>Cinta bukan satu kesilapan > Tapi tempat menguji ketaqwaan > Cintakah pada yang Esa atau > Melangit pada yang tidak kekal > Sama ada kita hamba pada cinta atau PENCIPTA

Friday, May 16, 2008

NOVEL VS MOVIE

Sebut sahaja ‘Ayat-ayat Cinta’ maka akan terbayanglah kita karya tulisan dakwah oleh Habiburrahman El-Shirazy yang juga merupakan salah seorang penuntut di Universiti Al-Azhar, Cairo. Watak Fahri yang begitu hidup dalam karya ini telah memaut hati banyak penggemar karya seni dakwah di seluruh dunia khususnya di Malaysia sendiri.

Ana mula mengenali ‘Ayat-ayat Cinta’ sewaktu bertandang di bilik sahabat ana, Akh Ashrulmuzanie di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Ramadhan Oktober 2007. Ingin mengisi waktu terluang, ana mula menyelak helaian demi helaian novel tersebut hingga hampir separuh buku ana khatamkan. Namun, masa tidak mengizinkan untuk ana menghabiskan bacaan novel tersebut. ‘Ayat-ayat Cinta’ tergantung begitu sahaja…

Awal tahun 2008

Seperti biasa, ana akan melawat laman blog pada pautan Ukhuwwah setiap kali melayari internet. Pada hari itu, tergerak hati ini untuk melihat laman Mountain Voice, kalau-kalau ada sesuatu yang baru. Ternyata lawatan kali itu tidak mengecewakan. Sebuah video trailer ‘Ayat-ayat Cinta’ dari Youtube terpapar pada bahagian atas blognya. Ana separuh terkejut. Wah! Novel ‘Ayat-ayat Cinta’ telah dibawa ke layar perak!

Ingatan ana kembali pada novel ‘Ayat-ayat Cinta’ yang dibaca dahulu. Hati ini mencatur, bagaimana agaknya filemnya? Adakah sama seperti novelnya? Satu demi satu andaian bermain di fikiran. Walau bagaimanapun, akhirnya filem itu dapat ana tonton dari sahabat ana. Tontonan filem itu membuatkan ana tak senang duduk. Adakah sama isi filem yang dipaparkan dengan isi novel yang telah separuh ana khatamkan itu?

Oleh sebab semangat inkuiri yang begitu membuak-buak, ana berusaha mencari novel ‘Ayat-ayat Cinta’ itu dari sahabat-sahabat dan menghabiskan bahagian yang belum dibaca. Kemusykilan ana sedikit sebanyak terjawab. Ternyata terdapat perbezaan-perbezaan yang ketara di antara novelnya dan filemnya.

Penyataan karakter utama dalam Novel ‘Ayat-ayat Cinta’ sedikit sebanyak terjejas dalam penghasilan filemnya. Karakter Fahri yang begitu rapat dengan teman-teman serumahnya di Hadayek Helwan tidak tertonjol dalam filem. Ukhuwwahfillah yang begitu menyentuh di antara Fahri, Saiful, Rudi, Hamdi dan Misbah di dalam novel tampak kabur di layar perak. Karakter Maria lebih difokuskan dalam filem sewaktu babak-babak di Hadayek Halwan. Karakter Aisha juga ditokok tambah bagi menambahkan adengan yang lebih dramatik. Adengan di penjara juga mempunyai banyak perbezaan dari novel asli. Karakter Fahri disamping banduan-banduan yang baik digantikan dengan hanya seorang banduan yang rambang. Latar belakang waktu yang berbeza juga sedikit sebanyak menghilangkan ruh penceritaan yang mana waktu Fahri di penjara dalam novel adalah pada bulan Ramadhan.

Bukan sesuatu yang ganjil apabila penceritaan di dalam filem dan novel asal berbeza. Namun, perlu difahami bahawa ‘Ayat-ayat Cinta’ adalah sebuah novel Islamik yang disulami dengan unsur-unsur dakwah yang begitu halus dan berhikmah. Jadi, secara jujur ana sedikit kecewa dengan filem ‘Ayat-ayat Cinta’ dari sudut pandangan dakwah dan pengisian terutamanya apabila kisah Alicia seorang wartawan dari Amerika Syarikat memeluk Islam dan menerbitkan karya-karya Fahri tidak dimuatkan dalam filem.

Sementelahan, dapat ana simpulkan, filem ‘Ayat-ayat Cinta’ menampakkan penonjolan nilai komersial berbanding nilai Islamik. Namun, tidak dinafikan, ‘Ayat-ayat Cinta’ adalah suatu permulaan yang baik untuk karya-karya genre Islamik mendapat tempat di hati mad’u-mad’u yang dahagakan segala metod dan cabang dakwah di muka bumi Allah ini. Semoga lebih banyak karya-karya seperti ini dihasilkan pada masa akan datang.

Wallahualam.

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Mei 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

Tuesday, May 6, 2008

AKTA KANAK-KANAK 2001


Baru-baru ini Negara dikejutkan lagi dengan satu penggubalan Akta iaitu Akta Kanak-kanak 2001. Mendengar sahaja akta ini, terbayang di fikiran akan kes-kes yang menyedihkan seperti kes adik Nurin Jazlin dan adik Sharlinie. Akta ini memungkinkan ibu-bapa kepada anak-anak yang menjadi mangsa penderaan, penganiayaan dan pembunuhan didakwa jika didapati cuai. Pelbagai reaksi yang timbul berikutan penggubalan akta ini. Namun, selaku seorang warganegara Malaysia yang bijak, kita seharusnya tidak menilai berdasarkan emosi, tetapi menghitung menggunakan akal dan fikrah yang bersih dari runtunan hawa nafsu.

Mari kita renung sejenak sejarah penggubalan undang-undang yang melibatkan kanak-kanak. Akta Kanak-kanak 2001 bukanlah akta pertama yang digubal berkaitan kanak-kanak. Satu peristiwa menyayat hati pada 15 Mei 1990 menyaksikan bagaimana B. Balasundram yang berumur 26 bulan mati rentetan dicederakan secara fizikal dan seksual oleh bapanya menyebabkan tergubalnya Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994. Akta ini dimansuhkan dan peruntukannya dimasukan ke dalam Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini menambah kekurangan yang ada kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994.

Akta kanak-kanak 2001 ini juga menjadikan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi suatu kesalahan. Jika sabit boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali (seksyen 31).

Ana melihat penggubalan akta ini mewujudkan suasana pro dan kontra dalam masyarakat Malaysia kini. Pertama sekali, akta ini sangat membantu dalam menyedarkan ibu bapa akan tanggungjawab mereka dalam memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka tertunai. Kita bukan tidak pernah melihat situasi di mana anak-anak kecil ditinggalkan sendirian di dalam rumah yang berkunci disebabkan ibu bapa keluar dengan urusan masing-masing. Bayangkan jika berlaku kebakaran pada waktu itu. Maka, siapakah harus dipersalahkan? Dapat dianalisa wujud unsur kecuaian.

Kita analisa situasi kedua. Seorang ibu meninggalkan anak-anak mereka di dalam kereta yang berkunci tanpa pengawasan orang dewasa. Pelbagai kemungkinan yang akan timbul. Penculikan, rompakan, pembunuhan, ataupun mati akibat kesesakan nafas. Justeru, dapat kita lihat perbuatan-perbuatan cuai oleh ibu bapa ini setidak-tidaknya dapat dikurangkan dengan wujudnya penguatkuasaan intensif terhadap akta tersebut.

Jika dilihat secara kontras, akta ini akan menyebabkan ibu bapa berasa bimbang untuk melaporkan kehilangan anak-anak mereka kerana bimbang didakwa atas tuduhan kecuaian. Akhirnya, kanak-kanak menjadi mangsa dan penjenayah terus bermaharajalela. Waima, kewujudan akta ini tidak seharusnya dijadikan perisai kebal oleh pihak polis dalam menyelesaikan sesuatu kes jenayah berkaitan kanak-kanak. Definisi kecuaian yang dimaksudkan dalam Akta Kanak-kanak 2001 perlu diperjelas dan digubal dengan seadil-adilnya tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak.

Isu bahawa kemungkinan ibu bapa Nurin sendiri akan didakwa (Utusan Malaysia Online) kerana terdapat unsur-unsur kecuaian juga perlu dikaji dengan teliti agar kesan daripada tindakan ini lebih banyak membawa kesan-kesan yang positif dan tidak berbaur politik serta bebas dari sikap lepas tangan serta ketidak adilan pihak berkuasa dan pihak yang bertanggungjawab.

Namun, pada pandangan ana, penggubalan akta ini hanyalah penyelesaian di peringkat ranting pokok. Penyelesaian di peringkat akarnya perlu dilaksanakan jika kita mahu melihat masalah ini bertemu titik noktahnya. Sebagai seorang muslim yang beriman dengan hukum Allah, dapat kita lihat bahawa permasalahan di peringkat akar adalah sistem perundangan itu sendiri. Selagi kita sebagai seorang muslim mengalami krisis keyakinan terhadap hukum Allah, maka selagi itulah masalah demi masalah akan terus menghantui negara yang tercinta ini.

Ingatlah, jika telefon bimbit mempunyai buku manual bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan penggunaan dan manfaatnya, begitulah jua manusia yang mana buku manualnya adalah al-Quran dan Sunnah yang perlu dimanifestasikan dalam kehidupan. Jika tidak, maka pincanglah hidup makhluk yang bernama manusia itu.

Sebarang komen, teguran dan pembaikan artikel-artikel blog ini amatlah dialu-alukan.
Nazrey Al-Faruq Mei 2008
zhafran-alfaruq.blogspot.com

PANDUAN MENUTUP AURAT


Aurat dan pakaian merupakan aspek yang penting dan amat ditekankan ke atas umat Islam baik lelaki atau wanita. Namun begitu disebabkan keistimewaan dan kelebihan kejadian wanita itu menjadikan mereka lebih diutamakan dalam soal pemakaian.

Wanita yang difitrahkan kejadiannya itu, dari sudut pembinaan tubuh badan yang mempunyai susun galur tulang temulang yang pelik dan menarik sesuai fungsinya melahirkan anak, pembentukan tubuh, iras wajah, gerak laku yang boleh dikatakan hampir keseluruhannya kejadian wanita itu adalah menarik dan boleh menyebabkan orang tertarik kepadanya terutamanya lelaki.

Sudah difitrahkan lelaki menyukai perempuan dan begitu juga sebaliknya. Namun kuasa penarikan itu lebih banyak datang daripada wanita berbanding dari lelaki. Bagi menjamin fitrah ini sentiasa terpelihara dari unsur-unsur maksiat, maka aspek pencegahan lebih baik dari merawat; ‘Saqayah khairun min al ‘ilaj’ sangat ditekankan dalam Islam iaitu dari segi pakaian. Pakaianlah yang melindungi pandangan lelaki dari melihat tubuh wanita dan sebaliknya. Antara objektifnya adalah untuk menjaga nafsu syahwat manusia. 

Bagi lelaki, tiada lagi persoalan tentang auratnya. Dari pusat hingga lutut (kecuali kepada isteri). Hanya tinggal nak atau tak nak sahaja. Sama ada nak berseluar pendek ataupun menutup aurat dengan berseluar panjang. Namun, bagi wanita, lebih banyak perincian dan syarat-syarat dalam penutupan auratnya sesuai dengan ciri-ciri susuk tubuhnya yang lebih unik dan menarik berbanding lelaki. 

Dalam hadis Rasulullah s.a.w riwayat Muslim: "Ada dua golongan penghuni neraka yang aku belum pernah melihatnya: Laki-laki yang tangan mereka menggenggam cambuk yang mirip ekor sapi untuk memukuli orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang dan berlenggak lenggok. Kepalanya bergoyang-goyang bak bonggol unta. Mereka itu tidak masuk syurga dan tidak pula mencium baunya. Padahal sesungguhnya bau syurga itu boleh tercium dari jarak sekian dan sekian." 

Penerangan Hadis: 

Hadis di atas adalah antara hadis-hadis yang memperincikan masalah aurat dalam syariat Islam. Istilah aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fekah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan yang bukan mahram. Arahan menutup aurat ini adalah hasil dari keyakinan keagamaan dan ikatan syahadah yang termeterai dengan pengakuan lisan dan pengiktirafan dengan hati terhadap kebenaran agama Islam. Ia adalah hubungan yang terjalin antara manusia dengan Allah atau agama yang dianutinya. Ia lambang penyerahan diri dan persetujuan terhadap perintah Allah S.W.T. 

Dalam masa yang sama ia juga adalah tuntutan ibadah dan syariat Islam yang menjadi sebahagian dari anutan, amalan dan penghayatan agama. Ia bukan simbol yang tidak memberikan apa-apa fungsi apatah lagi untuk menandakan atau menunjuk-nunjuk secara provokasi keangkuhan beragama. Islam tidak pernah mengajar manusia untuk bersikap angkuh dengan pakaian. Sebaliknya melarang perbuatan yang demikian seperti mana yang diungkapkan oleh beberapa ajarannya. Pemakaian tudung dan pakaian yang menutup aurat adalah semata-mata kerana memenuhi tuntutan agama Islam yang maha suci. 

Ada beberapa dalil yang menunjukkan wajibnya menutup aurat bagi wanita muslimah : 


1. Dalam al-Quran surah An-Nur ayat 31, "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: 

“Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumurnya (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki, atau pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." 

Ayat ini menegaskan lima hal: 

i. Perintah untuk menahan pandangan dari yang diharamkan oleh Allah. 

ii. Perintah untuk menjaga kemaluan dari perbuatan yang haram. 

iii. Larangan untuk menampakkan perhiasan kecuali yang biasa nampak. 

Para ulama mengatakan bahawa ayat ini juga menunjukkan akan haramnya menampakkan anggota badan tempat perhiasan tersebut. Sebab, jika perhiasannya saja dilarang untuk dinampakkan apalagi tempat perhiasan itu berada. Sekarang marilah kita perhatikan penafsiran para sahabat dan ulama terhadap kata “kecuali yang biasa nampak” dalam ayat tersebut. 

Menurut Ibnu Umar RA. yang biasa nampak adalah wajah dan telapak tangan. Begitu pula menurut ‘Atho’, Imam Auzai dan Ibnu Abbas RA. Hanya saja beliau (Ibnu Abbas) menambahkan cincin dalam golongan ini. Ibnu Mas’ud RA. mengatakan maksud kata tersebut adalah pakaian dan jilbab. Said bin Jubair RA. Mengatakan maksudnya adalah pakaian dan wajah. Dari penafsiran para sahabat dan para ulama ini jelaslah bahawa yang boleh nampak dari tubuh seorang wanita adalah wajah dan kedua telapak tangan. Selebihnya hanyalah pakaian luarnya saja. 

iv. Perintah untuk menutupkan khumur ke dada. Khumur adalah bentuk jamak dari khimar yang bererti kain penutup kepala (tudung). Ini menunjukkan bahawa kepala dan dada adalah juga termasuk aurat yang harus ditutup. Bererti tidak cukup hanya dengan menutupkan tudung pada kepala saja dan hujungnya diikatkan ke belakang. Tapi hujung tudung tersebut harus dibiarkan terjuntai menutupi dada. Penekanan untuk tidak memperlihatkan perhiasan dan aurat kepada laki-laki asing (bukan mahram) kecuali kepada orang-orangtertentu saja seperti suami, anak dsb. 

v. Larangan memukulkan kaki yg ada gelang (perhiasan) kerana ditakuti akan menarik perhatian lelaki sebab mendengar bunyi gemerencing gelang itu. 



2. Surah al-Ahzab ayat 59, "Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin: “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan oleh kerananya mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59). 

Pengertian jilbab ialah : 

a) Pakaian yang menutupi badan langsung dari atas sampai ke bawah. 

b) Pakaian yang lebih lebar dari tudung. 

c) Pakaian luar wanita seperti jubah, gamis (baju panjang). 

d) Menurut Ibnu Arabi, jilbab adalah pakaian yang menutupi seluruh badan dari kepala hingga mata kaki. 

e) Al-Khatib asy-Syarbini dari al-Khalil (sebagaimanayang dikutip Dr. Abdul Halim) menjelaskan bahawa setiap pakaian dalam, pakaian luar dan pakaian yang dipergunakan untuk menutupi adalah jilbab, jika yang dimaksud dengan jilbab itu adalah gamis, maka melabuhkannya itu ialah menyempurnakannya hingga menutup tubuh dan kedua kakinya. 

Ayat ini menjelaskan pada kita bahawa menutup seluruh tubuh adalah kewajiban setiap wanita muslimah (mukminah) dan merupakan tanda keimanan mereka. Menutup aurat adalah salah satu dari kewajiban yang telah ditetapkan bagi muslimah yang beriman. 

Hadis shahih di atas menjelaskan bagaimana wanita yang tidak akan mencium bau syurga disebabkan kerana mereka berpakaian namun telanjang, ertinya pakaian yang mereka kenakan ketat, transperan (terlalu jarang) dan menampakkan bentuk tubuh sehingga Rasulullah s.a.w mengumpamakannya dengan “berpakaian namun telanjang”. Pakaian yang transperan tidak dapat memenuhi kriteria sebagai penutup aurat, kerana warna kulit masih terlihat, pakaian tersebut juga tidak boleh dipakai untuk solat, apalagi untuk keluar rumah. Al-Nawawi dalam syarahnya menjelaskan bahawa wanita yang berpakaian tetapi seperti telanjang tersebut adalah wanita yang berpakaian dengan menutupi sebahagian badannya dan membiarkan terbuka sebahagian yang lain, atau wanita yang berpakaian tipis sehingga terlihat warna kulit dan bentuk tubuhnya 

Dalam hadis Hadis riwayat Aisyah Radhiyallahu 'anhu, bahawasanya Asma binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah dengan pakaian yang tipis, lantas Rasulullah berpaling darinya dan berkata, "Hai Asma, sesungguhnya jika seorang wanita sudah mencapai usia haid (akil baligh) maka tak ada yang layak terlihat kecuali ini," sambil beliau menunjuk wajah dan telapak tangan. (HR Abu Daud dan Baihaqi). 


Hadis ini menunjukkan dua hal : 

a. Kewajiban menutup seluruh tubuh wanita kecuali wajah dan telapak tangan. 

b. Pakaian yang tipis tidak memenuhi syarat untuk menutup aurat. 


Al-Quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 (sila rujuk terjemahan dalil 1 kewajipan menutup aurat); 


Iman Syafie berpendapat; perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua makna iaitu: 

1. Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi mulut, mata bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota. 

2. Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya. 

Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.

Ini bermakna penutupan aurat adalah salah satu dari bentuk jaminan keselamatan yang diajukan oleh Islam untuk melindungi kepentingan wanita. Kalau dilihat dari sudut psikologi dan sosial maka pakaian menutup aurat termasuk tudung adalah selaras dengan matlamat murni untuk menwujudkan kejernihan sosial dan mengekang pengaruh rangsangan berahi seks yang jika sudah terkobar sukar dibendung, Hal ini akan menggugat maruah dan keselamatan kaum wanita. Dalam jangka panjang menggugat peradaban dan keutuhan sesebuah negara.

Dari sebahagian dalil dan perbincangan yang telah diuraikan tersebut di atas kita dapat memahami bahawa menutup aurat adalah wajib. Bererti jika dilaksanakan akan menghasilkan pahala dan jika tidak dilakukan maka akan menuai dosa. Kewajiban menutup aurat ini tidak hanya berlaku pada saat solat saja namun juga pada semua tempat yang memungkinkan ada laki-laki lain dapat melihat aurat kaum wanita. Kebijaksanaan Allah dalam mewajibkan kebaikan cukup jelas dan tidak dapat ditolak oleh akal yang melihat agama sebagai suatu kejahatan.