanyut dibuai arus duniawi. Mutiara-mutiara ilmu dan semangat yang cuba digarap dalam setiap baris karyanya menampakkan kesungguhan penulis membangkitkan semula taraf pemuda ke tempat yang sepatutnya. Memetik sedikit kata-kata dari novel ini; “Wahai Syabab, Ketekunanmu mengoborkan cita-cita, Semangatmu bak api marak menyala, Kau pemuda harapan, Sinar menantimu di hadapan, Bebaskanlah pemuda, Dari belenggu kejahilan, Kau mampu berlari kencang, Mencipta gelombang, Ayuh Syabab.”

Novel Syabab Musafir Kasih ini adalah terbitan telaga biru dan boleh diperoleh dari laman webnya; www.telagabiru.net.my ataupun kedai-kedai buku Popular dan MPH.
Wallahualam

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Jun 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

Tuesday, June 10, 2008

MINYAK OH MINYAK!



Ustaz Idris Haji Ahmad

Tue | Jun 10, 08 | 11:07:35 am MYT

1.Harga minyak terpaksa dinaikkan ekoran harga minyak di peringkat antarabangsa melambung tinggi.

Kenapa pula Malaysia perlu sakit. Sedangkan Malaysia negara pengeluar minyak bukan pengimport minyak.

Kalau harga minyak dunia naik maka negara kita akan bertambah kaya. Analogi yang lain, kalau kita ada dusun durian, tentu kita dan keluarga gembira kerana harga buah durian mahal.

Anak kita boleh makan dengan puas dan kita pula boleh dapat wang banyak. Tetapi pemimpin BN-Umno pula pelik apabila harga minyak dunia naik, rakyat pula menderita terutama mereka yang berpendapatan rendah.

2.Harga minyak kita lebih murah jika hendak dibanding dengan negara Asean yang lain.

Jangan banding dengan Thailand, Indonesia. Perlu banding dengan Brunai kerana harga minyak di negaranya RM1.20 seliter.

Buah Oren dengan epal tidak boleh buat perbandingan. Perlu dingat juga, walaupun Indonesia, Thailand minyaknya mahal, tetapi barang keperluan harian dan pakaian serta barang yang sudah siap murah seperti makanan, pakaian, alat perabot semuanya murah.

Di negara kita semuanya mahal daripada minyak sampai kepada keperluan yang lain. Yang murah hanya maruah pemimpin Umno-BN sahaja.

3. Minyak di Singapura lebih mahal daripada Malaysia.

Singapura bukan negara pengeluar minyak.

Tambahan pula pendapatan rakyatnya tinggi, contohnya pencuci lantai gaji hampir RM2000 ringgit di Malaysia, hanya RM600. Begitu juga pengangkutan awam antara yang terbaik di dunia, di Negara Malaysia Hadhari paling teruk.

Di negaranya tol hanya dikenakan waktu tertentu sahaja, sedangkan di Malaysia siang malam, 'non stop'.

4. Wang subsidi petrol RM56 bilion akan digunakan untuk pembangunan. Kita hendak tanya ke mana wang subsidi ini akan pergi.

Adakah hendak belanja untuk Monsun Cup yang menghabiskan wang rakyat RM 250 juta, Formula 1 yang berapa kerat rakyat yang mampu hendak menonton. Sedangkan belanja untuk Formula 1, tahun 2004-RM98.4 juta, tahun 2005-RM110.7j, 2006-RM121.8j, 2007-130.5j.

Belanja konduktor Malaysian Philharmonic Orchestra sebanyak RM3.5 juta sebulan yang diambil daripada wang Petronas. Apakah ini yang dimaksudkan untuk pembangunan.

Ketika minyak naik 30 sen kerajaan mengumumkan RM4 bilion subsidi akan digunakan untuk memperbaiki pengangkutan awam. Kita tidak nampak pengangkutan awam bertambah baik malahan makin teruk.

5. Ucapan lidah bercabang pemimpin negara, kesian rakyat kerana minyak naik. Ucapan hanya hendak menyejuk hati rakyat.

Kalau mereka kesian kepada rakyat mereka mesti memikirkan masalah rakyat. Pak Menteri tidak kisah elaun dan gaji hampir RM56 ribu sebulan. Minyak naik RM5 seliter pun mereka tidak kisah.

6. Pemimpin Umno-BN berkempen supaya beli barang murah.

Kita hendak tanya kedai mana ada jual barang murah. Kalau ada barang keperluan yang murah boleh dibeli di pejabat Umno baguslah.

7. Hendak ambil tindakan kepada peniaga yang jual barang mahal.

Pemimpin Umno/BN kata jual dengan harga lama masih untung. Mana ada peniaga hendak jual barang murah kalau modal sudah mahal.

Kalau minyak naik, semua barang akan naik, kerana barang bukan bawa dengan beca roda tiga.

Persatuan Lori sudah mengumumkan bahawa mereka akan naik tambang kos pengangkutan 35 peratus. Kerana lori 10 tan dulu hanya perlu untuk minyak RM3000 sebulan sudah mencecah naik kepada RM5000.

8. Kenyataan pemimpin Umno yang hendak membodohkan rakyat supaya jangan marah apabila minyak naik.

"Kita bimbang sekiranya minyak murah rakyat tak cermat dan minyak akan kurang,"kata Perdana Menteri.

"Belanja secara berhemah,"kata Datin Rosmah Mansur.

"Ubah gaya hidup...membazir Islam marah,"kata Dato' Seri Najib.

Datuk Seri Shahidan Kasim sewaktu minyak naik 30 sen dulu dia suruh pegawai kerajaan naik basikal.

Saya hendak cadangkan supaya pemimpin Umno-BN ambil cermin suluh muka baru boleh nasihat rakyat.

Inilah rupa pemimpin yang memerintah negara kita hari ini. Ya Allah selamatkanlah negara. - mks.

Wednesday, June 4, 2008

ISU ALTERNATIF!

Alhamdulillah, ana diterima bekerja di Kedai HPA, cawangan Serdang bersama sahabat ana, akhi Zaidin. Siapa tak pernah dengar slogan “Mai Secawan”. Pasti terbayang iklan kopi radix HPA yang menggambarkan sekumpulan pengembara yang terkandas di dalam hutan. Ana bersyukur diterima bekerja di sini. Sekurang-kurangnya terisi masa dengan kerja-kerja yang bermanfaat.

Sebelum bekerja di sini, ana hanya mengenali HPA sebagai sebuah syarikat yang mengeluarkan ubat-ubatan berasaskan herba. Kalau adapun produk lain, yang diiklankan di media masa hanyalah kopi Radix dan yang terbaru Radix Cola dan Sarsi. Walau bagaimanapun, setibanya di kedai, ana agak kagum dengan kepelbagaian produk yang dihasilkan. Dari peralatan mandi, kosmetik hinggalah kepada produk makanan dan minuman, boleh dikatakan HPA mendahului syarikat produk halal yang lain.

Ana mula bekerja pada tanggal 1 Jun 2006. Pada tarikh yang sama, HPA melancarkan restoran makanan segeranya yang pertama di Sungai Petani; Radix Fried Chicken (RFC). Melalui tayangan online, ana melihat perasmiannya. Masya Allah, tak kalah dengan KFC. Melalui maklumat yang ana peroleh dari ahli yang hadir, ayam yang disajikan tidak cukup. Sambutannya begitu menggalakkan. Malah dikhabarkan, selepas 3 hari pembukaan, pelanggan tidak putus-putus berkunjung ke situ.

Sesuatu fenomena yang tidak mengejutkan ana. Sememangnya orang Islam khususnya di Malaysia telah lama kehausan produk-produk alternatif buatan orang Islam sendiri. Tambahan pula, kita sering didedahkan dengan berita-berita tidak enak seperti penghasilan ayam yang berunsur babi, penggunaan gelatin haiwan dalam makanan dan ubat-ubatan, kandungan arak dalam makanan dan pelbagai lagi berita, sememangnya sering menimbulkan kerisauan kepada pengguna Islam.

Situasi kehausan produk alternatif ini sebenarnya dapat kita analogikan kepada pelbagai perkara. Contohnya politik. Barisan alternatif. Situasi PRU12 Mac lalu jelas memberikan mesej bahawa barisan alternatif semakin diterima rakyat. Seterusnya muzik alternatif. Masyarakat yang sebelum ini sering digula-gulakan dengan hiburan barat mula beralih kepada nasyid kontemporari apabila album Puji-pujian dari kumpulan nasyid Raihan mendapat tempat di hati peminat muzik Malaysia apabila rekod penjualannya sehingga kini masih belum dapat diatasi oleh mana-mana artis di Malaysia.

Seterusnya media massa alternatif. Pada masa kini, media masa arus perdana tidak dapat duduk diam apabila mendapat saingan hebat dari media massa alternatif. Laman-laman web seperti tvPAS.com, tranungkiteonline.net, Malaysiakini.com dan Harakahdaily.net mula mencatatkan peningkatan drastik dari segi kunjungan pelayar internet. Daripada analisis fenomenena-fenomena di atas dapat kita simpulkan bahawa manusia yang bijak akan sering mencari alternatif ataupun pilihan yang lebih baik bagi menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan diredhai Allah s.w.t.

Justeru, ana menyeru semua pihak agar besikap lebih proaktif. Apakah yang ana maksudkan dengan proaktif? Jika kita sibuk dengan kempen memboikot barangan yang menyumbang dana kepada yahudi laknatullah, maka sibukkan lah juga masa kita dengan cuba memberi alternatif kepada orang Islam jika mereka tidak membeli produk yang diboikot itu. Jika kita sibuk melarang manusia berhibur dengan cara maksiat, maka berusahalah juga menyedikan pilihan hiburan yang dibolehkan dalam Islam.

Kesimpulannya, sekiranya kita semua begitu lancang mengkritik dan mencari kesalahan orang lain, maka jangan lupa juga memberi pandangan dan idea untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jangan hanya tahu menyalahkan orang lain, tanpa cuba memberi alternatif kepada mereka. Wallahualam.

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Jun 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com